BERTERUS-TERANG MENEGAKKAN KEBENARAN - Nukilan Siswa Siri 19



"Maka sesiapa yang tidak percayakan taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali yang kukuh, yang tidak akan putus. Dan ingatlah Allah itu Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui. Allah itu pelindung bagi orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya iman, dan orang-orang kafir itu penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya iman kepada kegelapan kufur. Mereka itulah ahli-ahli neraka dan mereka kekal di dalamnya." (Surah Al-Baqarah : ayat 256-257)

Perlu difahami oleh pendokong-pendokong perjuangan Islam, bahawa berterus-terang dengan hakikat aqidah ini dengan dasar-dasarnya, dan menegakkan segala tuntutannya adalah penting.

Lantaran sikap berterus-terang seperti itu menggoncangkan hati yang lalai, menggerakkan kebekuan perasaan, menilai kebenaran dan kebatilan. Adapun sikap menyembunyikan kebenaran hanyalah menggalakkan golongan taghut dan menutup kesedaran berfikir di kalangan umat islam. Maka sikap begitu bukanlah cara yang betul di dalam Harakah Islamiyyah.

Sesungguhnya inilah yang berlaku di Mekah ketika Rasulullah SAW berterus terang di dalam dakwahnya. Tetapi bagi orang-orang musyrikin suatu kesulitan yang dirasai di dalam tindakan mereka ialah apabila berdepan dengan seorang yang sangat benar, sangat amanah, sangat mulia akhlaknya iaitu Rasulullah SAW yang tiada sepertinya di dalam sejarah nenek moyang mereka dan sejarah bangsa di dunia. Oleh itu terpaksalah mereka berhempas pulas mengerahkan cara bertindak menghadapinya. Walaupun di dalam kebingungan jahiliyyah, mereka terus berdegil untuk menentang Rasul yang sangat mulia itu.

Bukanlah kerja Islam itu berdamai dengan tasawwur jahiliyyah yang ada di atas muka bumi ini (meskipun di mana jahiliyyah itu berada), kerana jahiliyyah tetap jahiliyyah dan Islam itu tetap Islam.

Kita menganggap walau apa pun namanya, jahiliyyah itu tetap terpesong daripada 'ubudiyyah yang hanya kepada Allah SWT dan terpesong daripada ajaran Tuhan dalam segala aspek kehidupan.

Mereka mengambil sistem-sistem, peraturan dan undang-undang, adat resam dan sikap menilai sesuatu di dalam kehidupan daripada sumber yang lain daripada sumber Illahi. Islam itu tetap dengan peranannya menyelamatkan manusia dengan memindahkan mereka daripada jahiliyyah kepada Islam.

Itulah dia makna berterus-terang yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sehingga menggoncangkan seluruh struktur jahiliyyah.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Muhammad Syukri bin Rosli,
Ketua Lajnah Pendidikan,
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG