GAYA HIDUP KITA MELAMBANGKAN PEMIKIRAN KITA Nukilan Siswa Siri 16
Perang pemikiran yang berlaku dekad
ini sangat menghantui diri kita. Mana tidaknya, ia jauh lebih berbahaya
daripada perang bersenjata. Jika perang bersenjata melawan musuh, cederanya
kita mendapat pahala yang besar. Terbunuhnya kita, pahala syahid dianugerahkan.
Manakala perang pemikiran, sekiranya ‘cedera’ dikhuatiri kita terjerumus dalam
kesesatan. Manakala jika kita ‘terbunuh’, ditakuti kita terkorban dalam keadaan
murtad tanpa disedari.
Perkara ini menunjukkan satu
signifikan, terus bersama Islam secara keseluruhannya. Bersama Islam, bukan
menjadi isunya. Permasalahan yang berlaku pada hari ini, umat Islam gagal
menterjemahkan Islam dengan sebaiknya. Maka tidak hairanlah seorang Ulama ada
menukilkan satu teguran:
“Aku melihat Islam(di Eropah), tetapi tidak melihat orang
Islam. Dan aku melihat orang Islam(di Negara Arab) tetapi aku tidak melihat
Islam”
Kita sebagai seorang muslim
perlulah berpewatakan seperti seorang muslim daripada sudut Kata-kata, gaya
hidup, pakaian dan lain-lain mestilah menurut aturan Islam. Satu amaran di
dalam sebuah hadis yang disampaikan oleh Saidina Umar al-Khatab;
“
Sesiapa yang sengaja mencampakkan dirinya ke kancah tohmahan, jangan mencela
manusia sekiranya mereka bersangka-buruk terhadap dirinya..”
Prinsip kita kena jelas. Jangan
jadi seperti lalang. Dilihat seakan bebas menyesuaikan diri dengan pelbagai
arah tiupan angin. Sedangkan, tiada pendirian dan sikap yang teguh. Begitulah
kita, usah mudah terpengaruh dengan pemikiran-pemikiran yang terpesong,
mengikut trend dan suasana yang dirasakan seronok dan selesa. Sekalipun
pemikiran atau trend tersebut dijenamakan dengan nama Islam, seperti
Islam Liberal dan Pop-islamisme, ia tetap tertolak.
Cukuplah penegasan daripada Nabi
S.A.W. agar terus berprinsip tanpa terpengaruh dengan sebarang keadaan dan
suasana:
“Janganlah kamu menjadi lalang!
(manusia yang tiada pendirian). Sekiranya manusia melakukan kebaikan, kamu juga
melakukan kebaikan. Jika manusia melakukan kezaliman, kamu pun melakukan
kezaliman. (Tetapi beristiqamahlah), Jika manusia melakukan, kamu juga perlu
melakukan kebaikan. Jika manusia melakukan kerosakan, kamu jangan melakukan
kezaliman”. (Riwayat at-Tirmidzi)
“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”
Disediakan oleh:
Mohamad Luqman bin Mohamad Jasmi
Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2016/2017
#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
Ulasan
Catat Ulasan