PIMPINAN DAN MUSYAWARAH



    Kepimpinan merupakan satu taklifan yang telah Allah berikan kepada makhlukNya, taklifan yang mana kita semua tidak terlepas dari memikulnya sebagaimana dlm ayat 72 surah Al- Ahzab yang bermaksud :

((Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.))


     Disamping kita juga telah diberikan inzar yang jelas tentang risiko jika menyalahgunakannya, ibarat sebelah kaki di syurga dan sebelah lagi di neraka jahanam. Merupakan pedang dua mata yang akan menikam tuannya jika salah digunakan.

Kepimpinan merupakan antara perkara yang wajib dipelajari, difahami dan diamalkan dalam Islam, perkara yang memerlukan kepada penghayatan dan kefahaman yang jelas, perkara yang lazimnya menentukan hala tuju sesebuah masyarakat dan negara, bahkan menentukan antara syurga dan neraka.

Muhammad Bin Al-Mubarrak berpendapat :

“Al-Quran mengandungi hukum-hukum yang mustahil dapat diterapkan tanpa adanya pemerintahan dan negara yang mengambil dan menerapkan hukum-hukum tersebut.”

     Pemimpin yang terbaik adalah pemimpin yang mahir menggunakan seni kepimpinan, tahu akan selok belok pentadbiran, melazimi diri dengan arus perjuangan, membiasakan diri dengan sepak terajang dunia kepimpinan. Tindakannya penuh berhikmah dan bijaksana.

     Sistem musyawarah merupakan sistem terbaik dalam seni kepimpinan , kerana tanpa sistem ini, nescaya satu kepimpinan itu akan tempang dan cacat, tidak mampu menyerlah bahkan kepimpinan itu akan jatuh merudum ke tanah. Islam mengajar umatnya agar sentiasa bermusyawarah dan tetap dengan keputusannya dalam segala hal, dari sekecil-kecil perkara sehingga mentadbir dunia, sebagaimana ayat 38 surah As-Syura tang bermaksud :

((Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.))


     Kita juga telah dibuktikan dalam sirah sendiri bahawa Nabi Muhammad saw dan para sahabat itu sendiri bermusyawarah dan tetap berpegang dengan keputusan musyawarah walaupun mendapat bantahan daripada sahabat seperjuangan sendiri.

     Perlunya kepimpinan dalam Islam kerana Islam itu tidak tertegak dengan kata- kata sahaja, bahkan disulami dengan tindakan, tidak juga tertegak dengan caci maki, namun ditegakkan dengan hujah dan hikmah, dan tidak didirikan dengan sifat mahabbah sahaja, namun didirikan dengan penuh kefahaman yang jitu.

    Dan sebagai peringatan jika manusia mengabaikan perkara ini mengikut acuan syara’, boleh dilihat dalam sejarah umat Islam itu sendiri dalam peristiwa Tatar dimana Islam diruntuhkan dengan sehina-hinanya dek manusia ketika itu lalai daripada melaksanakannya mengikut acuan syara’.

Disediakan oleh,
Abdul Hakim Bin Khairuddin
Timbalan Yang Di-Pertua
BKASM 2014

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG