HAYATI SIRAH RASULULLAH - Tinta Jumaat Siri 6

Bismillahi walhamdulillah,
Setinggi-setinggi kita merafakkan kesyukuran kehadrat Allah S.W.T, dengan limpah kurnia dan inayahNya, kerana masih lagi diberi peluang untuk meneruskan lagi kehidupan sebagai hamba Allah di muka bumi ini dan menjadi ummat Nabi Muhammad S.A.W.

Firman Allah Taala:

“ Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,” . (Surah Al-Ahzab :21 )

Rasulullah S.A.W adalah utusan yang terakhir dan penutup bagi sekalian Nabi-Nabi ( Khatimul Anbiaya’). Keperibadian baginda S.A.W cukup sempurna meliputi segala aspek kehidupan. Nabi S.A.W adalah seorang ketua keluarga yang terbaik, seorang pemimpin yang adil, seorang pentadbir yang terulung, seorang daie yang paling berjaya dalam dakwahnya, dan kesemuanya itu dilandasi dengan keagungan akhlak baginda S.A.W.

Firman Allah S.W.T : 
“ Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang mulia.” (Surah Al-Qalam :4)

Keperibadian baginda juga merupakan petunjuk yang jelas dan mudah dilaksanakan dalam kehidupan bagi umat manusia dalam menjalankan tugasnya sebagai khalifah dan pelaksana hukum Allah (Al Quran) di muka bumi ini.

Siti Aisyah R.A mengatakan : “Akhlak Rasulullah adalah Al Quran”

Al Imam Asy-Syafi’i pula mengatakan, “Apa yang baginda perbuat adalah apa yang baginda fahami dari Al-Quran ”.

Oleh sebab itu, memahami dan menghayati kehidupan ( sirah ) baginda merupakan bahagian yang tidak terpisah dari memahami isi kandungan Islam itu sendiri.

Secara kesimpulannya, tiga dasar sirah Nabawiyah yang perlu kita hayati :

1. Sejarah kehidupan Rasulullah S.A.W bermula dari tanda-tanda kenabian (sejak lahir) sehingga wafatnya.

2. Sejarah kehidupan para sahabat yang beriman dan berjihad bersama baginda S.A.W.

3. Sejarah penyebaran agama Islam yang bermula dari penurunan surah Al ‘Alaq di Gua Hira sehinggalah berduyun-duyun umat manusia memasuki Islam.

Sempena kita menyambut hari keputeraan Rasulullah S.A.W dipanggil Maulidur Rasul yang bakal tiba beberapa hari lagi, maka marilah kita menghayati cara hidup, perjuangan dan pengorbanan baginda S.A.W sebagai Rasul utusan Allah S.W.T dalam kehidupan kita.

Jadikanlah baginda sebagai idola dan ikutan sepanjang zaman kerana dengan kita mengikut sunnah dan perjuangan baginda ini sebenarnya tidak terpisah dengan iman dan ajaran Islam. Cinta kita kepada Rasulullah S.A.W akan mendapat cinta Allah S.W.T kerana sesiapa yang mencintai kekasih Allah, dia akan akan mendapat cinta daripada Allah S.W.T.

Wallahu A’lam..

" Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan "


Disediakan oleh :

Mohamad Badrul Annuar bin Mahbob
Setiausaha Agung
Badan Kebajiakn Anak Selangor Mesir Sesi 2015/2016

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG