DEMONSTRASI : SOLUSI ATAU POLUSI?
Mutakhir ini sering kali kita mendengar dan
menyaksikan sendiri demonstrasi yang berlaku di sekitar kita. Demonstrasi yang
dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu adalah tidak lain dan tidak bukan untuk
menuntut kebenaran yang dinafikan oleh sebahagian pihak yang lain. Jadi, adakah
demonstrasi ini salah satu jalan penyelesaian atau sebaliknya?Apa pula dari
sudut hukumnya?
Suka untuk berkongsi sebuah artikel yang telah diterbitkan oleh MANHAL,PMRAM sebagai rujukan kita bersama.
Demonstrasi bermaksud tunjuk perasaan
dengan cara berkumpul beramai-ramai, berarak dan seumpamanya. Ia merupakan
konsep atau wasilah dalam menyampaikan sesuatu perkara. Disebabkan itu antara konsep dalam
demonstrasi ialah mengadakan himpunan samada menyatakan sokongan atau bantahan,
perarakan, rapat umum dan apa jua aktiviti yang melibatkan perhimpunan masyarakat
yang ramai.
Maka hukum bagi demonstrasi adalah mengikut kepada tujuan dan
wasilah yang digunakannya. Hal ini demikian kerana demonstrasi bukanlah tujuan
utama, namun ia merupakan wasilah atau cara dalam menunjukkan sesuatu tujuan.
Justeru dalam membincangkan hukum demonstrasi, kita lihat kepada jenis-jenisnya
iaitu :
- menunjukkan kekuatan
islam dan ummat yang bersatu.
-mencegah kemungkaran
dan kezaliman serta menyeru ke arah perkara makruf.
-menggunakan cara yang
tidak bertentangan dengan syara' dan sebagai pemberitahuan secara
besar-besaran.
-menggulingkan
pemerintah islam yang adil.
-mengangkat senjata.
Merujuk kepada jenis-jenis demonstrasi, maka para ulama' sepakat
bahawa demonstrasi yang berbentuk untuk menggulingkan pemerintah yang adil
dengan menggunakan cara yang tidak syarie iaitu menggunakan senjata dan kekerasan, hukumnya adalah haram. Maksud
firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat ke 59 yang bermaksud:
"Wahai
orang yang beriman! taatilah Allah dan taatilah Rasul serta pemimpin dikalangan
kamu"
Berkenaan ayat di atas, Imam At-Thabari menyifatkan ulul amri dalam ayat tesebut ialah ketua
atau pemimpin berdasarkan hadith Nabi SAW yang menyuruh mentaati pemerintah
selagimana di atas landasan yang benar.
Manakala demonstrasi yang berbentuk menuntut hak,
menunjukkan kekuatan Islam dan kesatuan rakyat dalam berhadapan dengan
pemerintahan yang zalim yang melakukan kemungkaran adalah diharuskan. Hal ini
berdasarkan kepada dalil hukum asal bagi sesuatu perkara (selain dalam konteks
ibadah) adalah harus.
Demonstrasi adalah dalam konteks urusan dunia, tidak
termasuk dalam konteks ibadah, maka hukum asal bagi konteks urusan dunia adalah
harus dan terpulang kepada kebijaksaan manusia dalam menguruskan wasilah yang
pelbagai dan sesuai dengan zaman mereka. Hal ini demikian kerana demonstrasi
adalah wasilah kepada sesuatu tujuan yang ingin disampaikan. Maka sekiranya
tujuan untuk menuntut hak yang dirampas dan keadilan yang sebenar dengan
wasilah demonstrasi secara aman tanpa merancang menimbulkan huru-hara maka ia
adalah diharuskan.
Dr.Yusuf Al-Qardhawi menerangkan 3 cara apabila
berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan jelas melakukan kemungkaran, bahkan
apabila mencegah sekiranya diam atau rahsia masih tidak berjaya, maka wajib ke
atas ummat Islam apabila mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk mencegahnya
melalui :
-undian pilihanraya
-kuasa
tentera
-kuasa rakyat
Dalam konteks kuasa rakyat adalah termasuk sekali
dengan mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan bahawa rakyat tidak bersetuju dengan kemungkaran yang
dilakukan oleh pihak pemerintah.
Pebahasan ini adalah merujuk kepada perbahasan
mencegah kemungkaran melalui 3 peringkat yang disuruh oleh Nabi SAW dalam
sabdanya :
"Sesiapa
dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran , maka wajib mengubahnya dengan
menggunakan tangan (kuasa), maka sesiapa yang tidak mampu, maka dengan lisan,
sekiranya tidak mampu juga maka dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman " -HR Muslim-
Dan Nabi SAW juga bersabda yang diriwayatkan oleh
Anas RA yang bermaksud : " Bantulah
saudara kamu yang zalim dan yang dizalimi. Maka bertanya sahabat, 'Wahai
Rasulullah, aku mengetahui bahawa untuk
membantu orang yang dizalimi maka bagaimana cara untuk membantu orang yang
zalim?' Maka jawab Nabi SAW,' menghalangnya atau mencegahnya daripada
berterusan melakukan kezaliman maka demikian kamu telah membantunya".
Semoga segala usaha rakyat di seluruh pelosok dunia
yang mahu kebenaran tertegak di bumi Allah ini dengan berwasilahkan cara yang
menepati syara' sentiasa diberi nusrah
oleh Allah. Kemenangan Islam itu pasti dicapai suatu hari nanti
Artikel Asal : Manhal PMRAM
Nukilan:Mardhiah Binti Ibrahim
Timbalan Lajnah Penempatan dan Perumahan
BKASM 2012/2013
Ulasan
Catat Ulasan