TUHAN TAHU KITA MAMPU - Tinta Jumaat Siri ke -12

TUHAN TAHU KITA MAMPU
Hidup kita tidak lari daripada mengahadapi pelbagai UJIAN DAN CABARAN.
Firman Allah Taala :
أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ ۖ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ
“ Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah”. SURAH AL-BAQARAH :114
Iman kadang kala akan naik dan kadang kala akan menurun. Itulah lumrah bagi insan yang bergelar manusia ciptaan tuhan. Bukan mudah untuk mengekalkan prestasi diri untuk terus beristiqamah dalam melaksanakan ibadah kepadaNYA.
Kadang kala kita mudah terleka dengan perhiasan dan nafsu dunia. Biarpun demikian jangan biarkan ia terus dihanyutkan dengan buaian hasutan, terus bangkit perbaiki segala amalan, perbanyakkan amalan sunnah bahkan ringankan tulang dalam bersama membantu perjuangan Islam.
Jangan menyesal dengan apa yang telah kita azamkan. Ingatlah Allah sentiasa memerhatikan kita tanpa kita sedarkan. Jangan takut dengan bayangan manusia yang ada tetapi takutlah dengan azab ALLAH bagi mereka yang lalai dan alpa sengan suruhanNYA.
Apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir ALLAH yang tiada hikmahnya. Orang-orang yang soleh apabila diuji, hikmah dan ujian mendekatkan mereka kepada ALLAH. Namun, bagi mereka yang tidak suka atau benci apabila diuji, tidak akan dapat melihat hikmah disebalik ujian yang mendatang kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan nafsunya sahaja.
{ALLAH will never leave you EMPTY he will replace everything you have LOST if he asks you to put something DOWN it’s because he wants you to pick up something GREATER}
Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.
Akhir kata marilah kita bersama-sama perkukuhkan posisi, menyusun segala strategi demi memartabatkan Islam serta berdoalah dengan sang pencipta semoga dengan didikan ini menguatkan lagi hubungan kita terhadap tuhan pencipta alam serta terus istiqamah berbakti untuk Islam.
“Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan”
Disediakan Oleh :
Ustaz Muhamad Nasrul Bin Jamal
Ketua Lajnah Ekonomi
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015
Ulasan
Catat Ulasan