DE' SAMBUTAN AIDILFITRI 2016 (DESA'16) BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR

Pada 5 hingga 9 Julai  yang lalu telah berlangsung dengan jayanya Program De’ Sambutan Aidilfitri 2016 (DESA’16) anjuran Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2015/2016. 

Program ini telah berlangsung selama 5 hari, padat dengan aktiviti yang disediakan oleh pihak DESA’16. 

Hari pertama 5 Julai 2016, pada jam 2.00 petang Program De’ Sambutan Aidilfitri 2016 (DESA’16) telah dimulakan dengan slot Ambang Raya iaitu Pembentangan Feqh Raya yang berkonsepkan Tanyalah Ustaz dan diselangi dengan alunan qasidah. Slot ini telah disampaikan oleh Ustaz Aiman Fitry bin Zulkifli, Timbalan Setiausaha Agung 1 BKSAM sesi 2015/2016 ditemani moderator Ustaz Muhammad Luqman bin Jasmi, Ketua Lajnah Ekonomi BKASM sesi 2015/2016. Selepas asar pula telah diadakan Majlis Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Ustaz Muhammad Irsyad bin Abdul Ghafar. Dan tepat jam 5.00 petang Majlis Penutupan IHTIRAM’16 dan Perasmian DESA’16 dimulakan. 

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Asmaaul Husna. Kemudian ucapan yang disampaikan oleh Pengarah IHTIRAM’16 Ustaz Mohd Fakhrul Rodzi bin Md Tahir diikuti ucapan Pengarah DESA’16 Ustaz Mohd Azrolnaim bin Arshad. Majlis pada petang itu diakhiri dengan ucapan yang disampaikan oleh Ustaz Asraf bin Alias Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2015/2016 sekaligus merasmikan Program DESA’16. Selepas perasmian disampaikan pula hadiah kepada para pemenang untuk setiap acara Kemahiran Amal Islami (KAMIL) yang dipertandingkan sepanjang berlangsungnya IHTIRAM’16. Selepas Maghrib pula para pelajar disajikan dengan Iftar Jamaie. Pada jam 9.00 malam pula telah diadakan Baraan Takbir Raya.

Hari kedua 6 Julai 2016, program bermula seawal jam 3.00 pagi dengan aktiviti qiamullail secara berjemaah. Selepas itu, pada jam 5.00 pagi para pelajar bersiap untuk menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Suq Sayyarat. Kemudian para pelajar diberikan masa seluas-luasnya untuk melakukan aktiviti bebas seperti menghidupkan suasana raya dan bermaaf-maafan. Pada jam 9.00 pagi pula telah diadakan Ziarah Mahabbah yang melibatkan ahli asrama dan korus. Pada sebelah malamnya pula, aktiviti rewang telah diadakan sebagai persediaan untuk rumah terbuka esoknya dan berakhir pada jam 11.00 malam.

Hari ketiga 7 Julai 2016, seperti sebelumnya program dimulai dengan Tazkirah Subuh Khas bersempena Bulan Kemenangan. Pada jam 1.00 tengahari telah diadakan pula Rumah Terbuka BKASM dengan kerjasama Pejabat Atase Selangor Mesir. Pada sebelah malamnya telah diadakan Pertandingan Desa Idaman.

Hari keempat 8 Julai 2016, program dimulakan dengan Munajat Perdana seawal jam 2.00 pagi diikuti Tazkirah Subuh Khas yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Sufi bin Mohd Yusof, mantan AJKT BKASM sesi 2010/2011. Selepas daripada itu telah diadakan Aktiviti Satu Hari Di Desa bagi ikhwah bertempat di Dataran Hayyu Asyir pada waktu pagi manakala bagi akhawat pula telah diadakan di Sutuh Asrama Selangor selepas Maghrib.

Hari kelima 9 Julai 2016, iaitu hari terakhir program dimulai dengan solat Asar berjemaah. Tepat jam 8.00 malam pula Majlis Penutupan DESA’16 telah dimulakan dengan nyanyian lagu Asmaaul Husna. Kemudian diikuti ucapan yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Azrolnaim bin Arshad Pengarah DESA’16. Seterusnya ucapan disampaikan pula oleh Ustaz Asraf bin Alias, Yang Dipertua BKASM diikuti ucapan penutupan yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Yasser bin Abd Ghani selaku Pegawai Atase Pendidikan Selangor Mesir. 

Seterusnya disampaikan pula hadiah kepada para pemenang untuk setiap aktiviti yang diadakan sepanjang DESA’16. Selepas itu semua hadirin telah dipersembahkan dengan persembahan nasyid oleh pelajar baru. Para hadirin telah disajikan dengan sajian menu laksa bersempena Rumah Terbuka AJKT BKASM. Majlis berakhir dengan solat Isyak dan sesi bergambar beramai-ramai.


Dengan penganjuran De' Sambutan Aidilfitri 2016 (DESA’16) pada tahun ini moga-moga ia menjadi satu wasilah dalam memupuk ukhuwah Islamiah dan juga jalinan kasih sayang dalam kalangan ahli BKASM samada mahasiswa lama ataupun baru seterusnya menjadikan BKASM sebagai wadah utama dalam menjaga setiap kebajikan ahlinya di bumi Mesir ini.

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"

#DESA'16
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG