PERISTIWA AHZAB : ANTARA IMAN DAN KUFUR
Firman
Allah SWT :
إِذۡ
جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ
وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠.
Maksudnya
: “Ketika itu mereka datang kepadamu dari belah hulur dan dari belah hilir
(tempat pertahanan) kamu, dan ketika penglihatanmu terpana dan hatimu resah
gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing menyangka terhadap Allah
dengan berbagai-bagai sangkaan.” (Surah Al-Ahzab : ayat 10)
Ayat di atas menerangkan
keadaan umat Islam ketika berlakunya peperangan Ahzab. Tentera Islam diserang dari pelbagai sudut oleh musuh daripada golongan musyrikin dan munafikin.
Peperangan ini berasaskan pengkhianatan golongan
Yahudi yang memberi peransang kepada orang-orang Musyrikin. Pengkhianatan
berlaku bukan sahaja di kalangan Bani Nadir, tetapi disertai oleh Bani Quraizah
dan mempunyai perjanjian kesetiaan dengan negara Islam namun mereka bertindak mengkhianati
perjanjian tersebut. Perkara yang berlaku memberi pengajaran kepada kita betapa
orang-orang Yahudi terkenal dengan sifat khianat bukan sahaja kepada manusia,
bahkan terhadap Allah SWT.
Dalam peperangan Ahzab, Rasulullah SAW menerima cadangan Salman al-Farisi
supaya menggali parit. Ini
menunjukkan bahawa Rasullulah SAW seorang pemimpin yang sentiasa melazimi syura
dan menerima ilmu dunia yang bermanfaat.
Penyertaan Rasulullah SAW ketika
menggali parit dengan memberi sumbangan tenaga, titik peluh dan semangat. Perbezaan Rasulullah SAW dengan tokoh biasa yang lain
adalah kebanyakan mereka hanya memerhati dari jauh, atau hanya berada di dalam pejabat-pejabat
mewah. Penyertaan tersebut melahirkan ukhuwah yang erat antara Baginda SAW dengan
para sahabat di samping melahirkan perasaan bertanggungjawab menegakkan agama
Allah dan mempertahankannya.
Peristiwa Ahzab menumpukan kepada
peperangan saraf dan semangat kerana tidak banyak pertempuran bersenjata secara
berdepan, akan tetapi serangan berbentuk tekanan jiwa yang sangat dahsyat di
mana tentera muslimin dikepung dari pelbagai arah diikuti pula dengan berita-berita
yang sampai ke telinga tentera muslimin. Ujian-ujian tersebut telah berhasil menambahkan
iman dalam jiwa orang-orang beriman, menggugat kedudukan orang-orang munafik
serta mendedahkan pengkhianatan orang-orang Yahudi. Firman Allah SWT :
وَلَمَّا رَءَا
ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ
وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا.
Maksudnya : “Dan
ketika orang mukmin melihat golongan-golongan (yang bersekutu) itu, mereka
berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kita.” Dan benarlah
Allah dan RasulNya. Dan yang demikian, bertambahlah keimanan dan keislaman
mereka.” (Surah Al-Ahzab : ayat 22)
“Memurnikan
Pemikiran Melestarikan Kesatuan”
Disediakan oleh :
Muhammad Basyiruddin bin Mohd
Ahsan
Ketua Lajnah Kebajikan
BKASM sesi 2018/2019
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM
Ulasan
Catat Ulasan