MENJERNIHKAN FIKRAH BUAT UMMAH - Tinta Jumaat siri ke - 27


Menjernih Fikrah Buat Ummah Kekeliruan dan kecelaruan fikrah yang dialami anggota sebuah gerakan Islam adalah suatu penyakit yang mengakibatkan berlakunya salah faham terhadap perjuangan dan matlamatnya. Seringkali tindakan yang tidak berasaskan kefahaman yang jelas dan tepat, menghasilkan natijah yang salah dan tersasar dari matlamat yang diingini. Lebih malang kiranya salah faham itu membentuk satu manhaj perjuangan yang salah sedang mereka merasakan itu adalah suatu yang benar. Akhirnya mereka berjuang di atas landasan yang salah untuk tujuan yang salah pula. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah keperluan memahami landasan perjuangan yang benar seterusnya mendapat redha Allah swt Saidina Umar al-Khattab pernah menegaskan (mafhumnya) : “Fahamilah olehmu (akan perkara agama dan urusan kepimpinan atau perjuangan) sebelum kamu dipilih menjadi pemimpin.” Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda (maksudnya): “Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan nescaya diberi faham tentang agama.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Pertama : Memahami Ghayah (Tujuan) Ghayah adalah tujuan yang ingin kita capai dalam perjuangan ini. Justeru itu, ghayah atau matlamat akhir kita ialah Allah s.w.t. Segala yang kita lakukan dalam perjuangan ini tidak boleh bermatlamatkan selain dari Allah s.w.t kerana kelak menjadikan kita terpesong daripada petunjuk-Nya : وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُواْ السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ “Dan sesungguhnya inilah jalanku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan kamu mengikut jalan-jalan yang lain kerana kelak akan menyelewengkan kamu dari jalan Allah s.w.t.” (Al-An'am, ayat: 153) Apabila kita benar-benar memahami bahawa matlamat akhir kita ialah Allah s.w.t, maka kita mesti menjadi orang yang optimis terhadap kemenangan Islam yang kita perjuangkan. Kedua: Memahami Hadaf Hadaf ialah objektif yang ingin dicapai bersama perjuangan. Gagal memahami hadaf atau objektif memungkinkan kita berjuang tanpa sebarang pencapaian atau paling tidak menjadikan kita sukar dan semakin jauh dari tujuan yang ingin dicapai. Untuk memastikan matlamat semasa dicapai, kita wajib menghayati objektif yang ingin dicapai dahulu. Jika tidak, ianya akan menjadi sia-sia sahaja. Ketiga : Memahami Manhaj Perjuangan Islam perlu difahami secara jelas sebagaimana jelasnya yang dituntut dalam Al-Quran dan Sunnah. Nafsu dan aqal adalah musuh utama dalam memahami manhaj yang ingin dibawa. Firman Allah : ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِّنَ الأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاء الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ “Kemudian kami telah meletakkan engkau di atas syariat (peraturan agama), maka ikutlah peraturannya dan janganlah engkau mengikut nafsu mereka yang tidak mengerti.” (Al-Jaatsiyah, Ayat: 18) Suatu jamaah itu mesti ada perlembagaan. Maka dengan berpandukannya kita berjuang bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Keempat: Memahami Bi’ah (Realiti) Perjuangan mestilah disampaikan melalui cara yang benar, penampilan dan method (cara) yang tepat dan sesuai. Maka memerlukan kita memahami bi’ah atau realiti yang dihadapi supaya manhaj tersebut dapat disampaikan dengan baik ke setiap hati masyarakat. Kita mestilah terbuka dan berprinsip tetapi jangan jumud dalam berfikir dan bertindak. Tidak memahami bi’ah menyebabkan kita bertindak salah dengan meletakkan suatu yang benar pada tempat yang salah dan masa yang salah pula. Kelima: Memahami persediaan Allah berfirman : وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu akan musuh Allah dan musuh kamu.” (Al Anfaal, Ayat: 60) Persediaan dan persiapan yang akan dilakukan mestilah mengambil kira kekuatan yang ada pada musuh dengan tidak lupa untuk menangani kelemahan yang ada pada kita. Saidina Umar al Khattab menyatakan (mafhumnya), “Akan terungkai tambatan Islam serungkai demi serungkai dari leher ummat Islam apabila berleluasa di dalam Islam mereka yang tidak mengetahui sepak terajang jahiliyyah (musuh).” Dan tidak lupa juga hubungan antara kita dan Allah swt sendiri. يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ. قُمِ اللَّيْلَ إِلاَّ قَلِيلا. نِصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلا. أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا. إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلا ثَقِيلا “Wahai orang yang sedang berselimut! bangunlah pada malam hari kecuali sedikit iaitu separuh atau kurang sedikit dari itu atau lebih dari seperdua itu dan bacalah al quran dengan tartil, Sesungguhnya kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu."(Al Muzammil, Ayat: 1 – 5) Sekian. Muhammad Al-Fateh Bin Ahmad Sapian, Ketua Lajnah Kebajikan, BKASM Sesi 2014/2015.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG