TAWARAN YANG MUNGKIN SEKALI - Nukilan Siswa siri 30 Edisi Ramadan



“ Wahai Rasulullah, teruskanlah apa yang telah ditunjukkan kepadamu oleh Allah, kami bersama. Demi Allah, kami tidak berkata kepadamu sebagaimana yang dikatakan Bani Israel berkata kepada Nabi Musa : “ Pergilah kamu bersama Tuhanmu, berperanglah kamu berdua, kami mahu tinggal di sini sahaja. Akan tetapi, kami akan mengatakan : “ Pergilah kamu bersama Tuhanmu, kami pasti akan bersama berperang bersamamu…….’’


Yang demikian itulah kalam yang dilontarkan oleh Miqdad Al Aswad, salah seorang sahabat Baginda Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam ketika mana Baginda meminta pandangan daripada beberapa sahabat berkaitan kesediaan mereka menghadapi Perang Badar. Seperti yang kita ketahui, Perang Badar berlaku pada Jumaat, 17 Ramadan bersamaan 2 Hijrah. Bila difikirkan dengan kemampuan manusia yang terbatas ini, mana mungkin di saat kita menahan diri daripada lapar dan dahaga, di saat kekurangan tenaga meredah sinaran mentari beserta kekuatan umat Islam seramai 300 orang menghadapi musuh seramai 1000 orang, kemenangan akan tercapai? Namun, hal ini tidak mustahil bahkan telah pun berlaku.


Ya, inilah yang dikatakan ‘The Power Of Ramadan’. Ramadan bukan sahaja bulan untuk kita menahan diri dari lapar dan dahaga, bukan juga bulan untuk kita menikmati pelbagai juadah, akan tetapi Ramadan juga adalah bulan jihad. Salah satu bulan untuk meraih ketakwaan. Dalam kita rancak menjalani kehidupan duniawi, maka Allah telah hadirkan kepada umat Islam satu bulan yang penuh dengan hikmah, yang mengajar kita bagaimana untuk mengawal diri, mendidik kita bagaimana untuk membantu diri ke arah yang lebih baik. Betapa Allah bersifat Ar-Rahim  terhadap hambaNya supaya di saat akhir kehidupan manusia kembali kepadaNya  dalam keadaan ‘khusnul khatimah’.


Namun, berada selama sebulan dalam ‘Madrasah Ramadan’ ini bukan jaminan bahawa kita akan menjadi lebih baik untuk kehidupan yang seterusnya, sekiranya kita hanya menganggap madrasah tarbiah ini hanyalah sebuah madrasah yang hadir hanya semata mata untuk melengkapkan bulan hijrah yang lain. Maka bersedialah kita bersama orang orang yang rugi!


Oleh itu, sebagaimana para sahabat Baginda Nabi S.A.W mempersiapkan seluruh kekuatan dan kemampuan yang ada dengan merebut tawaran untuk berhadapan dengan musuh, begitulah seharusnya kita selaku seorang hamba. Dengan kesempatan yang ada, janganlah kita mensia-siakan tawaran yang telah diberikan kepada kita untuk berada dalam Bulan Ramadan ini, kerana bimbang kemungkinan kita tidak akan ditawarkan lagi untuk berada dalam madrasah tarbiah ini pada masa akan datang. Sebuah madrasah yang diakhirnya melahirkan orang-orang yang bertakwa.
Itu JanjiNYA !


“Tarbiah Rabbaniah, Menuju Mardhatillah”
“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”


Disediakan oleh :
Nur Hidayah binti Mohd Ariff
Penasihat BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG