HEDONISME : MEMBUNUH JATI DIRI UMAT ISLAM.
Firman Allah S.W.T
“Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka).”
[Surah An-Nisa’ : 89]
Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan umat Islam agar berwaspada dengan musuh Islam agar tidak mengikuti mereka dengan meniru cara budaya orang kafir.
Fenomena ini merupakan satu penyakit yang dibuat oleh musuh Islam sendiri untuk melemahkan kekuatan umat Islam yang pada hari ini berkiblatkan budaya-budaya barat dalam kehidupan.
Hiburan yang melampau batas yang menjauhkan umat dari agamanya adalah suatu perkara yang amat mendukacitakan apabila artis-artis dipuja, kehidupan artis dijadikan kayu ukur garis panduan dan ikutan serta bahan-bahan media hiburan dijadikan rujukan masyarakat. Semuanya kelihatan normal kerana digunakan atas nama kemodenan dan mengikut arus zaman.
Inilah pola pemikiran Hedonisme yang jelas menyeleweng tujuan dan matlamat hidup seseorang muslim sehingga berkiblatkan keseronokan semata-mata. Fenomena ini dapat dibuktikan melalui pengaruh fizikal, budaya, tutur kata percakapan, amalan dan tindakan anak-anak muda generasi hari ini.
Di Malaysia, pelbagai hiburan yang disajikan antaranya Konsert K-Pop, Konsert Jom Heboh, Maharaja Lawak dan yang terbaru, kita dikejutkan dengan Konsert Selena Gomez yang bakal diadakan pada 25 Julai 2016 bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam. Hal ini secara tidak langsung bercanggah dengan tatacara kita sebagai seorang Muslim.
Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata-kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar yang terdiri daripada orang awam.
Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat.
Antaranya ialah:
1) Niat yang baik.
2) Tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
3) Tidak meninggalkan dan melalaikan kewajipan yang difardukan oleh Allah SWT.
4) Sentiasa menjaga adab-adab pergaulan.
5) Tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran.
6) Tujuannya hendaklah baik dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.
Sehubungan dengan itu, kita BKASM mengharapkan agar pihak berwajib mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap penganjur konsert ini mengikut pelaksanaan undang-undang negara berlandaskan syariat Islam yang sebenar bagi menghindarkan gejala sosial yang semakin melampau terutamanya berkaitan konsert yang diadakan untuk kebaikan anak-anak muda masa kini.
BKASM juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak dan masyarakat yang menunjukkan bantahan terhadap konsert tersebut atas dasar prinsip Islam dan pembangunan modal insan.
Siru Ala Barakatillah
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kesatuan"
Ustaz Asraf bin Alias,
Yang Dipertua,
BKASM sesi 2015/2016
Ulasan
Catat Ulasan