TARBIAH, INI JALAN KITA - Minda Siswa Siri 1
Firman Allah SWT :
“Dan tiadalah Kami mengutuskan
engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(Surah Al-Anbiya’ : ayat 107)
Rasulullah SAW menghadapi alam
remajanya dengan tarbiah sehingga menjadikan dirinya tidak bergantung kepada
orang lain. Kehilangan satu demi satu insan kesayangan Baginda SAW membuktikan
bahawa tiada gangguan manusia dalam proses pentarbiahannya melainkan dari Allah
SWT. Sebagai tambahan, Baginda SAW juga pernah menjadi seorang pengembala
kambing sewaktu usia kecil lagi. Begitulah Allah mentarbiah nabi-nabiNya.
Kekentalan jiwa menjadi bekalan utama di dalam perjuangan menegakkan kalimah
Allah.
Di samping itu, Rasulullah SAW
sentiasa dipelihara oleh Allah SWT dari segi ketinggian peribadi dan akhlaknya
sehingga tidak dipengaruhi oleh persekitaran buruk remaja-remaja di zamannya.
Ketinggian maruah dan kemurnian akhlaknya menjadi buah mulut penduduk Mekah.
Baginda SAW juga adalah seorang manusia yang ada kemahuan dan keinginan seperti
manusia yang lain, namun kesan daripada pentarbiahan tersebut Baginda SAW
terhindar daripada arus jahiliah yang melanda masyarakat pada masa itu.
Dalam lingkungan usia 14 atau 15
tahun, Rasulullah SAW telah menyertai peperangan al-Fajar, iaitu peperangan di
antara Quraisy dengan Qais. Baginda SAW menyertai peperangan tersebut dengan
memungut anak-anak panah musuh untuk bapa saudaranya. Pengalaman ini sangat
penting dalam membentuk diri Baginda SAW dengan sifat kepahlawanan dan
kesabaran di medan perang.
Kekuatan rohani Rasulullah SAW pula
dibuktikan ketika Baginda SAW menjadi orang yang paling tabah menghadapi ujian,
sama ada ujian tekanan atau ujian kemewahan. Ketika menghadapi musuh dan segala
ancaman, baginda orang yang paling berani dan kuat. Ketika Islam menang,
kekuatan rohnya telah memelihara dirinya tidak cenderung atau terpengaruh oleh
sesiapapun supaya tunduk kepada kebendaan. Hati Baginda SAW bergantung
sepenuhnya kepada Allah SWT.
Segala yang berlaku pada dirinya
tidak dapat ditandingi oleh sesiapapun. Oleh itu, benarlah bahawa Baginda SAW
ialah rasul pilihan Allah SWT yang menjadi hadiah untuk manusia sejagat.
Kelahiran Baginda menjadi rahmat kepada seluruh alam. Akhir sekali, kita selaku
umat akhir zaman mestilah berterusan mendalami perjalanan hidup Baginda SAW dan
menjadikannya panduan dalam meneruskan kehidupan di zaman penuh kekeliruan
antara hak dan batil.
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”
Disediakan oleh :
Muhammad Syukri bin Rosli
Setiausaha Agung
BKASM sesi 2018/2019.
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM
Ulasan
Catat Ulasan