REHAT YANG TIADA KELAZATAN - Nukilan Siswa Siri 6
“Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepada-NYA, kemudian Allah (memberi taufik serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah, Dialah penerima taubat lagi Maha Mengasihani.
(Surah At-Tawbah : ayat 118)
Tiga orang sahabat yang mengambil keputusan untuk tidak pergi berjihad kerana mengutamakan kerehatan, tidak mahu berpanas menjadi suatu pengajaran buat kita yang bergelar mukmin. Hari ini ramai yang berlepas diri dari tanggungjawab kerana memikirkan akan ada orang yang hadir membantu. Hari ini ramai yang mengetahui pentingnya melakukan kerja-kerja amal tetapi tidak sedar bahawa diri masih dalam keadaan belenggu dan membiarkan kerja tertunggak pada bahu yang lain.
Kepenatan, keletihan dan kesusahan dalam melakukan gerak kerja amal tidaklah menjadi penghalang untuk kita berehat. Namun, janganlah sehingga kita berhenti daripada melakukan sesuatu gerak kerja. Hadirkanlah dalam diri keikhlasan beramal, zahirkanlah kecintaan dalam melakukan kebaikan, jauhkanlah diri daripada sifat bermalas-malasan dan bertangguh dalam melakukan kerja. Bilamana wujudnya keikhlasan diri dalam melakukan kerja, kita tidak akan senang melihat orang lain bersusah payah. Kita akan merasakan kerehatan yang tiada kelazatan sekiranya melihat orang lain penat dan letih.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama dalam melakukan kebaikan dan bersama-sama untuk tidak memilih tiket menunggu tetapi segera merebut tiket menawarkan diri. Semoga Allah meredai setiap amal yang kita lakukan.
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”
Disediakan oleh :
Khalif bin Idrus
Ketua Lajnah Ekonomi,
BKASM sesi 2017/2018
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM
Ulasan
Catat Ulasan