TARBIAH - Tinta Jumaat siri 8



 Tidak boleh dinafikan, tarbiah merupakan aspek yang cukup penting dalam pembentukan diri dan jati diri seseorang muslim. Disebabkan itu tidak hairan kalimah ‘tanpa tarbiah, gerenti rebah’ sangat masyhur meniti di bibir para mahasiswa saban tahun, sama ada di Mesir mahupun di Malaysia. Bahkan kalimah ini masih tetap dititip di bibir kita sehinggalah ke hari ini. Hal ini kerana kita faham akan peri pentingnya peranan tarbiah untuk membentuk jati diri mukmin dan menentukan siapa kita di masa hadapan.

 Sejarah membuktikan bahawa permulaan langkah perjuangan para sahabat bermula dengan acuan tarbiah yang disusun sendiri oleh Rasulullah. Amalan qalbi dan jawarih sentiasa dijaga. Hasilnya, maka lahirlah generasi yang mampu membawa cahaya hidayah Islam ke persada dunia sehingga kita hari ini dapat mengecapi nikmat Islam.

 Namun demikian, kebanyakan daripada kita pada hari ini telah melupakan sunah tarbiah Rasulullah dan para sahabat sehingga jelas di hadapan mata kita lahirnya masyarakat muslim yang lemah iman dan ibadahnya, tempang pemikiran dan jiwanya, serta buruk akhlak dan peribadinya.

 Justeru tunas tarbiah perlu sentiasa dititikberatkan ke atas pemuda agar generasi yang lahir daripada tunas tarbiah ini merupakan generasi yang punya matlamat jelas dan jati diri sebagai seorang muslim.

 Dalam membincangkan konteks tarbiah, ulama telah menekankan beberapa aspek utama tarbiah antaranya :
 1) Tarbiah akliah
 2) Tarbiah ruhiah/imaniah
 3) Tarbiah jasadiah

Kesemua aspek tarbiah ini perlu berteraskan 2 ciri asas di bawah :
 1)  التكامل   (saling melengkapi) - Tarbiah yang dilaksanakan perlulah ditekankan daripada segenap aspek, sama ada akliah, ruhiah, jasadiah, ijtimaiyah, jundiah mahupun siasah.
 2)  التوازن   (seimbang) - Setiap aspek tarbiah, perlu ditekankan secara seimbang tanpa diabaikan satupun daripadanya. Hasil daripada
Tarbiah, lahirnya generasi yang bersedia menggerakkan dakwah Islamiah dan menegakkan syariat Islamiah. Mereka melaksanakan tarbiah daripada segenap sudut sehinggakan tidak mampu bagi musuh Islam mencari walau sekelumit kelemahan pada diri mereka.

 Mereka adalah golongan yang Allah pelihara dan Allah sebutkan sifat-sifat mereka di dalam Al-Quran :
Maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela.

Kesimpulannya, tarbiah perlulah diterapkan dalam diri setiap individu yang bergelar Muslim. Aspek tarbiah ini bukanlah sesuatu yang harus diambil ringan. Tarbiah bukan segala-galanya, tapi segala-galanya bermula dengan tarbiah. Wallau a’lam

Disediakan oleh:

Muhammad Nazim Bin Bahnan
Ketua Fasilitator
BKASM sesi 2015/2016


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG