Isu TPPA : Umat Islam Perlu Memperanankan Diri Bersama Membantah Kezaliman - Tinta Jumaat siri ke 11



Dewasa kini, kita sering kali digembar-gemburkan dengan pelbagai peristiwa semasa yang membangkitkan sentimen bangsa dan budaya. Namun jauh sekali diketengahkan  sentimen keagamaan dalam melindungi sesebuah negara yang berteraskan Islam. Hal ini dibuktikan dengan pelbagai siri dokumentari yang sedih terutamanya negara umat Islam yang ditindas tidak mendapat tempat di mata dunia akhirnya ditindas dengan sekejam rupa antaranya Syria, Burma, Afrika dan lain-lain.

Ini menunjukkan bahawasanya rata-rata daripada negara-negara besar bersikap mementingkan diri sendiri daripada mempertahankan negara yang ditindas apatah lagi yang melibatkan hal ehwal keagamaan. Mereka hanya bersama dalam hal yang bersifat berkepentingan dan membawa keuntungan kepada negara tersebut dan ini tidak terlepas kepada negara-negara Islam yang lain. Ini realiti yang berlaku sekitar keadaan geopolitik dunia hari ini.

Benarlah firman Allah S.W.T :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Al-Rum: 41).

Dunia tanpa sempadan pada era globalisasi menjanjikan pelbagai peluang dan cabaran untuk generasi masa kini. Ia juga merupakan suatu proses di mana sempadan sesebuah negara kian terbuka kepada elemen luaran sehingga menjadikan seluruh dunia umpama sebuah perkampungan global. Namun tanpa dibendung ia menyebabkan sesebuah negara hancur dan binasa.

Para ulama dunia menetapkan konsep dan penetapan globalisasi ini berdasarkan beberapa perkara :

1) Pengertian globalisasi (al-‘Awlamah) hampir sama dengan nilai kesejagatan (al-‘Alamiyyah) yang dibawa Islam. Seperti mana firman Allah S.W.T :

 وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah al-Anbiya’: 107).

Globalisasi juga digambarkan pada hari ini bererti membaratkan dunia (Westernisation) atau meng‘amerika’kan dunia (Americanisation), dengan tujuan untuk menguasai dunia di bawah satu ungkapan yang lunak iaitu Globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksaan pengaruh Amerika dan Eropah ke seluruh dunia.

2) Ianya tidak boleh hanya disingkapkan dalam skop tanpa realiti bahkan perlu ditetapkan sikap dan pendirian Islam terhadap globalisasi moden ini yang diambil pandangan tokoh ilmuwan Islam kontemporari.

Baru-baru ini, tanah air telah dilanda dengan isu GST. Tidak cukup dengan isu GST (Goods and Services Tax) terus disambung dengan isu baru yang dinamakan TPPA (Perjanjian Kerjasama Tran-Pasifik). Secara umumnya TPPA ini adalah adalah sebuah perjanjian perdagangan bebas FTA ( Free Trade Agreement), iaitu perjanjian antara 2 negara atau lebih, di mana negara anggota memberikan layanan yang lebih baik sesama sendiri berbanding dengan negara bukan ahli.

Namun ini berlaku sebaliknya. Terbukti, semalam telah diviralkan di media sosial bantahan seluruh negara yang terlibat dalam permasalahan TPPA  yang dihasilkan daripada idea barat dalam mengekang pergerakan negara-negara membangun dan maju terutamanya negara umat Islam. Ia juga merupakan salah satu agenda penjajahan moden dalam melindungi rompakan global di sebalik perjanjian yang dilaksanakan yang mana diibaratkan cacing kerdil menumpang dalam perut ular yang lebih besar atau ikan yang kecil menumpang jerung yang lebih besar dan ganas.

Bermacam permasalahan akan berlaku dengan termeterainya perjanjian ini,  antaranya penindasan terhadap usahawan tempatan, keselamatan makanan negara terancam, tanah rizab serta biasiswa rakyat tergadai dan lain-lain. Bahkan perkara yang melibatkan umat Islam juga turut tergugat antaranya penghapusan sijil halal, filem-filem lucah tidak boleh dihalan

g, sosial semakin meruncing dan lain-lain. Perkara seperti ini dibimbangkan berlaku dalam keadaan tanah air Malaysia dibelenggu dengan pelbagai masalah yang meruncing. Ia dilihat bukan penyelesaian kepada ekonomi global, bahkan lebih bersifat penjajahan baru.

Apabila keberkatan sesebuah negara telah hilang disebabkan nista dan kezaliman yang telah diamalkan berzaman lamanya, akhirnya terzahirlah satu persatu keburukan dan kekurangan yang Allah S.W.T sendiri dedahkan atas ketamakan pemerintahnya dalam mengejar keduniaan.

Bertitik tolak daripada pemerintah negara, para pemudanya apatah lagi rakyat di dalam negara tersebut telah terbiasa dengan amalan yang mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T, akhirnya semua yang melibatkan teras agama Islam dipisahkan daripada pentadbiran dan kehidupan harian rakyat jelata. Islam hanya dipelajari di dalam surau, masjid, sekolah, madrasah dan institusi pengajian. Selepas selesai, semuanya ditinggalkan dan tidak diamalkan sepanjang siri kehidupan mereka selaku seorang muslim.

Berat cabaran kali ini, peranan ulama dan umara perlu digandingkan bersama dalam mengembalikan semula izzah dan roh Islam yang perlu disuntik ke dalam jiwa rakyat jelata sebelum kian parah dengan permasalahan yang bakal menimpa entah kunjung tiba. Umara sebagai penggerak manakala ulama sebagai rujukan dan teras kepada pembangunan negara. Jika kedua-dua ini dijaga dengan sebaiknya bahkan difungsikan pada setiap sektor di dalam agensi kerajaan nescaya pembangunan negara tersebut dipelihara dengan sebaiknya daripada anasir perpecahan dan masalah sosial kian dapat diselesaikan dengan sebaiknya.
Dalam menghadapi cabaran globalisasi ala-Barat dan ala-Amerika ini, salah seorang ulama Kesatuan Ulama Islam Sedunia menggariskan 5 strategi yang perlu diambil umat Islam sedunia, iaitu;

1) Akidah yang bebas daripada penjajahan pemikiran
2) Mengurangkan pergantungan Amerika
3) Persaudaraan dan penyatuan
4) Revolusi dakwah global
5) Membina kekuatan

Akhirnya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam menolak perjanjian TPPA ini agar tidak dilaksanakan. Bermacam kerosakan bakal berlaku dengan termeterainya perjanjian ini. Peranan pemerintah hari ini perlu mengembalikan semula pentadbiran yang berteraskan Islam dan menyebarluaskan perlaksanaan tersebut di seluruh sudut agar rakyat dapat manfaat serta membentuk tanah air Malaysia sebagai Negara “Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghofur”. Manakala para ulama perlu memain peranan sebaiknya sebagai penasihat utama dan agen penerangan dalam menegakkan syiar Islam di tanah air.

Umat Islam wajib membebaskan diri daripada penjajahan pemikiran sekular agar dapat kembali kepada agama yang sempurna seterusnya keluar daripada kepompong dan kebergantungan kepada barat dalam menyelesaikan masalah politik, ekonomi, dan sosial yang dihadapi oleh negara umat Islam. Hakikat yang perlu diketahui adalah negara umat Islam majoritinya kaya dengan hasil galian semula jadi dan dikurniakan muka bumi yang subur dengn hasil pertanian. Selain itu juga, kita mempunyai tenaga pakar yang berkebolehan dan mampu untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku dengan penuh kerjasama dan berintegriti. Dengan adanya kerjasama ini ianya dapat menghasilkan satu natijah yang terbaik dan menaikkan lagi Islam di mata antarabangsa.


Disediakan oleh :

Muhammad Salihin Bin Abdullah
Penasihat BKASM sesi 2015/2016

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG