KEDATANGAN ISLAM MENGANGKAT MARTABAT WANITA - Tinta Jumaat Siri ke -7

KEDATANGAN ISLAM MENGANGKAT MARTABAT WANITA
 
             Seluruh alam baru sahaja menyambut kelahiran terunggul Nabi Muhammad S.A.W pada tanggal 12 Rabiul Awal yang lalu. Dalam menghayati sirah perjuangan baginda S.A.W  membawa risalah Islam, haruslah kita sebagai umat Islam menjadi penyambung rantai-rantai perjuangan baginda S.A.W agar Islam terus masyhur di persada dunia.

Di sebalik sirah Rasulullah SAW, kita dapat melihat betapa berharganya darjat seorang wanita yang diangkat selepas kebangkitan Islam. Kehidupan di zaman Jahiliah menjadikan wanita hanya sebagai tempat memuaskan nafsu, melayani wanita sebagai hamba dan yang lebih malang anak-anak kecil ditanam hidup-hidup dengan alasan mereka mungundang celaka! Namun hadirnya insan mulia ini, telah menyelamatkan dan meninggikan darjat wanita. Buktinya, di dalam al-Quran telah terakam indah surah yang khusus buat kaum hawa antaranya surah an-Nisa’, surah an-Nur, surah at-Talaq yang menggambarkan keprihatinan Islam terhadap wanita.

Malangnya, wanita zaman kini lupa bahawa mereka dahulunya pernah ditindas, mereka kembali semula ke zaman jahiliah di mana aurat dibuka tanpa segan silu, adab dan sopan tidak lagi ada dalam diri, dan sanggup menggadaikan maruah diri. Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda:

 “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak sekalipun kamu akan mengikut mereka" Sahabat bertanya "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan     Nasrani yang Tuan maksudkan?" Nabi SAW menjawab "Siapa lagi?" (HR Muslim)

Saban hari, kita lihat betapa licik dan sistematiknya propaganda-propaganda yang diatur oleh musuh-musuh yang cuba menjatuhkan dan memesongkan akidah wanita-wanita Islam. Justeru itu, kita selaku wanita Islam perlu sedar peranan kita dalam menjulang kembali martabat wanita kerana wanitalah yang bakal menjadi sayap kiri rijal dalam medan dakwah. Wanita jugalah menjadi tapak semaian  dalam melahirkan generasi-generasi yang akan mewarnai arena perjuangan Islam serta menjadi guru pertama yang akan membentuk akidah anak-anak.

Akhir kata, berusahalah mencontohi Rabiatul Adawiah untuk menjadi hamba yang taat dalam mengabdikan diri kepada Sang Khaliq, jadilah sesabar Fatimah dalam menghadapi kesulitan dan kesusahan hidup, contohi kemulian Siti Khadijah dalam pengorbanannya  terhadap perjuangan Rasulullah S.A.W dan jadilah seteguh Siti Hajar saat diuji Allah S.W.T.


“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

Nuraishah binti Zainuddin
Timbalan Lajnah Penerangan & Penerbitan
BKASM sesi 2014/2015



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG