NISFU SYAABAN,PADANYA ADA KEBERKATAN



Dalam sahih Bukhari dan Muslim,diriwayatkan bahawa Aisyah Radiallahu anha menceritakan,
“Aku tidak pernah melihat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam (SAW) berpuasa satu bulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa lebih banyak dalam sebulan dibandingkan dengan puasa Beliau pada bulan Syaaban.”

Dalam riwayat lain menyebutkan,

“Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam berpuasa penuh pada bualan Syaaban.”

Nisfu Syaaban adalah hari peringatan islam yang jatuh pada pertengahan bulan Syaaban.Nisfu Syaaban diperingati bahawa akan menjelangnya bulan ramadhan.Para Ulama menyatakan bahawa Nisfu Syaaban juga dinamakan sebagai malam pengampunan atau malam maghfirah,kerana pada malam itu Allah Subhanahu Wa Taala(SWT) menurunkan pengampunan kepada seluruh Alam,terutamanya kepada hamba-hambanya yang soleh.Al Imam Al-Ghazali menerangkan di dalam kitab karangannya Ihya’ Ulumuddin,Al-Imam mengistilahkan malam Nisfu Syaaban sebagai malam yang penuh syafaat(pertolongan).

Imam ikutan kita iaitu Al-Imam Muhammad Idris As-Syafie menyebutkan dalam kitabnya Al-Umm,
“Telah sampai kepada kami,bahawa doa yang dimustajabkan (iaitu dimakbulkan oleh Allah) pada lima malam,iaitu pada malam JUMAAT,malam HARI RAYA KORBAN,malam HARI RAYA AIDIL FITRI,awal malam BULAN REJAB,dan malam NISFU SYAABAN,”

Berkenaan dengan bulan syaaban terdapat beberapa hal yang patut diketahui bersama,kerana malam Nisfu Syaaban sejak lama menjadi perdebatan dalam kalangan Ulama dan para ahli Hadis dan menjadi ‘mahallun-khilaf’ yang nyaris sepanjang zaman tidak akan ada jalan penyelesaiannya,kerana masing-masing pihak berpendapat dengan ijtihad dan dalil masing-masing.Sebahagian Ulama menganggapnya sebagai sunnah dan sebahagian Ulama menganggapnya sebagai bid’ah hasanah mahmudah(secara syari’e dikategorikan sebagai baik dan terpuji) dan sebahagian lain menganggap sebagai amalan bid’ah yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW.

Hukum menghidupkan Malam Nisfu Syaaban dengan doa dan Al-Quran menurut pandangan Ulama:

Al-Imam Syafie di dalam kitab Al-Umm menyampaikan:
  “Telah sampai kepada kami,bahawa doa yang dimustajabkan (iaitu dimakbulkan oleh Allah) pada lima malam,iaitu pada malam JUMAAT,malam HARI RAYA KORBAN,malam HARI RAYA AIDIL FITRI,awal malam BULAN REJAB,dan malam NISFU SYAABAN,”

Al-Imam Ramli di dalam kitabnya Nihayatul Muhtaj (2/397):
“Al-Imam Ramli menyampaikan bahawasanya doa pada dua malam hari raya,malam jumaat,awal rejab dan nisfu sya’ban adalah mustajab,maka di sunnahkan untuk menghidupkan malam tersebut.


Ibnu Rajab,dalam kitab Lathaif Al-Ma’arif berkata:
“Ada dua pendapat para ulama Negeri Syam tentang menghidupkan malam Nisfu Syaaban.Pendapat pertama menyatakan dianjurkan menghidupkannya secara bersama-sama dalam masjid.Pada malam itu,Khalid Bin Mi’dan,Lukman Bin Amir dan lainnya memakai pakaian terbaiknya,menggunakan minyak wangi dan celak mata lalu berdiam di dalam masjid.Ishaq Bin Rahawaih bersetuju dengan amalan itu.Dia juga menyatakan bahawa melaksanakan solat secara berjemaah pada malam itu di masjid bukan termasuk amalan bid’ah.Pendapat kedua menyatakan bahawa berkumpul di masjid pada malam Nisfu Sya’ban untuk melakukan solat,memberikan nasihat dan berdoa adalah perbuatan yang makruh.Tetapi jika seseorang melakukan solat secara sendiri maka tidak dimakruhkan.Ini adalah pendapat Awza’i,pemimpin Ulama dan Ahli Fikh Negeri Syam.”

Salah satu Hadis yang diriwayatkan dari Muadz Bin Jabal,dari Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam,Baginda bersabda:

“Allah Subhanahu Wata’ala menampakkan diriNYA pada malam Nisfu Syaaban,maka DIA mengampuni seluruh hamba NYA,kecuali orang yang Musyrik atau pendengki.”                                   
  (HR. Thabrani dan di sahihkan oleh Ibnu Hibban.)

Dengan demikian,menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan cara yang disebutkan adalah amalan yang disyariatkan,bukan bid’ah ataupun makruh.Atas dasar itu,sekiranya kita semua dapat menyedari bahawa sesungguhnya bulan Syaaban merupakan bulan persiapan sebelum memasuki bulan yang suci iaitu Ramadhan.Persiapan itu meliputi persiapan mental dan fizikal.Manusia atau ummat bakal memasuki bulan Ramadhan sudah dalam keadaan iman yang mantap untuk menghadapi bulan yang penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran ini.Kita sebagai umat Islam sangat dianjurkan untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan cara memperbanyak ibadah,solat sunat,memperbanyak bacaan zikir,memperbanyak selawat,membaca Al-Quran dan mengerjakan amalan soleh yang lainnya.Semoga Allah SWT sentiasa memandang kita sebagai hamba yang beriman dan beramal soleh dan semoga Taufiq dan Maghfirah Allah SWT sentiasa menaungi kita.
Wallahu A’lam..


Disediakan oleh:
Ustaz Muhammad Ezzani Ismail
Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM 2014

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG