Muhadharah Ammah : Menyemai Cinta kepada Rasulullah SAW
SABTU, 18 JANUARI 2014- Lajnah Pendidikan di
bawah Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKASM) sesi 2012/2013 telah
mengadakan muhadharah ‘ammah yang bertajuk
الخصائص الكبرى على خير الأنام bertempat di
Musolla Darul Ehsan, Imarah Asrama Selangor, Hayyu Asyir. Muhadharah ini
merupakan satu inisiatif dari Lajnah Pendidikan sempena ulangtahun kelahiran
Rasulullah SAW.
Antara objektif yang diketengahkan
adalah untuk meningkatkan pemahaman ahli dalam menghayati ulangtahun kelahiran
Rasulullah SAW disamping menggalakkan ahli untuk mengamalkan sunnah Rasulullah
SAW. Selain itu, muhadharah ini diadakan bertujuan untuk menerapkan rasa cinta
pada alim ulama’ dan majlis ilmu sekaligus meningkatkan penguasaan bahasa arab
dalam kalangan ahli. Muhadharah ini telah disampaikan oleh Al- Fadhil Syeikh Dr
Hisyam Kamil Hamid yang mana beliau menceritakan mengenai keistimewaan
Rasulullah SAW yang merupakan sebaik-baik manusia.
Baginda SAW diutuskan sebagai rahmat
bagi seluruh alam. Alam disini bermaksud keseluruhan ciptaanNya melainkan
ALLAH. Rasulullah SAW menerima wahyu yang pertama tentang perintah IQRA’ di
Jabal Nur dan di sana terletaknya Gua Hira’. Pelbagai mehnah dan cabaran yang
telah dihadapi oleh Rasulullah SAW sepanjang penyebaran dakwah baginda SAW.
Namun begitu, baginda tetap utuh meneruskan perjuangan menegakkan Islam kerana
Islam itu sendiri adalah agama yang sangat mulia disisi ALLAH.
Alhamdulillah, muhadharah berakhir sekitar
jam 9 malam. Sebelum berakhir, Al-Fadil Syeikh juga berpesan: “Bacalah kitab
mengikut peringkat, jika tidak mengikut peringkat boleh diibaratkan seperti
bayi beumur sebulan atau dua bulan tetapi sudah diberi makan nasi zabadi. Ia
sememangnya makanan tetapi tidak sesuai baginya dan akan menyebabkan kematian”.
Lajnah Pendidikan Badan Kebajikan Anak
Selangor Mesir berharap agar muhadharah ini dapat menggalakkan mahasiswa/wi
untuk mendekati para alim ulama’ disamping mencintai ilmu dan menjadikan ilmu
sebagai satu kewajipan dalam diri selari dengan pembawaaan BKASM pada sesi ini
iaitu “Pengukuhan Thaqafah dan Akademik”.
Sekian, wallahua’lam.
Disediakan Oleh,
Nurul Nazuwa Binti Zazamudin
Timbalan Setiausaha
Lajnah Pendidikan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2012/2013



Ulasan
Catat Ulasan