GRADUAN YANG BERTAKWA - Nukilan Siswa siri 32 Edisi Ramadan
Universiti Ramadan bakal menamatkan pengajiannya pada sesi kali ini dalam tempoh masa beberapa hari lagi. Setiap penuntut madrasah ini seharusnya melakukan persiapan secukupnya untuk bergelar graduan di medan yang sebenar nanti.
Bagi mereka yang berjaya dengan cemerlang, ada tanggungjawab yang perlu dipikul. Tidak lain dan tidak bukan, membaiki masyarakat sekeliling. Setelah hampir sebulan mencabar diri dengan pelbagai 'assignment' dan tugasan, maka sudah sampai masa kita menterjemahkannya pula di pentas kehidupan.
Adapun yang masih belum berjaya mencapai pangkat kelas pertama mahupun anugerah dekan, usah berputus asa. Sekalipun sesi pengajian pada kali ini akan tamat, peluang untuk melakukan perubahan pada diri masih terbuka luas. Teruskan membaiki diri, dan dalam masa yang sama terus berusaha membaiki masyarakat sekeliling kita semampunya. Bukannya memencilkan diri dek kegagalan yang sentiasa menimpa walaupun telah berkali-kali ramadan dilalui.
Apa yang penting, keputusan yang akan diterima nanti perlu ditekuni. 11 bulan sebelum masuknya sesi yang akan datang, ketakwaan dan keimanan kita perlu dipertahankan, ketaatan pula perlu terus ditingkatkan. Agar kita sentiasa berkeinginan dan tidak bosan untuk ditarbiah dalam universiti ramadan pada sesi-sesi akan datang. Moga Allah izinkan kita menjadi seorang graduan yang bertakwa. Mungkin bukan pada kali ini, mudah-mudahan suatu hari nanti.
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"
Disediakan oleh :
Muhammad Faiz bin Othman
Ketua Lajnah Pendidikan
BKASM sesi 2016/2017
#BersatuBerbakti
Ulasan
Catat Ulasan