KURSUS KEPIMPINAN DAN RAMAH MESRA MB SELANGOR




11-13 Oktober 2018, KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2017/2018 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir telah mengadakan Kursus Kepimpinan dan Majlis Pertemuan bersama Y.A.B Tuan Amirudin bin Shari, Dato' Menteri Besar Selangor bersama delegasi kerajaan Negeri Selangor bersama pelajar-pelajar Selangor yang bertempat di Dewan Malaysia Abbasiah, Kaherah.

Kursus kepimpinan yang bermula jam 1.00 petang telah berjaya mengumpulkan kira-kira 150 orang pelajar Selangor yang terdiri dari Pengajian Islam dan Sains Kesihatan. Kursus ini dikendalikan oleh dua orang penceramah iaitu S.S. Dato' Dr. Haji Anhar bin Opir, Timbalan Mufti Selangor dan Dr. Ahmad Zaki bin Haji Abd Latiff, Pengarah Pusat Islam, UNISEL.

Majlis Pertemuan bersama Y.A.B Dato' Menteri Besar Selangor bersama delegasi kerajaan Negeri Selangor yang bertarikh 12 Oktober bermula jam 7.00 malam telah dihadiri  kira-kira 600 orang pelajar Selangor di Pelembahan Nil. Majlis yang berakhir pada jam 9.00 malam ini berjalan dengan lancar dan menerima komitmen yang baik daripada semua mahasiswa dan mahasiswi Selangor.

Y.A.B Tuan Amirudin bin Shari telah menyampaikan ucapan dengan harapan supaya semua pelajar dapat menumpukan perhatian dalam menuntut ilmu dan pendidikan untuk diaplikasikan di tanah air nanti. Di samping itu, Y.A.B Dato' Menteri Besar turut menyerahkan sumbangan daripada Kerajaan Negeri untuk membantu pengurusan dan kelangsungan pendidikan mahasiswa dan mahasiswi Selangor di Mesir.

Di kesempatan yang ada, Y.A.B Dato' Menteri Besar turut menziarahi penempatan asrama Selangor dan beramah mesra dengan mahasiswa dan mahasiswi.

Majlis berakhir dengan penyampaian cenderamata daripada pihak Pejabat Atase Pendidikan Selangor dan BKASM kepada Y.A.B Tuan Amirudin bin Shari.
Kursus kepimpinan diteruskan lagi pada tarikh 13 Oktober, ianya berakhir pada jam 11.45 pagi.

BKASM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Y.A.B Tuan Amirudin bin Shari, di atas kesudian untuk bersama dalam majlis ini. Terima kasih juga buat semua anak-anak Selangor yang sudi hadir memeriahkan majlis. Semoga pertemuan ini dapat mengeratkan lagi hubungan Kerajaan Negeri dengan anak-anak Selangor di Pelembahan Nil amnya dan BKASM khususunya.


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :

Setiausaha,
Sambutan Y.A.B Dato' Menteri Besar Selangor
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitakeluargaBKASM

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG