QUDWAH TERAS IKATAN HATI - TINTA JUMAAT SIRI KE-29

Firman Allah dalam Surah An- Nahl ayat 125 :-
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ
الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ
هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ
بِالْمُهْتَدِين
‘’Serulah ke jalan
TuhanMu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan cara
yang lebih baik Sesungguhnya TuhanMu lebih mengetahui akan orang-orang yang
sesat dari jalanNya dan Dia jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang
mendapat petunjuk.’’
Amru bin Al-‘Asr adalah salah
seorang sahabat Rasulullah yang terkenal dengan kecerdasan dan dan kepakaran
dalam menyusun strategi peperangan.
Ketika persiapan dilakukan untuk membebaskan Mesir dari cengkaman penjajahan
Romawi dan Parsi, munculnya desas-desus bahawa kedatangan Islam akan menjadi
sesuatu yang menakutkan. Malah dicanang ke seluruh penduduk Mesir bahawa Islam
akan merampas harta sewenangnya, menyerbu dan memperlakukan dengan zalim
terhadap wanita.
Saat keberangkatan menuju ke Mesir,
berlaku satu peristiwa yang menarik hati. Semua khemah-khemah sudah siap
dikemas akan tetapi ada satu yang dibiarkan tetap tegak berdiri. Lebih
menghairankan, ianya milik panglima Amr bin Al-‘Asr. Di atas khemah tersebut
ada seekor burung dara yang sedang mengeram telurnya menyebabkan beliau tidak
tergamak mengganggu ketenangan burung itu. Berita ini tersebar ke seluruh Mesir
membuatkan persepsi mereka berubah. Ternyata tentera Islam memasuki Mesir
dengan penuh kedamaian malah diberi jaminan keselamatan.
Ini adalah salah satu contoh kecil
daripada ajaran Islam. Setelah diamati penyebabnya amatlah sederhana akan
tetapi memberi jawapan yang bererti. Kalau kepada burung sahaja panglima
tentera Islam punyai sifat belas kasihan, apalagi terhadap manusia. Prinsip
inilah yang seharusnya disebarkan. Sikap kasih sayang dan penuh kelembutan
menjadi modal untuk berdakwah di lapangan masyarakat tanpa mengenepikan sikap
waspada terhadap musuh-musuh Islam.
“ Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan “
Disediakan oleh:
Ummi Aqilah binti Norlizam
Timbalan Lajnah Kesenian & Sukan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2014/2015
Ulasan
Catat Ulasan