CERPEN GURU MUDA - Hasil Karya Terbaik ( Ketiga ) PENA '15 Bengkel Penulisan dan Penterjemahan
Pada 17 Disember 2013 merupakan titik permulaan
bagi diriku yang kerdil ini. Sedang aku merasakan bosan berada di rumah, maka
diri ini terpanggil untuk mencari pekerjaan bagi mengisi masa lapangku dengan
perkara yang berfaedah. Mencari pekerjaan itu bukanlah suatu yang terlintas di
fikiranku apabila tamat menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia
(STAM) pada bulan oktober yang lalu. Tetapi jika aku diberi peluang tersebut,
ingin juga aku mencubanya untuk mencari suatu pengalaman yang baru di dalam hidupku.
Apabila sahabatku mengetahui perkara ini,
lalu dia memberikan nama dan nombor telefonku kapada seorang mudir sekolah yang sedang tercari-cari guru ganti bagi
mengajar di sekolah tersebut. Maka terpanggillah aku untuk menghadiri temuduga
itu setelah aku menerima panggilan telefon dari mudir itu, dua minggu sebelum
tarikh temuduga yang sebenar. Maka pergilah aku ke sekolah itu untuk menghadiri
temuduga bagi menjadi seorang guru ganti. Hanya Tuhan yang tahu betapa
berdebarnya hatiku ini. Jika mampu aku ibaratnya, seperti seseorang yang sedang berlari. Betapa lajunya
degupan jantungku apabila hendak ditemuduga. Takut dan gementarnya hanya Tuhan
yang tahu. Aku tempuhilah juga saat serta detik-detik itu.
Boleh dikatakan awal jugalah aku datang
pada pagi itu disebabkan takut kelewatan untuk tiba di sekolah itu. Orang baru
katakan. Semangatnya lain. Aku pun menunggu dan terus menunggu sehingga
guru-guru yang lain turut hadir juga diikuti oleh mudir sekolah itu. Ketika aku
sedang menunggu kedatangan mereka, terdapat seorang sahaja guru perempuan yang
telah datang lebih awal sebelumku. Namanya Teacher Nazirah. Sambil-sambil itu, kami
pun saling berkenalan antara satu sama lain. Apabila semuanya sudah datang,
maka berlakulah satu mesyuarat di pejabat guru lelaki. Bersebelahan dengan
kelas Tahun Empat Tarmizi. Mereka semua memperkenal diri masing-masing. Nama
guru-guru lelaki ialah Ustaz Sobri, mudir di sekolah itu. Kemudian, Ustaz
Zulkarnain, Ustaz Khairul Anam, Ustaz Norhisham dan Ustaz Khairi. Manakala guru
perempuan pula ialah Teacher Nazirah, Ustazah Suwaibatul Aslamiah, Ustazah Ummu
Sakinah, Ustazah Syazani, diriku Nurul Fatin Syazana dan yang terakhir adalah
kerani sekolah, Puan Aziana.
Pada ketika itu jugalah, barulah aku mengetahui
mesyuarat tersebut adalah mesyuarat pertama bagi para guru sesi 2014. Aku terus
diserapkan menjadi salah seorang guru di situ tanpa ditemuduga oleh mudir
sekolah. Percaya atau tidak, begitulah hakikatnya. Terdetik dibenak hatiku,
benarkah aku akan menjadi seorang guru?mampukah aku untuk mengawal para pelajar
terutama pelajar sekolah rendah?? Tetapi itulah kebenaran yang harus aku menerimanya.
Pembahagian tugas serta matapelajaran telah diberikan oleh mudir bagi setiap
guru yang bakal mengajar. Banyak jugalah matapelajaran dan kelas yang perlu
aku mengajar. Matapelajaranku adalah
Pendidikan Seni dari tahun 1-4, Dunia Sains Dunia Teknologi tahun 1-3, Jawi
tahun 4 dan Bahasa Arab tahun 6. Maka hari-hariku yang berbaki pada hujung
tahun itulah aku manfaatkan bagi membuat persiapan diri dari segi fizikal
mahupun mental sebelum aku memulakan pengajaran pada hari yang sebenar.
Pada
tarikh 2 Januari 2014 adalah hari pertamaku di sekolah tersebut. Satu suasana yang amat
aku rindui pada zaman persekolahanku dahulu tetapi watakku sekarang adalah berbeza.
Dahulunya aku berada di barisan para pelajar, kini aku berada di hadapan
sebagai seorang guru. Pelbagai perasaan yang timbul pada hari itu. Beginilah perasaan
menjadi orang baru di suatu tempat yang tidak seorang manusia pun aku kenali. Ibarat
seperti rusa masuk ke kampung. Itulah ibarat yang sesuai bagiku pada saat ini.
Kedengaran riuh-rendah di pagi itu. Hari pertama sekolah katakan. Masing-masing
bersemangat sehingga tiba-tiba diriku disapa oleh pelajar-pelajar. "
CIKGU! CIKGU!! Cikgu ini,guru baru ya di sini? " Aku hanya mampu
mengangguk dan tersenyum dengan sapaan mereka itu. Lantas aku berlalu pergi begitu
sahaja dan terus menaiki tangga ke pajabat. Berkhayal sejenak.. Sudah jadi guru
rupanya aku ini. Lantas aku terus mematikan khayalanku yang sebentar itu apabila
teringat akan sekarang adalah waktu untukku masuk ke kelas.
Aku ditaklifkan sebagai guru kelas bagi Tahun
2 Muslim. Lalu aku pun menuruni tangga menuju ke arah kelas tersebut. Apabila
aku memasuki kelas itu, maka bangunlah kesemua murid-murid di dalam kelas dan
memberi salam kepadaku dengan lafaz yang serentak "Assalamualaikum Ustazah"...
Lantas aku pun menjawabnya, "Waalaikumussalam". Kemudian kesemua
pelajar membaca doa belajar. Setelah itu, aku memberi keizinan kepada mereka untuk
duduk. Suasana kelas yang selesa dan tidak terlalu bising membuatku bertambah
tenang kerana bilangan pelajarnya adalah sangat sedikit. Hanya 9 orang pelajar.
Tanpa membuang masa lagi, aku memperkenalkan diri. "Nama saya,Nurul Fatin
Syazana Binti Mohd Fauzi. Umur 19 tahun. Asal,Paya Dalam Melaka.Masih bujang. Maksudnya
tidak berkahwin lagi. Matapelajaran yang saya akan mengajar awak semua ialah
Pendidikan Seni dan Dunia Sains Dunia Teknologi". Aku juga telah meminta
mereka untuk memperkenalkan diri. Nama-nama pelajarku ialah Aiman, Arif, Latif,
Iman, Quraisyah, Wadihah, Natasa, Aisatul dan Basirah. Selain itu, aku juga
telah memberikan sedikit pencerahan mengenai buku serta subjek yang bakal aku
mengajar. Seusai penerangan itu, aku hanya membiarkan mereka untuk melakukan
pekerjaan sendiri. Ada yang berbual, bermain, diam dan lain-lain. Tetapi dalam
keadaan yang terkawal. Sudah semestinya berada di bawah pemantauanku sambil itu
dapatlah aku perhatikan gelagat dan karenah masing-masing sehingga akhir waktu
pengajaranku tamat dan loceng berbunyi. Maka aku pun beredar bagi memberi
peluang kepada guru lain untuk masuk ke kelas.
Selang 30 minit selepas itu, aku memasuki kelas
tahun 1 Bukhari pula. Tiba-tiba aku berbicara sendiri di dalam diri.
Bagaimanakah pula pelajar-pelajar tahun 1 di kelas itu ya? Masuk sahajalah.
Apabila kakiku melangkah sahaja ke dalam kelas itu, maka berdirilah mereka dan
memberi salam kepadaku. Maka, terlihatlah aku ke arah seorang pelajar perempuan
yang tidak berdiri. Pemakaiannya juga tidak seperti pelajar yang lain. Mungkin juga
bajunya tidak sempat untuk disiapkan oleh penjahit. Dia hanya memakukan diri sahaja
apabila aku masuk dan berdiri di hadapannya. Tidak mengapalah. Mungkin dia tidak
mengetahui peraturan di sekolah itu. Bersangka baik sahajalah terhadapnya. Lalu
aku berkenalan dengan mereka semua. Berbagai-bagailah ragam yang dapat aku
perhatikan. Ada yang diam, petah bercakap, bising, suka menyakat orang lain dan
berbagai lagi. Ada juga yang menangis apabila diganggu oleh pelajar lain. Maklumlah,
pelajar tahun 1 katakan. Begitulah karenah mereka. Terima sahajalah seadanya.
Seperti itu jugalah kelas tahun 3 Ahmad.
Belum lagi aku memasuki kelas itu, suara mereka telah aku dengari dari kejauhan
lagi. Sudah aku dapat meneka bagaimanakah perangai mereka. Pelajar-pelajarnya
lagi agresif dan aktif. Nakal pun ada juga. Gaduh itu perkara biasa. Bagi yang
lemah, hanya mampu menangis sahaja. Itu sahajalah kerjanya. Bertegas lebih
sedikit pun, kurang berkesan. Suaraku ini lebih kecil jika hendak dibandingkan
dengan mereka.
Tahun 4 Tarmizi lain pula ceritanya.Boleh
kata matanglah juga. Pelajar perempuannya agak manja denganku.Walaupun kami
baru berkenalan di dalam kelas. Sifat mereka lemah-lembut sahaja. Manakala yang
lelakinya sahaja yang agak petah dan sedikit nakal. Tetapi baiklah juga jika
dibandingkan dengan kelas-kelas yang lain.
Akhir sekal, kelas tahun 6 Ibnu Majjah.
Pelajar -pelajar yang paling dewasa di sekolah. Tetapi bagiku dari segi umur,
mungkin tidak. Ini kerana sifat dan perangai mereka yang aku perhatikan.
Berbalah di antara pelajar lelaki dan perempuan itu, sudah menjadi sebati dalam
diri mereka. Masing-masing sudah besar. Masing-masing hendak bercakap dan memberikan
pendapat. Semua berfikir bahawa dirinya sahaja yang benar dan hendak menang.
Tidak kira pelajar lelaki atau pelajar perempuan. Sama sahaja. Pening jugalah
aku melihat mereka. Tetapi tidaklah semuanya begitu. Ada juga yang hanya
berdiam diri dan ada pula yang baik-baik sahaja.
Setiap kelas berlainan situasi pelajarnya
yang perlu aku tempuhi. Sabarlah duhai hati. Apabila masuk pada minggu ke-3, secara
puratanya mereka sudah mempunyai buku masing-masing bagi semua subjek yang
bakal dipelajari dan bermulalah pembelajaran mereka semua. Dari pengajaranku
kepada para pelajar, dapatlah aku simpulkan kepada beberapa kategori mengikut
matapelajaran yang aku mengajar, iaitu :
1)
Pendidikan Seni - Tidak mempunyai silibus yang khusus dan harus mencari
inisiatif lain dengan membeli buku di kedai-kedai
buku terbesar seperti di Popular atau Thai Kuang serta mencari idea-idea luar
bagi mempelbagai bahan mengajar.
2)
Dunia Sains Dunia Teknologi - Para pelajar kurang memahami penyampaian yang
diberikan serta bahan pembelajaran kurang dan ada juga yang tiada.
3)
Jawi - Silibus buku adalah baru dan agak tinggi bagi mereka serta para pelajar
tidak mampu menangkap dengan cepat serta terpaksa mempelajarinya dari asas
semula.
4)
Bahasa Arab - Pencapaian mereka ada yang sederhana dan baik. Tetapi ada juga segelintir
pelajar yang tidak mampu membawa subjek.
Itulah pemerhatian awal yang dapat aku
simpulkan. Seperti biasa, persediaan sebelum mengajar itu adalah suatu perkara
yang sangat penting. Menyusun aktiviti sepanjang waktu mengajar agar masa
pembelajaran dapat digunakan dengan sebaiknya. Contohnya, memberikan latihan
dan kerja rumah, membuat soal jawab di antara pelajar dan guru, kuiz dan
lain-lain lagi. Dengan aktiviti seperti ini, secara tidak langsung dapat menarik
perhatian mereka semasa proses pembelajaran. Seusai proses pengajaran, guru
harus membuat laporan bagi setiap matapelajaran yang diajar untuk diberikan
kepada mudir bagi melihat perkembangan pengajaran seseorang guru itu. Penat
jugalah hendak menghadap laporan itu hari-hari. Tetapi itulah yang mesti
dilalui oleh seorang guru walaupun dalam keadaan yang penat.
Waktu berlalu sehingga pada bulan ke yang
ke dua iaitu bulan Februari. Bulan yang mana para pelajar akan menghadapi ujian
pertama. Persediaan dari guru dalam menyiapkan soalan bagi kesemua
matapelajaran yang diajar serta menghabiskan silibus sebelum para pelajar
menduduki peperiksaan. Tergesa-gesalah juga. Penat itu, perkara biasa bagi seseorang
yang bergelar guru.
Realiti kehidupan seorang yang bergelar
guru sebenarnya tidak ada rehat bagi dirinya. Dari pagi sehingga tengahari
adalah watu mereka mengajar di sekolah. Petangnya pula, terpaksa berhadapan
dengan kerja rumah para pelajar untuk ditanda, membuat laporan serta persediaan
menghadapi hari esoknya. Seterusnya, bertambahlah kerjanya apabila berada pada
musim peperiksaan. Bermula dari membuat kertas soalan, menjaga peperiksaan,
menanda kertas dan memberi markah sehinggalah menyiapkan buku rekod para
pelajar untuk diserahkan kepada ibu bapa pelajar. Tidak terhenti di situ sahaja
tetapi setelah itu membuat analisa pencapaian mereka untuk dibentangkan kepada
mudir sekolah. Inilah guru. Betapa beratnya tangggungjawab yang harus dipikul
bagi melihat kejayaan generasi pada masa akan datang. Tidak kira dengan
hari-hari yang mesti dilalui bersama mereka untuk menyampaikan ilmu. Juga kelas
tambahan yang wajib dilaksanakan bagi memantapkan lagi kefahaman mereka
terhadap matapelajaran yang dipelajari. Inilah jasa para guru bagi mendidik
anak bangsa berilmu pada masa hadapan.
Berlalunya hari demi hari sehingga bulan
berganti bulan yang seterusnya. Aku menguatkan diri supaya terus bersemangat
untuk menjadi seorang pendidik. Walaupun cabaran yang mesti aku tempuhi pada
setiap hari adalah berlainan. Walaupun dengan jangka masa 5 bulan ini,
hari-hari dan bulan-yang lalu telah mematangkan diriku dengan perangai serta
karenah mereka. Ada sahaja yang tidak membawa buku ke sekolah, bermain-main,
bercakap ketika belajar, tidak membuat kerja rumah dan berbagai lagi. Bagi
guru, perkara seperti itu adalah perkara biasa yang sering dilakukan oleh para
pelajar. Tetapi setiap orang mempunyai tahap kesabaran yang terbatas dan juga ada
hadnya.
Seperti rutin kebiasaanku, aku menaiki
motorsikal. Setiap kali sebelum pergi ke sekolah, aku akan memperbaharui semula
niatku agar dapat menanamkan semangat yang baru untuk mengajar anak-anak murid
di sekolah. Think positive! Moga Allah mempermudah urusanku pada hari ini dan
akan datang. Setibanya aku di sekolah, pelajar-pelajar akan menyambutku di tepi
motor dengan berkata "Ustazah Fatin...". Aku hanya tersenyum dengan
gelagat mereka dan terus menuju ke pejabat dan menanda kehadiran.
Setelah habis perhimpunan pagi, aku
bersiap-siap dan bersedia untuk masuk ke kelas. Jadualku pada hari ini agak
padat dari pagi sehingga waktu balik. Tidak mengapa. Amanah itu, haruslah
dilaksanakan juga. Pagi itu dimulakan dengan kelasku sendiri. Tahun 2 Muslim.
Apabila aku ingin memulakan pengajian, aku pun meminta para pelajar
mengeluarkan buku. Lalu mataku memerhatikan kesemua para pelajar yang berada di
dalam kelas itu. Ada yang berkata, "Ustazah... Latif,Quraisyah dengan
Aisatul tak bawa buku". Maka aku datang menghampiri mereka sambil merotan
meja sebagai tanda amarahku. Kesemuanya tersengih-sengih denganku apabila aku
berbuat sedemikian dengan alasan yang sama, "Saya tertinggallah
ustazah..lupa hendak letak buku dalam beg masa susun jadual". Lalu aku
mendenda mereka dengan sekali sebatan di tangan sebagai peringatan kepada
mereka agar tidak melakukannya lagi pada masa akan datang dan meneruskan
pembelajaran sehingga habis waktu pembelajaranku bagi subjek tersebut. Walaupun
pada hakikatnya moodku telah bertukar sedikit. Ini kerana aku sedikit terkesan
dengan perbuatan mereka itu.
Kemudian diteruskan pula pada kelas Tahun
1 Bukhari. Aku sedikit lewat masuk ke kelas tersebut kerana guru sebelumnya
terlebih masa mengajar dan mengambil waktuku yang sememangnya sedikit tetapi
aku tetap meneruskan juga pengajaran. Waktu yang berbaki sebelum rehat, aku
gunakan hanya dengan memantau kerja rumah mereka yang lepas dengan menanda
buku. Boleh kata sebahagian jugalah yang tidak melengkapkan kerja rumah yang
berbaki itu. Pelajar-pelajar darjah tahun 1 ini, jika hendak dimarah
lebih-lebih pun bukannya mereka boleh faham dan ambil berat tentang apa yang
diperkatakan kepada mereka. Hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Membazir masa dan waktu sahaja. Berlainanlah jika berkata dengan pelajar
sekolah menengah. Masing-masing sudah besar dan mampu berfikir dengan matang.
Tidak mengapalah. Aku hanya memperingat kepada mereka agar tidak melakukannya
lagi.
Ada lagi 1 kelas yang harus aku hadiri
iaitu kelas Tahun 3 Ahmad. Hari ini, kelas inilah yang sering aku masuki.
Bermula dengan subjek Pendidikan Seni sebelum rehat. Ideaku hanya mahu membuat
tugasan di dalam buku sahaja memandangkan bahan pengajaran tidak sempat aku
siapkan kerana kepadatan jadualku serta aktivitiku di rumah. Aku pun bersuara
dan berkata kepada mereka, "tajuk lukisan kita pada hari ini ialah ular.
Tugasan awak semua ialah warnakan dan gunting lukisan tersebut menjadi seekor
ular". Kebiasaannya pelajar perempuan yang akan menyiapkan tugasan lebih
awal. Hendak diharapkan pada pelajar lelaki, ramai yang bermain dan membuat
bising di dalam kelas. Apabila ditegur, barulah mereka membuatnya. Jika tidak,
begitulah perangai mereka. Ibaratnya seperti pahat. Jika tidak diketuk, tidak
bergeraklah ia. Sekali, dua mampulah aku menegur mereka. Setelah itu, kesabaran
sahajalah yang mampu mengawal diriku ini. Hanya mampu memandang dan berdiam
diri sahaja dengan perlakuan mereka. Walaupun dalam hati ini, Allah sahaja yang
tahu aku sedang menahan amarahku itu. Aku memujuk diriku dengan kata-kata,
"Tidak mengapalah. Mungkin selepas rehat ini baiklah mereka". Setelah
loceng berbunyi, aku pun pergi ke kantin untuk membeli makanan bersama beberapa
orang guru serta menjamu selera dengan para pelajar yang lain.
Setelah habis rehat, aku meneruskan lagi
tugasanku. Kelas 3 Ahmad juga. Tetapi subjek yang berlainan iaitu Dunia Sains
Dunia Teknologi. Hatiku berbisik sebentar dengan kata-kata, "Ubahlah
tanggapan di dalam dirimu. Mungkin mereka akan menjadi lebih baik selepas rehat
ini. Apa-apa pun, bersangka baiklah dengan para pelajarmu". Melangkah
sahaja kakiku ke dalam kelas itu dengan harapan yang menggunung agar sikap
mereka akan lebih baik selepas ini.
Masuk sahaja ke dalam kelas, ketua kelas pun berdiri. Diikuti para pelajar yang
lain bagi memberi salam kepadaku. Aku menjawab salam tersebut tanpa
menghiraukan beberapa orang pelajar yang tidak berdiri dan masih lagi
bermain-main sesama mereka. Sabarlah Fatin. Dugaan bagi dirimu pada hari ini.
Lantas aku bersuara. "Keluarkan buku teks muka surat 32". Tiba-tiba ada
yang berkata, "Sekarang ke ustazah? muka surat berapa?? Saya tak dengarlah..".
Maka aku mengulangnya semula. Lalu masih juga ada yang tidak dapat menangkap kata-kataku
dek kerana riuh-rendahnya kelas pada ketika itu dengan berkata, "Apa
ustazah?". Tanpa berlengah lagi, aku pun mengambil maker pen dan
menulisnya pada papan putih. Sabar sahajalah dengan mereka ini. Pengajaranku
diteruskan dengan tajuk 'jenis-jenis haiwan'. Sebuah tajuk yang sudah
dipelajari pada minggu lepas tetapi sengaja aku mengulangnya bagi menguji
ingatan mereka terhadap pelajaran yang lalu. Aku memulakan dengan bertanya
soalan kepada beberapa orang pelajar tanpa membenarkan mereka untuk melihat
buku. Tidak ramai yang dapat menjawabnya. Aku membiarkan sahaja tanpa mendenda
mereka. Lalu aku terus membuat soalan di papan putih dan meminta mereka
menyalinnya serta memenuhkan tempat kosong dengan jawapan sendiri. Malangnya,
sehingga waktuku sudah hendak berakhir pun, masih ada yang tidak menulis soalan
dengan lengkap di dalam buku. Jawapan jauh sekali sudah siap. Tiba-tiba aku
terdengar ada suara yang bising di sudut kelas itu.
Abdullah
berkata, "Mail!kau ambil pensel aku kan? "
Lalu
Ismail menjawab kata-kata itu dengan berkata, "Mana ada.."ini aku
punyalah. Kau kenapa??
Mereka
silih berganti memberi soalan dan menjawabnya.
"Itu
aku punyalah.........."
"Aku
punyalah!!ayah aku yang belikan"
"Buwekkkk...."
(Abdullah menjelihkan lidahnya kepada Ismail)
Ismail
pun bangun dari kerusinya sambil menarik nafas yang geram dengan sikap Abdullah
yang sering mencari gaduh dengannya. Lalu terus berlari menuju ke arah Abdullah
dan menolaknya sehingga terjatuh dari kerusi yang didudukinya.
Abdullah
berkata, "Kau kenapa tolak aku?"
Berlakulah
pergaduhan di antara mereka disebabkan perkara tadi.
Aku terus bangun dari kerusi guru yang
berada di hadapan dan bertindak untuk meleraikan pergaduhan tersebut tetapi
tidak berjaya. Mereka tetap bergaduh. Ditambah pula dengan kata-kata sahabat
yang lain kepada mereka, "gaduh!gaduh!!". Semakin bertambahlah api
kemarahan mereka untuk berhenti begitu sahaja tanpa menyelesaikan perkara ini.
Lantas menjerit dan berkata, "Diam semua!Kembali ke tempat
masing-masing". Tetapi semua tidak menghiraukan teguran dan nasihatku itu.
Tahap kesabaranku sudah memuncak. Aku
sudah tidak tahan lagi dengan semua ini. Sudah cukup penat aku melayan kerenah
para pelajar dari pagi sehinggalah sekarang. Tanpa berfikir panjang, aku terus
meninggalkan kelas tersebut tanpa mengeluarkan apa jua kata-kata serta
membiarkan pergaduhan itu berlaku. Telingaku terdengar akan suara halus yang
memanggilku. "Ustazah..ustazah...". Aku terus melangkahkan kaki
keluar dari kelas itu tanpa menoleh ke belakang lagi. Sedih di sudut hati kecil
ini dengan apa yang diperlakukan oleh pelajarku sebentar tadi. Pedih sekali
bagiku. Adakah ini karma bagi diriku di atas apa yang aku lakukan terhadap
guru-guruku dahulu?Adakah aku juga bersikap seperti itu kepada mereka?? Pelbagai
persoalan bermain di mindaku. Akhirnya, aku menenangkan diri dengan berehat dan
berdzikir kepada Allah. Alhamdulillah, redha jua api kemarahanku setelah
berjayanya syaitan dalam membisikkan kemarahan sehingga aku tidak mampu
mengawal emosiku pada ketika itu. Kalahlah aku dengan emosiku sendiri kerana
tidak dapat mengawalnya dengan baik apabila berhadapan dengan masalah seperti
itu. Ya Allah..Layakkah aku dipanggil guru jika ujian sekecil ini sahaja aku
tidak dapat menghadapinya dengan akal yang waras. Tidaklah aku menyalahkan
mereka 100% di atas perkara yang berlaku. Mungkin salah aku juga kerana tidak
mampu menjadi guru yang terbaik bagi mereka. Sudah tiba saatnya aku muhasabah
diri sendiri.
Aku merasaka bahawa begitu berat ujianku
itu. Masih terngiang-ngiang suara mereka di telingaku. Walaupun masa telah
berlalu sehingga larut malam. Tidak mampu aku melelapkan mata ini dek kerana
memikirkan masalah yang berlaku siang tadi. Bagaimanakah mereka pada keesokan harinya?
Adakah sama seperti itu atau sudah mulai sedar akan perbuatan tersebut adalah
salah dan akan meminta maaf kepadaku?? Pelbagai soalan yang datang kepadaku
tanpa aku mengetahui jawapannya. Bagiku, inilah keperitan yang perlu dihadapi
oleh seorang guru. Walau apa pun yang berlaku, akan ku tempuhi jualah keesokan
hari seperti biasa.
Pagi yang agak hening dan cuacanya
kelihatan mendung sahaja. Tidaklah menandakan langit ingin menurunkan hujan dan
tidak juga matahari ingin menjengahkan dirinya. Cuaca itu sepertinya memahami
perasaan dan hatiku yang masih hambar dek perkara semalam yang memberi kesan kepadaku. Sampai sahaja
aku ke sekolah, aku melaksanakan tugasan harianku seperti selalu. Pagi ini aku
hanya bercadang untuk memberikan latihan sebagai bahan pengajaranku. Aku tidak
bercadang untuk bercakap panjang dan hanya akan memantau gerak kerja mereka.
Seperti itulah jua konsep pembelajaran bagi kelas-kelas yang lain. Termasuklah
kelas 3 Ahmad. Waktu pengajaranku di kelas itu adalah waktu terakhir bagi sesi
pembelajaran di sekolah. Aku masuk ke kelas itu seperti biasa dan meminta
mereka untuk duduk. Lantas meminta mereka membuat latihan serta menghantar
kerja tersebut sebelum bunyi loceng balik yang menandakan para pelajar boleh pulang
ke rumah.
Ketika di dalam kelas, aku hanya memakukan
diri tanpa berkata-kata dengan mereka. Sepatah yang ditanya, sepatah jualah aku
memberikan jawapan. Ada yang berkata, "Kau lah ni Mail dengan
Abdullah..tengok! kan ustazah dah marah..korang pergi minta maaf dekat
ustazah". Mail pun bangun untuk pergi meminta maaf. Tetapi tidak bagi Abdullah.
Dia hanya duduk di atas kerusi dan mendiamkan diri. Sikap degil dan keras
kepalanya tetap tidak berubah. Kawan-kawannya memaksa dia untuk pergi jua.
Akhirnya dia bangun juga dan datang kepadaku. Serentaklah Ismail dan Abdullah
berkata, "Kami minta maaf ustazah...". Aku hanya diam dan
menganggukkan kepala sahaja. Apabila loceng berbunyi, maka bersegeralah mereka keluar dari kelas
dan berpusu-pusa menuju ke tandas untuk mengambil wudhu'. Ini kerana mereka
akan solat secara berjemaah di surau setiap hari sebelum pulang ke rumah.
Seusai solat zohor, aku menaiki tangga
bersama seorang guru perempuan yang lain iaitu kak Ummu. Dialah tempat aku
berkongsi dan meluahkan apa sahaja cerita. Setelah aku menceritakan perkara
yang berlaku, lalu dia pun berkata, "Sabarlah ya Fatin. Inilah guru. Tidak
semua orang mampu menjadi seorang guru. Allah telah memilih awak menjadi salah
seorang guru di sini. Maka, Dia mengetahui bahawa awak mampu menempuh semua ini.
Satu tugas yang ganjarannya sangat besar jika kamu mendidik mereka dengan penuh
keikhlasan dan mampu membuat mereka berjaya di menara gading. Jadi, kitalah
yang harus membuat pengorbanan demi
melahirkan pejuang-pejuang agama pada masa akan datang".
Aku hanya tersenyum mendengar nasihat itu dan
berkata, "Terima kasih ya kak sebab bagi kata-kata semangat kepada
saya".
"Tidak
ada apalah. Hal kecil je tu. Akak bagi nasihat kepada orang, tapi terkadang
akak juga lemah apabila menghadapi
situasi yang sama. "
Tiba-tiba
aku terfikir, "Eh!dah pukul berapa ni? Masa kelas pemulihan sekarang ni.
Mana lah budak-budak ni tak naik lagi ke kelas..."
"Ariff!
panggil kawan-kawan yang lain. Masuk kelas sekarang. Dah pukul 2.10 petang dah
ni".
Sambil-sambil itu, aku bermonolog dengan
diriku."Memang benar apa yang diperkatakn oleh kak Ummu tu. Sudahlah. Aku
harus bangkit dari perasaan aku ini. Mereka pun sudah meminta maaf kepadaku. Ubatilah
sahaja luka itu. Didiklah mereka dengan nasihat dan hikmah seperti yang
diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W kepada umatnya".
Hari-hari yang seterusnya aku lalui dengan
penuh bersemangat. Demi melihat kejayaan mereka. Sehingga akhir bulan 6, aku
mendapat berita akan adanya kursus Bahasa Arab sebelum aku menjejakkan kaki ke
Mesir. Sebagai persediaan bagi pelajar-pelajar menghadapi Imtihan Qabul sebelum
masuk ke kuliah masing-masing. Jadi, aku tidak mempunyai masa yang panjang untuk
bersama-sama dengan mereka lagi. Aku menghabiskan masa-masa yang berbaki dengan
perkara yang mampu menjadi kenangan kepadaku pada suatu hari nanti. Hal ini aku
tidak mengheboh-hebohkannya. Cukuplah hanya menjadi rahsia dalam kalangan para
guru di sekolah. Pada saat-saat pengakhiranku di sekolah itu, baru aku
menceritakan perkara yang sebenar. Sengaja aku tidak memceritakan perkara itu
agar hatiku ini tidak terlalu sedih apabila menghitung hari-hari yang berbaki
untuk bersama mereka. Bermain, berbual , mengambil gambar itu menjadi rutinku. Semua
itu menjadi satu memori yang indah bagi diriku sebelum melangkah ke satu
gerbang yang lebih luas skopnya.
Pada tanggal 7 September 2014, itulah hari yang
menjadi titik pengakhiranku di sekolah
itu. Surat berhenti telah aku hantar kepada mudir sekolah iaitu Ustaz Sobri
lebih kurang seminggu yang lalu. Berat hati ini ingin melepaskan mereka tetapi
inilah yang aku harus aku lalui kerana aku juga masih mempunyai cita-cita untuk
dicapai. Maka, banyak masa-masaku dihabiskan bersama dengan mereka. Dalam hati
ini, Allah sahaja yang tahu betapa sedih diriku dek perpisahan ini. Semakin aku
melihat jam, semakin hampir masaku untuk berpisah dengan mereka. Masa itu tetap
akan berlalu sehingga tamatnya waktu pembelajaran. Sebelum para guru pulang,
kami saling bersalaman antara satu sama lain. Seraya itu aku berkata, "Maaf ya semua
jika Fatin ada buat salah. Terlanjur kata dan tersalah bicara. Terima kasih
semua di atas tunjuk ajar, nasihat dan jamuan yang kalian buat tadi untuk
saya". Mengalir jugalah air mataku membasahi pipi dek mengenangkan
masa-masa bersama para guru semua. Ukhuwwah yang sebentar itu sangat memberi
makna bagi diriku. Begitu jugalah para pelajarku. Telah aku memasuki kesemua
kelas di sekolah itu dan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka. Sedih itu
memang ada. Terutama pelajar yang rapat denganku. Bersalaman dan berpelukan itu
semestinya ada sebelum mereka pulang. Tetapi dengan pelajar perempuan sahaja. Hanya
nasihat sahaja yang mampu aku titipkan pada mereka agar berjaya pada masa
hadapan. Segunung harapan aku tinggalkan bagi melihat kejayaan mereka. Kenangan
hari guru pada 16 Mei 2014 tidak akan pernah sekali-kali aku lupakan kerana
terlalu banyak masa yang aku habiskan dan lakukan pada hari itu. Ucapan mereka,
nyanyian, lakonan serta gelagat mereka tidak akan aku lupakan. Hadiah-hadiah
yang diberikan bukanlah suatu yang aku minta dari mereka tetapi sebagai tanda
mereka meraikan hari tersebut. Terima kasih semua yang bergelar anak-anak muridku.
Walau tidak genap setahun aku mengajar kalian, tetapi ketahuilah itulah kudrat
termampu yang aku dapat lakukan untuk kalian. Hanya doa yang mampu aku
panjatkan untuk kalian semua agar sentiasa dalam peliharaanNya. Aku tidak meminta
untuk dibalas dengan apa-apa pun, tetapi cukuplah dengan kejayaaan kalian
sebagai hadiah terindah bagi para guru semua.
Walaupun aku sudah berhenti mengajar di
sekolah itu, aku tetap menjalin hubungan dengan mereka melalui whatsapp dan
lain-lain. Ketika ada cuti kursus, aku akan datang menziarahi mereka di
sekolah. Beraya bersama-sama itulah yang menjadi titik perpisahan kami yang
terakhir sebelum aku pergi meniggalkan tanah air ku jauh beribu-ribu batu bagi
memperolehi ilmu di bumi para Anbiya'. Kenangan itu masih segar di ingatanku
sehingga sekarang.
Ketahuilah mereka sekarang sudah berada
pada tingkat yang berlainan. Masing-masing sedang menaiki tangga sebelum
menjengah ke satu jendela yang lebih luas. Begitu juga diriku sekarang sedang
melangkah dan terus berjalan ke hadapan untuk mencari kejayaan yang aku idam-idamkan
selama ini. Diriku ini hanya mampu berdoa kepada Tuhan Yang Maha Agung lagi
Maha Mengasihani, "Moga kalian dapat terus berjuang dan berjuang tanpa
menoleh ke belakang lagi serta berasa lemah jika ketiadaanku berada di sisi
kalian semua. Tetaplah terus dalam menimba ilmu sehingga kejayaan itu
benar-benar milik kalian semua.
Ketahuilah sayang ustazah pada kalian
semua tidak pernah berkurang walau seinci pun meskipun tidak bersama kalian
lagi. Ingatlah bertemu dan berpisah kita ini hanya kerana Allah serta dengan
izinNya yang menghadirkan diri ini untuk menumpang teduh dan singgah sebentar
di Sekolah Rendah Sri-Ahmadiah bagi mengenali diri kalian semua". Jaga
diri ya semua. I will always miss and love you until Jannah. Selamat tinggal
semua. Ustazah pergi dahulu... Akhir kata, ingat lah daku dalam doamu.....
Hasil Nukilan
Ustazah Nurul Fatin binti Mohd Fauzi ( Melaka )
Hasil Nukilan
Ustazah Nurul Fatin binti Mohd Fauzi ( Melaka )
" Teguh Pemikiran Ribat Kebersaaan "
Bengkel Penulisan dan Penterjemahan ( PENA '15)
Lajnah Penerangan dan Penerbitan dengan kerjasama Lajnah Pendidikan
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2014/2015
Ulasan
Catat Ulasan