Tinta Jumaat Edisi 31:Mengertikan Kejayaan
asy-Syahid Sayyid Qutb di akhir hidupnya memberikan satu kalam yang berharga untuk kita.Beliau berkata, "Kebahagiaan yang saya rasakan bukan terjadi ketika saya menerima sesuatu daripada orang lain,tapi ketika saya memberikan sesuatu kepada orang lain."
السلام قبل الكلام
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Salam sejahtera penulis ucapkan kepada semua.
Dalam menghitung beberapa hari sahaja lagi untuk kita melangkah masuk ke dewan Imtihan,maka tidak salah kiranya Tinta Jumaat minggu ini membawakan satu tajuk seputar peperiksaan,ERTI KEJAYAAN
Sahabat-sahabat yang dirahmati ALLAH SWT
Semasa masih di bangku pengajian,kita mengukur kejayaan diri pada bertambahnya pengetahuan.Lebih banyak kita tahu,terasa diri meningkat menjadi lebih baik dari semalam.
Namun dengan bertambahnya usia,apabila kita bukan lagi seorang individu,kejayaan pengetahuan dan amal menjadi kecil tidak bererti.Jika selama masa yang lalu,kita adalah individu yang mengukur kejayaan pada apa yang dicapai oleh peribadi,kini ukuran itu sudah tidak bermakna.
Setiap kita mengukur kejayaan pada sejauh mana kejayaan peribadi dapat dipindahkan kepada insan tersayang.Jika seumur hidup kita menjadi anak tersayang,pelajar cemerlang,rakan terbilang,kini..mampukah semua ini membekas pada ibu,ayah,adikberadik kita dan rakan-rakan?
Kita membuang segala penghargaan dunia kepada kejayaan diri,jika kejayaan itu hanya pada sebuah peribadi.Pada insan yang berjiwa DA'IE,kejayaan hakiki adalah pada keupayaan diri untuk membawa orang lain berjaya sama.Membawa sahabat-sahabat untuk cemerlang sama.Cemerlang sahsiah dan cemerlang keputusannya.
Maka,pada hari ini,medan IMTIHAN adalah medan yang terbaik untuk kita melatih diri dalam menjadi insan yang membimbing orang lain untuk berjaya juga bersama.Dan secara hakikatnya,kita sebenarnya sedang berusaha membimbing manusia bukan untuk mencapai kejayaan dunia yang sementara semata-mata,malahan untuk mengejar nikmat kejayaan syurga yang selama-lamanya.
Sahabat-sahabat yang dimuliakan ALLAH SWT sekalian.
Sememangnya sifat untuk membawa orang lain untuk berjaya bersama adalah sifat para salafussoleh yang mulia.Masakan tidak,usaha dakwah yang dilakukan oleh Nabi SAW dan sahabat-sahabat Radhiallahuanhum adalah untuk mengajak umat selepas generasi mereka "berjaya" dalam agama sepertimana mereka juga merasai nikmat kehidupan berpandukan Islam.Begitu juga dengan para ulama terdahulu yang bersusah payah dalam memberikan perhatian dan kesungguhan kepada ilmu sehingga terhasilnya kitab-kitab buat rujukan umat masa kini juga dengan matlamat yang sama,supaya generasi terkemudian mendapat dan merasai manfaat yang sama seperti mereka.
Suatu perkara untuk kita fikirkan,adakah wawasan generasi terdahulu dan wawasan kita sama?Maksud penulis,usaha dan jerih payah mereka dahulu bukan semata-mata mereka sumbangkan untuk masyarakat di zaman itu sahaja,bahkan untuk 100,200 malahan menjangkau 500 tahun generasi di hadapan.Maka,belajarlah mendidik jiwa seperti mana jiwa mereka dididik,jiwa untuk memberikan seluas-luas dan sebesar-bessar manfaat bermula dengan rakan-rakan kita di musim imtihan ini.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Akhir kalam,semasa masih di bangku pengajian,belajarlah untuk berkongsi kejayaan dengan rakan dan taulan .Jika telah terasa manisnya iman,sebarkan kemanisan itu dengan menghulurkan tangan pada sebuah dakwah dan bimbingan.Di medan terakhir pecutan menuju imtihan ini,bantulah rakan-rakan mengikut kemampuan serta jangan lupa doa kepada Yang Maha Memberikan supaya bersama-sama beroleh kegemilangan.Belajarlah mengukur kejayaan diri pada kejayaan membawa orang lain berjaya sama.
Sesungguhnya pengalaman itulah bakal teruji apabila masyarakat dan umat menanti untuk dibawa,kepada sebuah kejayaan bersama menuju ke syurga.
Salam imtihan,salam kejayaan
'Generasi Rabbani,Pelapis Tarbawi,Tranformasi Ummah Berkualiti'
'KITA PMRAM'
Hasil Nukilan:
Ustaz Muhammad Faez Ehsan bin Muhd Supian
Ketua Lajnah Kesenian dan Sukan
BKASM 2012/2013
Ulasan
Catat Ulasan