KEPERIBADIAN AMIRUL MUKMININ ; Pemimpin yang amanah dengan Tanggungjawab - Tinta Jumaat Siri ke - 15

KEPERIBADIAN AMIRUL MUKMININ ;
 Pemimpin yang amanah dengan Tanggungjawab



Pernah diceritakan, pada suatu malam, Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab R.A. keluar meronda bersama seorang pembantunya. Apabila tiba di satu tempat, mereka terjumpa seorang wanita bersama beberapa orang anaknya. Lantas terus disapa oleh Umar R.A. dengan salam dan menanyakan hal keadaan mereka. Wanita itu menjawab bahawa mereka kedinginan dan tiada tempat tinggal.

Melihatkan keadaan anak-anak wanita itu yang sedang menangis, maka Umar R.A. bertanyakan keadaan mereka. Si Wanita menjawab bahawa anak-anaknya menangis kerana kelaparan. Wanita itu hanya memasak air untuk menenangkan anak-anaknya kerana menyangka makanan sedang disiapkan sehinggalah mereka tertidur. Hakikatnya mereka tidak mempunyai sesuatu pun untuk dimakan.

Maka Umar R.A. bertanya apakah perkara ini tidak diketahui Khalifah Umar?  Si Wanita menjawab: “Umar R.A. memang pemimpin kami tetapi dia tidak mengambil peduli hal-hal orang seperti kami”

Segera, Umar R.A. dan pembantunya menuju ke gudang penyimpanan bekalan. Beliau telah mengambil gandum dan minyak samin untuk dibawa  kepada wanita tersebut. Lalu Khalifah Umar R.A. meminta keizinan wanita itu untuk memasak. Segera Umar R.A.  memasakkan mereka bancuhan gandum dan minyak samin. Selesai, wanita itu mengejutkan anak-anaknya yang tertidur bangun untuk makan.

Sikap yang ditunjukkan oleh Saidina Umar bin Al-Khattab merupakan contoh keperibadian muslim yang sangat mulia dan tinggi. Memberi pengajaran kepada kita bahawa Islam amat mementingkan sikap amanah dalam setiap diri jiwa muslim. Kepimpinan yang baik adalah yang menunaikan amanah sebagaimana yang disuruh syariat. Firman Allah S.W.T:-
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu untuk menunai amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan apabila kamu berhukum terhadap manusia maka hendaklah kamu berlaku adil” (Surah An-Nisa’: Ayat 58)

Lawan bagi amanah ialah khianat. Pemimpin apabila dia berlaku khianat dengan tanggungjawab yang diberi, tidak amanah, maka sesungguhnya dia sedang menanti azab daripada Allah.

Muktahir ini, kita dapat melihat ramai pemimpin yang khianat dengan amanah yang diberi. Tidak menjalankan tugas dengan baik. Bekerja untuk mencari kemewahan. Tidak berhukum dengan Islam. Mengenakan peraturan yang membebankan rakyat. Maka benarlah sabda Nabi Muhammad S.A.W:-

Sesungguhnya nanti akan muncul pemimpin-pemimpin, yang memimpin untuk kepentingan diri sendiri, tetapi bukan untuk kamu. Sekiranya kamu taat kepada mereka, kamu akan disesatkan. Dan sekiranya kamu lawan mereka, kamu akan dibunuh”
(Riwayat Tabrani)

  Oleh yang demikian, perlu untuk kita fahami bahawa Islam adalah satu-satunya cara untuk kita selamat di akhirat.  Islam membawa rahmat keseluruh alam. Para pemimpin wajib amanah dengan tanggungjawab yang diberikan. Percaya, bahawa beramal dengan syariat Allah memberi keamanan buat ummat seluruhnya.

Muhammad Hafiz bin Rasimi
Timbalan Setiausaha Agung 1
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2014/2015

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG