KENYATAAN RASMI: BKASM SOKONG TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM KEKAL MENTERI BESAR SELANGOR





KENYATAAN RASMI: BKASM SOKONG TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM KEKAL MENTERI BESAR SELANGOR

Baru-baru ini negeri Selangor digemparkan dengan cadangan  menukar jawatan Menteri Besar Selangor yang sedang disandang oleh  Y.A.B Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim sehingga mencetuskan kemelut yang kurang menyenangkan dalam kalangan rakyat Selangor.

Maka Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) selaku badan rasmi yang mewakili suara anak Selangor di Mesir terpanggil untuk menyatakan pendirian dengan menyokong penuh  kedudukan  Y.A.B Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim  selaku Menteri Besar negeri Selangor yang bertuah ini.

Pastinya dengan pelbagai hasil mahsul ekonomi untuk kebajikan  rakyat Selangor  dan rekod urustadbir negeri  yang sangat cemerlang selama dua penggal ini, dibuktikan dengan peningkatan sokongan rakyat kepada kepada Pakatan Rakyat pada PRU 13 yang lepas, rakyat Selangor sendiri telah menyaksikan kredibiliti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam memikul amanah sebagai menteri besar. Mungkin kedapatan beberapa kelemahan yang berlaku tetapi ia masih boleh diuruskan dengan saluran yang sebaiknya  tanpa perlu menukar  kepimpinan yang bersifat tergesa-gesa.

Allah swt  berfirman dalam Surah Saad ayat 26:



Maksudnya:

“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu”.

 Berdasarkan firman Allah swt tersebut  BKASM melihat bahawa kepimpinan  adalah satu amanah yang amat besar tanpa didasari oleh nafsu yang tamakkan pangkat dan jawatan. Justeru, masyarakat haruslah menyedari bahawa polemik isu MB Selangor yang timbul ini tidak hanya berkaitan dengan survival agenda sesebuah parti politik akan tetapi ia melibatkan kepercayaan,kepentingan dan kebajikan rakyat Selangor. Ini kerana Islam mengajar kepentingan umum hendaklah sentiasa diutamakan berbanding kepentingan peribadi atau pihak tertentu.Seperti yang disebut di dalam kaedah fiqh muwazanat:

تقدم المصلحة العامة على المصلحة الخاصة

“Diutamakan kepentingan umum berbandingan kepentingan tertentu”

Alasan yang dikemukan bagi menukar kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga dilihat meragukan oleh BKASM sedangkan rekod pentadbiran beliau yang bersih tanpa terlibat dengan isu penyalahgunaan kuasa. Seharusnya dalam polemik ini,pandangan daripada rakyat Selangor perlu dijadikan rujukan utama.

Justeru itu, BKASM mengharapkan  agar polemik ini dapat ditangani secepat mungkin dengan terus memberi ruang kepada menteri besar yang sedia ada bagi melaksanakan tanggungjawab beliau sekali gus tidak mengabaikan kepentingan rakyat supaya setiap agenda yang telah dirancang oleh kerajaan negeri dapat dijayakan dengan berkesan.


“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”

Fikhry Hakim Bin Fadzilullah
Yang Di Pertua
Badan Kebajikan Anak Selangor 2014

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG