"TINTA JUMAAT"(Semangat Dakwah Kebangkitan Ummah)


           
             Dakwah atau menyeru kepada Allah SWT merupakan sebuah kewajipan berdasarkan firman Allah SWT:

قل هذه سبيلي ادعوا الى الله على بصيرة
Ertinya:”Katakanlah inilah jalan(agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kamu kepada Allahdengan hujjah yang nyata.”(surah Yusuf:108)

              Firman Allah dalam surah Ali-Imran:104, ertinya: “Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan yang mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung”.

              Seorang daie dalam melaksanakan kewajipan ini dituntut agar memiliki pengetahuan agama yang baik agar dakwahnya tidak tersasar daripada landasannya. Sebagaimana diketahui bahawa amal mengikuti ilmu, ketika suatu amal tidak dibangunkan atas landasan ilmu, maka kerosakan yang lebih besar akan menguasai berbanding manfaat yang ada.

Syeikh Mustafa Masyhur menyebut bahawa ada tiga thaqafah fikriah yang harus dimiliki seorang daie:

1. Memahami Islam secara betul dan menyeluruh yang memungkinkan dia dapat melaksanakan Islam dengan pelaksanaan yang benar terhadap dirinya, dan dengan itu pula dia dapat menyampaikan Islam dengan baik kepada orang lain. Dia mampu melaksanakan Islam dan menyampaikan secara total, murni dan original.

2. Para daie mesti mengetahui kondisi dan situasi dunia Islam dahulu dan sekarang, mengenal musuh-musuh Islam dan mengetahui cara dan tindak-tanduknya. Dia juga harus mengetahui peristiwa-peristiwa aktual yang mempengaruhi kondisi kaum muslimin dari dekat atau jauh. Mengetahui siapakah golongan yang bekerja dibidang dakwah Islam, kecenderungan dan cara-cara mereka, bagaimana bentuk kerjasama yang perlu dibuat bersama-sama dengan mereka, dan persoalan-persoalan lain yang patut diketahui oleh orang-orang yang aktif dalam gerakan Islam.

3. Para daie harus menyampaikan untuk memantapkan ilmu yang berkaitan dengan urusan hidup manusia seperti ilmu kedoktoran, teknik, pertanian, ekonomi, perusahaan dan lain-lain. Oleh itu, bagi seorang kader dia harus berusaha memperbaiki dan meningkatkan kualiti ilmu yang dimilikinya secara professional agar dia mendapat tempat dalam masyarakat dan dapat mengisi tempat-tempat kosong pada saat kita membangun dan menegakkan Daulah Islamiyah. Telah disebutkan bahawa sebahagian besar ilmu pengetahuan moden sekarang ini telah dipelopori oleh para cendekiawan muslim zaman dahulu, kerana agama Islam mendorong umatnya untuk mencari ilmu dan belajar serta dapat menghubungkan ilmunya dengan Al-kholiq.
Tentunya mustahil bagi seseorang mencapai tingkat kesempurnaan bagi keilmuannya kerana luasnya ilmu Allah. Dengan itu, hendaklah setiap daie menyampaikan apa-apa yang telah diketahuinya secara baik kepada orang-orang yang belum mengetahuinya, dan inilah hakikat dari dakwah.

             Turun atau naiknya semangat di dalam sebuah amal Islami adalah suatu yang biasa sebagaimana keimanan yang sentiasa ada pasang surutnya, akan tetapi yang tidak dibolehkan adalah hilang sama sekali semangat untuk beramal Islami. Sabda Rasulullah SAW:

“Setiap amal mempunyai masa semangat (syirroh) dan setiap masa semangat terdapat pula masa turun semangat (fatroh). Barangsiapa masa lemah semangatnya masih berada pada sunnahku maka ia telah mendapat petunjuk. Dan barangsiapa masa lemah semangatnya berada pada selainnya maka ia celaka”(H.R Ahmad)

Diantara hal-hal yang digunakan dalam menjaga semangat berdakwah adalah:

1. Mengetahui secara baik akan keutamaan dakwah. Firman Allah SWT:
Ertinya:”Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata:sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?” (QS.Fussilat:33)

2. Menyedari bahawa Allah hanya memerintahkan kepada kita untuk menyampaikan kepada manusia dan tidak membebankan kita agar mereka semua menerima dakwah kerana urusan hati manusia berada dalam genggaman Allah. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya hati manusia berada diantara dua jemari dari jari jemari Yang Maha Pengasih dan Dialah yang membolak-balikkannya.”(H.R. Tirmidzi dan Ahmad)

3. Hendaklah dalam menegakkan kewajipan berdakwah ini tidak bersendirian akan tetapi berada dalam satu barisan atau jemaah, bersama orang-orang yang berjuang menegakkan agama Allah, dan bersama orang-orang yang kehidupan mereka betul-betul diberikan untuk kejayaan islam dan kaum muslimin, orientasi perjuangan mereka adalah kebahagiaan akhirat bukan kenikmatan dunia yang seringkali menipu manusia. Sabda Rasulullah:
“Tangan Allah bersama jemaah”(H.R. Tirmidzi)

“PASAK KEILMUAN TEGUH PEMIKIRAN”
“KITA PMRAM”

HASIL NUKILAN:
USTAZAH AINA NADZIRAH MOHD YUNUS
TIMBALAN BENDAHARI KEHORMAT
BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR (BKASM)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG