TINTA JUMAAT :MENGERTIKAN KEJAYAAN




"Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri  dan jika kamu berbuat jahat maka kejahatan itu bagi dirimu sendiri...." (Al-Isra’ [17]: 7)

    Sayyid qutub di akhir hidupnya memberikan satu yang berharga untuk kita. Beliau berkata, “Kebahagiaan yang saya rasakan bukan terjadi ketika saya menerima sesuatu daripada orang lain, tapi ketika saya memberikan sesuatu kepada orang lain.”

السلام قبل الكلام
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Salam sejahtera penulis ucapkan kepada semua .

         Dalam menghitung beberapa hari sahaja lagi untuk kita melangkah masuk ke dewan Imtihan, maka tidak salah kiranya Tinta Jumaat minggu  ini membawakan satu tajuk seputar peperiksaan, ERTI KEJAYAAN.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah s.w.t.,

         Semasa masih di bangku pengajian, kita mengukur kejayaan diri pada bertambahnya pengetahuan. Lebih banyak kita tahu, terasa diri meningkat menjadi lebih baik dari semalam.

         Bagi yang lebih mendalam, kejayaan diri diukur pada sejauh mana pengetahuan itu berjaya menjadi amal. Bagaimana bertambahnya pengetahuan, menambah amal di jalan kebaikan. Pertambahan amal itu menjadikan kita lebih baik dari semalam.

          Namun dengan bertambahnya usia, apabila kita bukan lagi seorang individu, kejayaan pengetahuan dan amal menjadi kecil tidak bererti. Jika selama masa yang lalu, kita adalah individu yang mengukur kejayaan pada apa yang dicapai oleh peribadi, kini ukuran itu sudah tidak bermakna.

          Setiap kita, mengukur kejayaan pada sejauh mana kejayaan peribadi dapat dipindahkan kepada insan tersayang. Jika seumur hidup kita menjadi anak tersayang, pelajar cemerlang, kawan terbilang, kini… mampukah semua ini membekas pada ibu, ayah, adik beradik kita dan rakan-rakan?

          Kita membuang segala penghargaan dunia kepada kejayaan diri, jika kejayaan itu hanya pada sebuah peribadi. Pada insan yang berjiwa DAIE,  kejayaan hakikinya adalah pada keupayaan diri untuk membawa orang lain berjaya sama. Membawa sahabat-sahabat untuk cemerlang sama. Cemerlang sahsiah dan cemerlang keputusannya.

         Maka pada hari ini, medan IMTIHAN adalah medan yang terbaik untuk kita melatih diri dalam menjadi insan yang membimbing orang lain untuk berjaya juga bersama. Dan secara hakikatnya, kita sebenarnya  sedang berusaha membimbing manusia bukan untuk mencapai kejayaan dunia yang sementara semata-semata, malahan untuk mengejar nikmat kejayaan syurga yang selama-selamanya.

Sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah s.w.t sekalian,

          Sememangnya sifat untuk membawa orang lain untuk berjaya  bersama adalah sifat para salafussoleh yang mulia. Masakan tidak, usaha dakwah  yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabat radiaallahuanhum adalah untuk mengajak umat selepas generasi mereka ‘berjaya’ dalam agama sepertimana mereka juga merasai nikmat kehidupan      berpandukan Islam. Begitu juga dengan para ulama terdahulu yang     bersusah payah dalam memberikan perhatian dan kesungguhan kepada  ilmu sehingga terhasilnya kitab-kitab buat rujukan umat masa kini juga     dengan matlamat yang sama, supaya generasi terkemudian mendapat dan merasai manfaat yang sama seperti mereka.

            Suatu perkara untuk kita fikirkan, adakah wawasan generasi    terdahulu dan wawasan kita sama? Maksud penulis, usaha dan jerih payah mereka dahulu bukan semata-mata mereka sumbangkan untuk masyarakat di zaman itu sahaja, bahkan untuk 100, 200 malahan       menjangkau 500 tahun generasi di hadapan. Maka, belajarlah mendidik jiwa seperti mana jiwa mereka dididik, jiwa untuk memberikan seluas-luas dan sebesar-sebesar manfaat bermula dengan rakan-rakan kita di musim Imtihan ini 

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

            Akhir kalam, semasa masih di bangku pengajian, belajarlah untuk berkongsi kejayaan dengan rakan dan taulan. Jika telah terasa manisnya iman, sebarkan kemanisan itu dengan menghulurkan tangan pada sebuah dakwah dan bimbingan. Di medan terakhir pecutan menuju imtihan ini, bantulah rakan-rakan mengikut kemampuan serta jangan lupa doa kepada Yang maha Memberikan  supaya bersama-sama beroleh kegemilangan. Belajarlah mengukur kejayaan diri pada kejayaan membawa orang lain berjaya sama.

          Sesungguhnya pengalaman itulah bakal teruji, apabila masyarakat dan umat menanti untuk dibawa, kepada sebuah kejayaan bersama, menuju ke syurga.

Salam Imtihan. Salam Kejayaan

‘GENERASI RABBANI, PELAPIS TARBAWI, TRANSFORMASI UMMAH BERKUALITI’

‘PASAK KEILMUAN TEGUH PEMIKIRAN’

 HASIL NUKILAN:
MUHAMMAD FAEZ EHSAN B. MUHD SUPIAN
KETUA LAJNAH KESENIAN & SUKAN (LKS) 12/13
BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR (BKASM)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

KHILAFAH : SUNNAH YANG SEPATUTNYA DIKEMBALIKAN

[ LAPORAN | SAMBUTAN EIDUL ADHA 2023 (SAEIDHA '23) ]