KONSEP AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR - Nukilan Siswa siri 17



{لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ*
كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ}

"Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan."
"Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh."
(Surah Al-Ma'idah : ayat 78-79)

Semua orang mengaku bahawa antara tugas orang-orang yang beriman adalah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Akan tetapi persoalannya berapa ramaikah manusia yang betul-betul melaksanakan perintah Allah ini?

Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang mulia, Baginda dipercayai oleh seluruh orang Quraisy. Kelahiran Baginda disambut dengan begitu meriah sekali dan antara yang paling gembira ialah bapa saudaranya sendiri iaitu Abu Jahal. Akan tetapi setelah Baginda mendapat wahyu daripada Allah untuk berdakwah kepada kaumnya supaya beriman kepada Allah dan meninggalkan berhala-berhala tradisi yang mereka sembah itu. Nabi Muhammad SAW serta merta dibenci, dikecam, dikeji, dicaci oleh kaum kerabatnya sendiri.

Apabila fitrah mereka dicabar, mereka akan menentang sedaya upaya sehingga apa yang mereka buat itu diterima dan tidak diganggu oleh orang lain. Syaitan berjaya menguasai diri , menjadikan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah itu sebagai perhiasan kepada mereka lalu menyebabkan mereka  lalai dengan dosa yang sudah sebati dengan diri.

Itulah hakikat pada zaman ini, ke arah revolusi kemodenan akan tetapi mundurnya dari segi akhlak dan sikap manusia itu sendiri terutamanya kes hisbah yang berlaku dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi di Mesir. Peratusan kes ikhtilat tidak syar'ie kian meruncing dan meningkat bagaikan tiada noktah. Mereka tanpa segan silu melakukan kemungkaran secara terang-terangan. Perkara ini berlaku kerana mereka tidak memahami batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syariat agama Islam demi menjaga kemaslahatan umat Islam. Dosa ikhtilat merupakan salah satu perkara mungkar yang wajib dicegah dengan segala kemampuan.

Konsep Amar Makruf Nahi Mungkar mesti selari berlandaskan garis pandu syariat agama Islam. Ramai beranggapan bahawa amar makruf sahaja yang perlu disebarkan supaya ramai orang lebih tertarik dengan keharmonian Islam dan tidak mengambil bahagian dalam kerja-kerja nahi mungkar kerana takut orang ramai menjauhi kita. Ujian Nabi Muhammad SAW ketika menyampaikan dakwah lebih dahsyat berbanding dengan kita. Baginda ingin mendidik umatnya supaya terus kuat dan tabah dalam berdakwah.

Perlu diingat bahawa kita melakukan Amar Makruf Nahi Mungkar ini adalah untuk mendapatkan keredaan Allah bukan keredaan manusia.  Musuh Islam tidak takut jika kita rajin beribadah siang dan malam, akan tetapi mereka sangat takut jika seluruh umat Islam bersatu untuk melaksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar . Justeru, marilah sama-sama kita menggerakkan segala usaha bagi melaksanakan tuntutan ini. Bersama kita mengekalkan dan menyebarkan biah solehah ini.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh,

Muhamad Hakim bin Mohd Nasir
Ketua Lajnah Penempatan dan Perumahan
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG