PROGRAM KEMBARA AZHARI ANAK SELANGOR - UKHUWAH ANTARA DUA BENUA

Bagi menjayakan program ini pihak penggerak meletakkan
beberapa objektif. Antaranya, mewujudkan ukhuwah antara ahli BKASM bersama
penduduk kampung tersebut, menyebarkan dakwah dan nilai-nilai akhlak serta
mendedahkan ahli BKASM pengalaman berkhidmat kepada masyarakat.
Pada 5 Ogos pagi Jumaat, para peserta berkumpul di masjid
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk bergerak beramai-ramai menuju ke tempat
program.Sebanyak 6 buah kereta yang terlibat dan tiba di tempat program sekitar
jam 12 tengahari. Selepas zohor, diadakan taklimat program bersama peserta yang
dikendalikan oleh pengarah program iaitu saudara Muhammad Faez Ehsan bin Supian
.Perasmian program diadakan sejurus selepas solat Asar di Masjid
Mutmainnah dengan dirasmikan oleh Tuan
Haji Mohd Sulor bin Tohiron, Ketua Kampung Labohan Dagang. Program
berakhir pada hari pertama dengan
pembahagian keluarga angkat yang melibatkan 10 buah keluarga.
Pada keesokkan harinya di sebelah pagi, peserta telah
melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat, yang mana peserta ikhwah diberi
tugas mengecat dinding pagar di sekolah
kebangsaan Kampung Labohan Dagang. Manakala peserta akhawat dibahagikan kepada
beberapa kumpulan untuk operasi pembersihan. Antara kawasan yang terlibat
Masjid Mutmainnah, Masjid Ar Rahman(masjid lama), Markaz Tarbiyyah Idrissiyyah
dan Balai Raya. Di sebelah petang pula, peserta turun untuk rewang bersama
masyarakat kampung atau nama Jawanya dipanggil 'sinoman'. Apa yang menarik di
kampung ini adalah 'lemper' iaitu salah satu kuih Jawa yang pasti akan
dihidangkan ketika majlis perkahwinan. Cara membungkus 'lemper' salah satu ilmu
baru pada petang itu. Manakala di sebelah malamnya, diadakan satu forum khas yang
bertajuk, "Merdekakah Kita?". Pengisian disampaikan oleh panel yang hebat iaitu Ustaz Mohammad Farid bin Mohammad
Zainal, Pengerusi ILMAM dan Ustaz Muhammad Labib bin Abd Jalil, Pengetua Kolej
Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuan Selangor (KITTIS). Forum malam itu merupakan
penutup program bagi hari yang kedua.
Hari terakhir hari ketiga merupakan hari bersama warga
kampung atau dipanggil Hari Keluarga. Beberapa pertandingan dan sukaneka telah
dijalankan. Antaranya pertandingan melukis, mewarna, lumba basikal paling
lambat, boling kelapa dan lain-lain. Sukaneka ini telah diceriakan dengan
kedatangan adik-adik daripada pelajar PASTI dan sekolah rendah.Selain itu,
terdapat juga persembahan cara membuat kerepek sukun yang disampaikan oleh puan
Norita. Akhir sekali, majlis penutupan telah dirasmikan oleh YB Dato' Dr. Ahmad
Yunus bin Hairi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu
dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri Selangor.Berakhirnya
program dengan bergambar bersama penduduk kampung.
Jutaan terima kasih kepada JKKK kampung Labohan Dagang,
ketua kampung, semua tenaga penggerak yang membanting tulang, peserta-peserta
yang komited,keluarga angkat yang banyak memberi tunjuk ajar dan warga kampung
Labohan Dagang yang sudi menerima kunjungan pelajar Selangor yang menuntut di
Mesir.Tidak lupa juga kepada penyokong dan pendokong baik secara langsung
mahupun tidak langsung. Banyak pengajaran dan pembelajaran yang diperoleh
sepanjang program. Semoga ukhuwah antara dua benua ini terus tersemai dan subur
hingga di syurga sana.
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"
Kembara Azhari Anak Selangor 2016
BKASM 2015/2016 dengan kerjasama ILMAM Selangor dan JKKK
Labohan Dagang
Ulasan
Catat Ulasan