NORMALISASI MAKSIAT FENOMENA TERKINI

Seorang muslim hendaklah melihat sesuatu dosa dengan pandangan untuk menghindarinya dan bukan dengan pandangan mesra-dosa. Membiasakan (normalisasi) diri dengan perbuatan dosa adalah sesuatu tindakan yang perlu dihindari. Seorang muslim tidak seharusnya membiarkan sesuatu dosa itu menjadi sebati di dalam diri dan berterusan bersangka baik dengan perkara dosa tersebut.

                Rasulullah SAW mendidik umat Islam supaya melihat perbuatan dosa itu adalah satu perbuatan yang salah. Sepertimana sabda Rasulullah SAW :

إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ فَقَالَ بِهِ هَكَذَا قَالَ أَبُو .شِهَابٍ بِيَدِهِ فَوْقَ أَنْفِهِ
"Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya seperti ia duduk di pangkal gunung, ia risau gunung itu akan menimpanya, sedangkan orang fajir (selalu berbuat dosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian ia mengusirnya seperti ini lalu ia terbang." Abu Syihab mengisyaratkan dengan tangannya di atas hidungnya. [HR Bukhari]

Zaman kini, umat Islam menghadapi pelbagai fitnah dan cabaran, antaranya adalah “Normalisasi Terhadap Maksiat”. Fenomena seperti berbohong, memungkiri janji, mengkhianati amanah, menganggap perkara ikhtilat tidak syarie adalah suatu perkara yang biasa dan banyak lagi perkara-perkara pelik yang berlaku pada realiti hari ini.

Ini semua terjadi apabila tiada kesedaran di dalam diri masing-masing, maka akhirnya masyarakat lali, terbiasa dan bersikap tidak mengambil peduli terhadap perkara tersebut. Jadi, kita sebagai mahasiswa Islam perlu sedar dan cakna berkaitan isu-isu semasa serta mencari solusi untuk menyelesaikannya.

Janganlah kita tergolong daripada golongan yang mengundang bala' Allah sebagaimana amaran yang diberikan oleh Allah kepada kita di dalam al-Quran yang bermaksud :

"Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya."
(Surah Al-Anfal : ayat 25)

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Simpulan-simpulan agama Islam akan terlucut satu persatu. Maka setiap kali terlucut, umat akan berusaha berpaut dengan simpulan yang lain. Yang paling awal terlucut adalah undang-undang dan yang terakhir adalah solat" [HR Ahmad]

Moga Allah membimbing kita semua ke arah kebenaran.

“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

Disediakan oleh :
Amirol Akmal bin Mat Jelani
Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah
BKASM sesi 2018/2019

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM












Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG