KEMESTIAN HIDUP DENGAN ISLAM Nukilan Siswa siri 5
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu".(Surah al-Maidah : ayat 3)
Apabila didahulukan teori bukan Islam sebagai solusi maka jelaslah ia menunjukkan adanya kepincangan iman dan akidah. Menganggap Islam tidak perlu diberi peranan, bererti ia mencabar ketuhanan Allah dan kesempurnaan agama. Paling membimbangkan lagi apabila fahaman ini bukan sahaja dipegang oleh golongan bijak pandai bahkan ia turut sama menguasai pemikiran golongan agamawan sehingga berani mengeluarkan pendapat yang menunjukkan keraguan mereka terhadap Islam.
Maka sebenarnya manusia memerlukan penyelesaian Islam sebagai agama fitrah. Keistimewaan Islam yang paling utama adalah rabbani dari segi sumber dan matlamatnya. Islam bukannya ciptaan manusia yang lemah ataupun direka semata-mata mengikut tempat dan keadaan tetapi ia merupakan ciptaan Allah S.W.T yang Maha Mengetahui fitrah manusia itu sendiri. Kekuatan matlamatnya adalah menghubungkan manusia dengan Tuhan merangkumi hidup individu, keluarga, masyarakat, negara bahkan segalanya.
Kemudian disusuli dengan dasar Islam adalah untuk kemanusiaan sejagat, menyeluruh suluhan hidayah tanpa mengira bangsa dan keturunan yang akhirnya mencetuskan keadilan mutlak tanpa memandang taraf dengan memelihara kepentingan agama, maruah, nyawa, akal dan harta. Hal ini penting demi kebahagiaan manusia dunia dan akhirat.
Islam berbeza dengan liberalisme yang memberi hak pada individu sebagaimana dakwaan mereka, tetapi kadang kala mencabul kepentingan masyarakat dan tidak pula seperti sosialisme yang kononnya memperjuangkan suara komuniti dengan cara tidak menghormati hak individu. Maka, Islam meletakkan ikatan dan syarat pada setiap golongan sama ada bersifat individu atau hak masyarakat sekalipun. Perseimbangan antara individu dan masyarakat menjadikan Islam agama persaudaraan dan kasih sayang.
Keteguhan dan kematangan Islam dalam membetulkan apa yang salah dan tegas terhadap perkara yang tsabit bertepatan dengan prinsip Islam sebagai al-Din, yang telah membuktikan kemampuan dan kejayaannya menghadapi masalah hidup manusia sejajar dengan perkembangan semasa dan masyarakat. Sehingga akhirnya membentuk gagasan umat Islam yang bersatu.
Rasulullah bersabda dengan membaca firman Allah S.W.T :
“Sesungguhnya ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah engkau mengikuti jalan-jalan lain, kerana akan mencerai beraikanmu dari jalanNya. Demikian itulah Allah wasiatkan kepadamu agar kamu bertakwa". (Riwayat Ahmad)
Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba yang diredaiNya.
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"
Disediakan oleh :
Ummi Aqilah binti Norlizam
Timbalan Setiausaha Agung II
Timbalan Setiausaha Agung II
BKASM sesi 2016/2017
#KITAPMRAM
#bersamaBersatu
#BersatuBerbakti
Ulasan
Catat Ulasan