DI SEBALIK SAFAR - Tinta Jumaat Siri 2


                  Alhamdulillah tanpa kita sedari kini sudah berlalunya bulan Muharram. Kita telah pun memasuki bulan Safar.  Bertepatan dengan itu, marilah kita bersama-sama mengingati sirah yang berlaku pada bulan ini. Bulan Safar adalah bulan ke-2 dalam kalendar Islam yang bermaksud kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini kebiasaannya orang-orang Arab akan meninggalkan rumah untuk melaksanakan tugasan penting seperti menyerang musuh, menuntut bela kematian dan berdagang.

                  Umum mengetahui telah menjadi kepercayaan sebahagian masyarakat apabila disebut bulan Safar pasti akan ada yang mengaitkan dengan  bulan bencana atau bulan sial. Walaupun pada hakikatnya mitos ini ternyata salah. Hal ini berdasarkan   hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W. bersabda , “Tiada penyakit menular ( yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu, dan tidak ada bala (bencana) pada bulan Safar (seperti yang dipercayai )” (HR. Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad).

     Rasulullah S.A.W. juga bersabda : “ Tidak ada wabak dan tidak ada keburukan binatang terbang dan tiada kesialan  bulan Safar dan larilah ( jauhkan diri ) daripada penyakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri dari seekor singa ”(HR. Bukhari)

Dalam sejarah Islam, bulan Safar menempatkan peristiwa-peristiwa penting yang berkaitan dengan zaman                         perkembangan Islam dari zaman Rasulullah S.A.W hingga kejayaan dan keruntuhannya. Berikut peristiwa penting di bulan Safar :
· Perkahwinan Baginda S.A.W. dengan Khadijah binti Khuwailid R.A, ianya berlaku sebelum Nabi S.A.W dilantik menjadi Rasul.
· Kebenaran berperang (2 Hijrah), peperangan pertama yang dihadiri oleh Rasulullah S.A.W. adalah 'Wudan' atau 'Abwak'  bagi menentang kekufuran.
· Tragedi Ar-Raji', berlaku pada tahun ke-3 Hijrah (pendapat lain, 4 Hijrah). Seramai tujuh orang sahabat Baginda S.A.W. diutus untuk mengajar agama Islam kepada kaum 'Udal dan Al-Qarah, tetapi mereka telah mengkhianati perutusan tersebut.
· Peperangan Bi'ru Ma'unah (4 Hijrah), di bawah pimpinan Al-Munzir bin 'Amr As Sa'idiy yang ditugaskan untuk berdakwah dan mengajar tentang agama Islam dan Al-Quran kepada Bani 'Amir disertai oleh 40 orang sahabat Baginda S.A.W.
· Pembukaan Khaibar (kubu orang Yahudi) pada tahun ke-7 Hijrah, disertai juga oleh 20 orang sahabat wanita di antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd. Mutallib dan Ummu Aiman. Seramai 15 orang sahabat gugur syahid manakala pihak Yahudi pula seramai 73 orang mati terbunuh. Orang Yahudi pada mulannya merasakan bahawa mereka tidak boleh ditewaskan kerana keteguhan kubu, jumlah alat kelengkapan senjata dan bilangan mereka yang ramai.
· Peperangan Maraj Rahit pada tahun ke-13 Hijrah di pinggiran bandar Damsyik, Syria di bawah pimpinan Khalid bin Al -Walid.
· Pelantikan 'Abd. Rahman Al Ghafiqiy sebagai Gabenor Andalusia pada tahun 113 Hijrah.
· Kewafatan panglima Islam Salahuddin Al-Ayyubi pada 27 Safar 589 Hijrah.
· Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad ke tangan Tatar pada tahun 656 Hijrah. Khalifah 'Abbasiah, Al-Mu'tasim Billah, terbunuh serta ahli keluarganya, orang-orang kenamaan negara dan ratusan ribu orang Islam.  Beribu-ribu kitab Islam musnah.

Justeru, sebagai umat Islam kita semua mestilah yakin dan percaya bahawa musibah atau sesuatu yang menimpa manusia bukanlah kerana adanya hari nahas atau kerana adanya binatang tertentu atau kerana kematian seseorang. Yang wajib kita yakini adalah semua yang terjadi di alam ini adalah dengan takdir dan kehendak Allah S.W.T. 

Renungilah wahai sahabat sekalian, jika kita amati dan dalami semua sejarah yang berlaku di bulan Safar ini,  seharusnya kita akan berasa lebih bersemangat untuk meneruskan mata rantai perjuangan Rasulullah S.A.W. dalam segenap medan amal islami yang ada. Kita juga sudah tidak boleh berlengah lagi tanpa berbuat apa. Marilah kita bersama-sama menjadi agen perubah dan penggerak yang lebih baik. Ayuh bangkit! Bangkit ! Bangkitlah wahai sahabat dan bergeraklah.
“ Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan “
Disediakan oleh:
Ustazah Nur Amira Syuhada binti Rohimi
Timbalan Ketua Lajnah Ekonomi
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2015/2016


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG