Tinta Jumaat Edisi ke-35 : Rabi'ul Awwal ( Semai CINTA, Tanam CITA-CITA)

Bismillahirrahmanirrahim,

Dengan nama ALLAH, Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Pemurah.

Pena kali ini, terlalu indah, ingin mengajak sekalian i’badillah, mencintai Rasulullah, seiring terus menggapai makrifat cinta Allah, di samping bergerak melakukan amanah sebagai Khalifatullah dan mencapai cita-cita lillahitaala yang tiada sudah.

Rabi’ul Awal. Bulan menyemai cinta. Bulan menanam cita-cita.

Keindahan bulan Rabi’ul Awal bagaikan bebunga pagi hari yang menyinari hati-hati insan yang menanti cahaya dalam gelap kehidupan. Ungkapan ini, sama sekali memberi  maksud sebenar erti bulan Rabi’ul Awal, bulan permulaan musim bunga ,tumbuh-tumbuhan dan  buah-buahan sejak sekian lamanya bagi penduduk kota Jazirah Arab.

Pastinya, bulan ini bukan sahaja memberi maksud hissi yang mengindahi pancaindera  bahkan disana pasti tersirat unsur maknawi yang membawa inspirasi sanubari. Artikel kali ini, ingin membawa para pembaca bersama-sama menikmati keindahan kedatangan bulan ini disusuri dengan cita-cita yang membara disulami cinta yang mengulit rasa.

Mari kita selusuri lembaran tinta-tinta sirah dahulukala, sinonimnya Rabi’ul ‘Awal sebagai bulan meraikan cinta terhadap baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kelahiran baginda yang membawa cahaya kepada seluruh kota dan alam buana, dilantik menjadi Rasul sebagai penutup segala akhir.Baginda tiba di kota Yathrib menjadi titik tolak kepada kebangkitan tamadun ilmu dan manusia. Akhirnya, kewafatan baginda yang menguatkan lagi cinta para perindu syurga dan akhirat. Kesemua peristiwa ini dicoretkan dan sejarah tersebut berlaku dalam bulan Rabi’ul Awal, oleh itu, tiada sebab lagi untuk kita kurangi selawat dan salam buat baginda dalam titipan bibir dan zikir.

Selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W merupakan suatu amalan yang disyariatkan oleh Islam.Firman Allah (s.w.t) yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”. [Surah Al-Ahzab: 56]

Manakala di dalam hadith-hadith Rasulullah (S.A.W.), terdapat kelebihan-kelebihan yang dinyatakan berkenaan dengan selawat ke atas baginda (S.A.W.), antaranya, Sabda Rasulullah (S.A.W.) yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia yang paling utama denganku pada hari kiamat ialah yang paling banyak berselawat ke atasku”. [Hadith riwayat Imam Tirmizi daripada Abdullah bin Mas’ud r.a].

Atas seruan, “Amr Ma’ruf Nahi Munkar”,para pejuang gerombolan jihad tentera Islam suatu ketika dahulu menggagahi ekspedisi ekspansi futuhat merentasi hiruk piruk kota, gelora ombak laut, merentangi gunung-ganang belukar bagi membuka kota-kota Islam seperti Kota Iraq, juga Baitul Muqaddis .  Namun, dibulan yang mulia ini, kejatuhan kota Andalus selama hampir 800 tahun dibawah ketamadunan keilmuan dan kemegahan kesenian Islam oleh orang Sepanyol benar-benar menggugah serta merampas kegemilangan dan meruntuhkan jiwa umat Islam.

Koreksi kembali, adakah kejatuhan ini menjadikan umat Islam terus-terusan lemah atau kembali mengorak langkah menjadi sebaik-baik umat yang menjadikan dunia landasan akhirat. Ingatlah Firman Allah, (s.w.t) yang bermaksud Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) diantara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.(Ali-Imran:110)

Hadirkan, semangat Rabiul Awal sebagai pemangkin cita-cita, seperti kekuatan tentera muslimin di dalam bulan ini yang memerangi kuffar dalam perang Ghatafan,  Safwan (Badar pertama),  Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal, serta peperangan Bani Lahyan. Masakan kekuatan fizikal tentera muslimin terdahulu dijadikan  alasan lemahnya spiritual ummah masakini. 

Rabi’ul Awal, bersilih ganti, namun cinta dan cita-cita masih lagi mencari para pemegang yang akan merialisasikan kedua-dua elemen ini sebagai semangat yang bukan sekadar retorik bahkan realistik, seperti Rabi’ul Awal yang awalnya biji benih yang akhirnya menjadi debunga indah hadiah dari Tuhan buat hambanya yang lemah.

Salam Imtihan, cita-citakan kejayaan kerana cintakan kepayahan dan kesabaran  Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

 Allahumma Solli Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Alihi Wasohbihi Wa Barik Wa Sallim..

 -MendambaRedhaMu-

"Generasi Rabbani Pelapis Tarbawi Transformasi Ummah Berkualiti"
"KITA PMRAM"

Nukilan:
Ustazah Nor Baity Emy Binti Mohd Yusof
Timbalan Ketua Lajnah Kebajikan
BKASM 2012/2013


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG