KEPIMPINAN MELALUI TAULADAN - Nukilan Siswa Siri 18
“Sesungguhnya agama yang benar dan diredai di sisi Allah adalah Islam." (Surah Ali-Imran : ayat 19)
Islam telah meletakkan beberapa panduan dalam memastikan seruan Islam itu sampai kepada seluruh umat. Tidak dinafikan bahawasanya sistem pemerintahan adalah salah satu wasilah yang menjadi kompenen terbesar dalam memastikan dakwah Islam terus berkembang ke seluruh alam. Hal ini kerana Islam adalah agama yang syumul mencakupi seluruh aspek kehidupan.
DAKWAH DALAM PEMERINTAHAN
“Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadap-Ku, dan datanglah kamu kepada-Ku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah).” (Surah An-Naml : ayat 31)
Di dalam pemerintahan kerajaan Nabi Sulaiman a.s., baginda mendapati terdapat sebuah kerajaan Saba’ yang diperintah oleh seorang Ratu perempuan. Akan tetapi, pemerintahan di bawah Ratu Saba’ bukan sebuah kerajaan Islam kerana Nabi Sulaiman mendapati Ratu Saba’ beserta kaumnya sujud kepada selain Allah ditambah dengan hasutan syaitan yang memperelokkan segala perbuatan syirik yang dilakukan oleh kerajaan Ratu Saba’. Sebagai seorang pemerintah Islam, Nabi Sulaiman a.s. telah mengajak kerajaan Ratu Saba’ kepada Islam dengan mengutus sepucuk surat.
TAWARAN MUSUH UNTUK MENOLAK ISLAM
“Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiahkepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita.” (Surah An-Naml : 35)
Setelah Ratu Saba’ menerima sepucuk surat daripada kerajaan Nabi Sulaiman a.s., dia bersama menteri-menterinya berfikir mencari jalan supaya mereka dapat menarik kerajaan Nabi Sulaiman a.s. untuk bersama mereka. Akhirnya, Ratu Saba’ menghantar utusannya dengan memberi hadiah kepada kerajaan Nabi Sulaiman a.s.
PEMIMPIN ISLAM TERUS BERPRINSIP
“Maka apabila (utusan pembawa hadiah) datang menghadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman : “Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu.” (Surah An-Naml : ayat 36)
Sebagaimana sabda Nabi SAW ketika baginda ditekan saat mengajak kaumnya kepada Islam : “Seandainya mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku agar aku meninggalkan urusan agama ini, sama ada ia dimenangkan oleh Allah atau aku dibunuh dalam menegakkanya nescaya aku tidak akan meninggalkannya.”
CIRI-CIRI PEMIMPIN ISLAM
“Iaitu mereka yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan kemungkaran. Dan bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Hajj : ayat 41)
Manusia diciptakan menjadi khalifah di atas muka bumi. Maka ulama menyebutkan antara tugas seorang khalifah adalah menegakkan agama dan mengurus tadbir dunia dengan agama. Oleh itu, antara ciri-ciri pemimpin yang di sebut di dalam ayat di atas ialah :
-Mendirikan solat
-Memberi zakat
-Menyuruh berbuat kebaikan
-Melarang dari melakukan kejahatan dan kemungkaran
Kesimpulannya, apabila diamanahkan sebagai pemimpin, jadilah pemimpin yang bertakwa, apabila diposisikan sebagai pengikut jadilah pengikut yang bertakwa agar Islam terus dipelihara oleh golongan yang bertakwa.
Akhir sekali, telah berkata Saidina Umar r.a. “Tiada Islam kecuali dengan berjamaah, tiada jamaah kecuali dengan kepimpinan, dan tiada kepimpinan kecuali dengan ketaatan.”
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
Disediakan oleh :
Nur Hidayah binti Mohd Ariff
Penasihat BKASM sesi 2017/2018
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM
Ulasan
Catat Ulasan