HIJRAH MENGEJAR REDANYA Nukilan Siswa Siri 44

Dalam kehidupan, ujian selalu ada menempa diri kita. Kadang kala ringan, namun selalunya terasa berat dan payah untuk dihadapi. Begitulah yang dihadapi oleh nabi kita, Muhammad S.A.W dalam peristiwa hijrahnya bersama para sahabat yang beriman. Hijrah dilakukan dengan meninggalkan segala harta dan keluarga semata-mata untuk merasai kehidupan Islam yang lebih baik. Sekian lama menetap dan membesar di bumi Mekah, namun apabila diwahyukan oleh Allah maka perintah itu cuba dilakukan dengan sebaiknya.

Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat bukan sekadar untuk melepaskan diri dari belenggu kezaliman tetapi apa yang lebih penting ialah cita-cita menegakkan tiang Islam perlu diteruskan. Hijrah ini juga bukan kerana mereka telah dibentangkan dengan mata kasar tentang masa depan mereka setelah berhijrah. Mereka tidak pernah tahu pun apakah pertolongan atau sebaliknya yang akan berlaku di Yathrib. Bahkan boleh jadi Islam tidak dapat bertapak dengan kukuh di sana dan terpaksa berhijah lagi. Namun atas dasar yakin akan janji Allah dan RasulNya, mereka meneruskan hijrah ini dengan berbekalkan keimanan dan ketakwaan.

Begitulah sirah yang berlaku pada Rasulullah dan para sahabat. Peristiwa hijrah ini membawa pengalaman baru dalam perjuangan Islam.  Kalau sebelumnya mereka diuji dengan kezaliman kafir Quraisy yang menentang Islam, namun hijrah kali ini telah menguji tahap kecintaan kepada Allah dan Rasul adalah lebih tinggi daripada kecintaan kepada tanah air, harta dan rumah tangga.

Fiman Allah S.W.T yang bermaksud : “Dan barang siapa yang berhijrah di jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Dan barang siapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah An-Nisa : ayat 100)

Maka ibrah yang boleh diambil dari kisah hijrah ini, kita selaku khalifah di bumi Allah ini seharusnya bersedia untuk berkorban demi Islam. Istilah ‘rugi’ kerana terpaksa menggadaikan harta ke jalan Allah atau meninggalkan segalanya kerana Allah tidak sepatutnya terdetik dalam hati kita. Sesungguhnya ganjaran Allah kepada mereka yang berpenat lelah untuk Islam adalah lebih besar dari segala-galanya. Maka itulah yang sepatutnya menjadi hadaf kehidupan kita. Mengejar syahid dan keredaanNya.

Semoga Allah pandu hati dan jiwa kita di atas jalanNya.

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh:
Khairul Adha bin Hamdzani
Ketua Lajnah Kebajikan
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamBersatu

#BersatuBerbakti

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG