MUSLIMAH MUKMINAH Nukilan Siswa Siri 43
Dia wanita bangsawan yang
berfikiran murni dan miliki kecerdasan yang tinggi. Takdir Allah menghendaki
iman menyentuh lubuk hatinya yang paling dalam justeru bangkit menepis
debu-debu jahiliyyah dan mengusung panji tauhid. Srikandi ini tercatat sebagai sahabat
dalam kalangan wanita yang setia di sisi Rasulullah.
Safiyyah binti Abdul Mutalib
merupakan bonda kepada Zubair bin al-‘Awwam . Bertitik tolak dari kewafatan
suaminya, puteranya dibentuk dengan didikan rohani dan kekuatan fizikal yang
tegas. sehingga ada yang mengatakan beliau memukul kerana kebencian. Maka
dijawab Safiyyah dengan bersajak :
“Aku memukul
supaya pintar,
Tangkas menghadapi
musuh,
Pulang dengan
kemenangan.”
Cahaya kebenaran yang teguh
terpasak dalam jiwa menjadi sumber kekuatan untuk Safiyyah menghadapi segala
tentangan semasa awal dakwah Islam disebarkan. Mengikut jejak langkah muslimin
yang lain, Safiyyah menghadapkan wajahnya ke Madinah sebagai Muhajirin meninggalkan segala lambakan kemewahan dan
kebanggaan demi menyahut seruan hijrah.
Perang Uhud merakam seluruh
perjalanan pertempuran dalam ingatannya kerana medan itu jadi saksi perjuangan
anak saudaranya, Muhammad Rasulullah, saudaranya Hamzah Abdul Mutalib (Asadullah) malah anak kandungnya sendiri
Zubair al-‘Awwam (Hawarriy Nabiyallah).
Maka susuk tubuh yang menginjak usia enam puluh itu bertindak sebagai
pengangkut air, memperbaiki busur dan menyediakan anak panah tidak menghalang
sisi pandang matanya untuk menangkap kelibat kekasih Allah di medan tempur.
Suatu ketika Rasulullah menjadi sasaran pihak musuh kerana kacau bilau barisan
tentera Islam, Safiyyah bertindak merebut pedang salah seorang tentera muslim
lalu menebas setiap musuh yang berada di sekeliling Nabi sehingga ke tengah
medan. Siri peperangan berakhir dengan pemandangan yang menyayat hati kerana
mayat saudaranya Hamzah diperlakukan dengan tragis.
Adapun dalam Perang Khandaq
menukilkan kisah perang yang dijalin halus dengan tipu daya yang cerdik dan
berani tentang Safiyyah. Seperti kebiasaaan Rasulullah menempatkan para wanita
dan anak-anak di kediaman yang selamat dari gangguan pihak musuh dan kali ini
di kediaman Hassan bin Tsabit tanpa kawalan tentera muslimin kerana semuanya
dikerahkan menjaga Khandaq. Dalam pada itu Safiyyah terlihat ada kelibat yang
mengintip di sekitar kawasan kediaman dan setelah dikenal pasti ianya dari Bani
Quraizah yang telah bersekutu dengan Quraisy, lantas bertindak menyandang
sebatang kayu kemudian memukul pengintip tersebut sehingga mati.
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ
الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ
دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ
شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
(Surah
Al-Anfal : Ayat 60)
Maksudnya
: "Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka
dengan kekuatan yang kamu miliki dan dari pasukan kuda yang menggentarkan musuh
Allah, musuh-musuhmu dan orang-orang
selain mereka yang tidak kamu ketahui tetapi Allah mengetahui. Apa sahaja yang
kamu infaqkan di jalan Allah nescaya akan dibalas cukup kepadamu dan kamu tidak
akan dizalimi."
Kisah Safiyyah mengajar erti sabar
dengan keimanan. Maka iman yang melahirkan ikhlas itu diuji Allah dengan segala
kekuatan yang dimiliki. Mengerah akal fikiran dan fokus walau di posisi mana
kita bergerak untuk menjaga dan memelihara pembangunan Islam. Mengambil peluang
dan ruang untuk dimanfaatkan dengan kecerdasan dan ketangkasan yang
dianugerahkan Allah. Tidak lain tidak bukan hanya demi Islam. Demi Lillah.
Semoga Allah pelihara semua para syuhada’.
“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”
Disediakan oleh :
Ummi Aqilah binti Norlizam
Timbalan Setiausaha Agung II
BKASM sesi 2016/2017
#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
Ulasan
Catat Ulasan