HALUSI TINDAKAN, ELAKKAN SEMPADAN Nukilan Siswa siri 26
Dari Anas bin Malik R.A, beliau berkata, Seorang Arab Badwi pernah memasuki masjid, lantas dia kencing di salah satu sisi masjid. Lalu para sahabat mengherdik orang ini. Namun Rasulullah S.A.W melarang tindakan para sahabat tersebut.Tatkala orang tadi telah menyelesaikan hajatnya, Rasulullah S.A.W lantas memerintah para sahabat untuk mengambil air, kemudian bekas kencing itu pun disirami.
(Riwayat Bukhari no.221 dan Muslim no.284)
Beberapa faedah dapat kita ambil melalui hadis ini namun terdapat dua penekanan faedah yang menjadi titik fokus pasca isu hangat yang berlegar dalam masyarakat.
Pertama, hadis ini menunjukkan akhlak mulia dan kebijaksanaan Rasulullah dalam mendepani orang yang jahil dengan cara berlemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Sedangkan baginda layak berbuat sedemikian kerana tindakan Arab Badwi tersebut telah melanggar larangan kencing atau membuat kekotoran di masjid yang umumya mengetahui ia adalah tempat peribadatan yang perlu dijaga kebersihan dan kesuciannya. Bahkan Rasulullah tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan dan sebab-sebab tertentu malah baginda menasihati dan menunjukkan contoh yang tepat kepada para sahabatnya dalam menghadapi sifat orang-orang jahil.
Kedua, menolak kemudaratan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika pelaku tersebut dicegah dengan tiba-tiba mungkin ia mengakibatkan mudarat serta membahayakannya kerana kencing yang dihentikan secara tiba-tiba boleh mengundang risiko dan sakit.
Atau kemungkinan dia akan terkejut lalu berpindah atau lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya bersepah-sepah. Akhirnya,najis tersebut akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya serta terpalit ke anggota badan yang lain.Disebabkan tindakan bijaksana Rasulullah,maka najis tersebut hanya terkena pada satu tempat sahaja malah najis tersebut dapat dibasuh dengan sempurna hanya dengan sebaldi atau sebekas air.
Pembaca yang budiman,
Kita tidak boleh mencegah kemungkaran dengan cara yang salah serta terburu-buru. Juga tidak boleh mencegah keburukan dengan keburukan atau lebih buruk lagi. Sebaliknya aplikasikanlah ilmu maqasid berkenaaan maslahah dan mafsadah dengan pertimbangan yang tepat berdasarkan neraca syariat bukan ditentukan oleh akal manusia semata. Kita tidak boleh mengingkari kemungkaran dengan suatu kemungkaran yang lain bagi mengelak kemungkaran yang lebih besar lagi.
“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”
Disediakan oleh :
Fatin Nadzira Bt Mahadzir
Fasilitator BKASM sesi 2016/2017
#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
Ulasan
Catat Ulasan