WARKAH TARBIAH (Jangan Merajuk Wahai Pejuang Agama Allah)





Hidup ini menuntut mujahadah berterusan, setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu diusahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena, sehinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai muharrik. Mereka yang berada di dalam kategori tersebut mesti lebih lagi menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa.

Begitupun hal itu pasti tidak akan dapat dielakkan, usah kita lupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal waktu bersungguh dan berakhir dengan waktu lelah. Jika kita terkandas memandu keghairahan semangat dan azam, kita akan kecewa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Tetapi ingatlah, tidak pernah susah bermakna tidak sempurna, tidak pernah merasa payah bermakna tidak normal. Allah memberikan amanah mengikut kesanggupan hambaNya, natijahnya pula di bawah takdirNya. Bak bidalan, ‘menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi’.

Lalu di saat hati sedang kabur, lemah dan gelisah, carilah hikmah apapun yang ditenun di dalam lembar Al Quran. Rupa-rupanya kisah Nabi Yunus A.S yang jarang dijadikan bahan sebutan, memberi seribu pengertian dalam kehidupan seorang da’ie (pendakwah).

Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia

Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina

Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati
Ke tepi pantai seorang diri

Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan

Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira

Sedarlah Baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya


Inilah Dai’e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan diri. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana setiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan.
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman” – Surah Ali ‘Imran:139, Al Quranul Karim

NUKILAN : 
Ustaz Mohd Ikrami Daim
Ketua Lajnah Dakwah & Tarbiah 
BKASM sesi 2012/2013

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG