BELUM SAMPAIKAH MASANYA UNTUK KHUSYUK? - Minda Siswa Siri 8



BELUM SAMPAIKAH MASANYA UNTUK KHUSYUK?

Rasulullah SAW sebagai pemimpin umat dan penunjuk jalan kebenaran sudah terlalu jauh meninggalkan kita. Al-Quran yang diwariskan merupakan panduan yang tidak ada sebarang syak padanya, baik tentang datangnya dari Allah mahupun tentang kesempurnaanya dan ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang hendak bertakwa.

Secara fitrahnya, tiada satu makhluk yang mampu hidup tanpa ada pegangan dan sandaran. Allah SWT telah memuliakan orang-orang beriman dengan pegangan al-Quran yang terselamat dari sebarang tahrif (penyelewengan) dan tabdil (pergantian). Namun, berapa ramai yang melazimi al-Quran hari ini tetapi seolah-olah jiwa dan tindakannya belum cukup tunduk dan serius dengan kebenaran Islam? Di dalam Surah Al-Hadid ayat 16 telah merakamkan teguran Allah SWT kepada para sahabat RA yang ketika itu bersikap sambil lewa, banyak bergurau dan tidak serius dengan ajaran Islam selepas berlalu beberapa tempoh.

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ ۖ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ

Maksudnya : “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka.” (Surah Al-Hadid : ayat 16)

Allah SWT mengingatkan para sahabat Rasulullah SAW supaya tidak menjadi seperti golongan ahli kitab iaitu Yahudi dan Nasrani (ahli Taurat dan ahli Injil) yang mana setelah berlalu tempoh yang panjang antara mereka dan nabi-nabi mereka, mereka mula menjauhi agama, mengabaikan tuntutannya, bersenang-lenang dengan nafsu dan hiburan sehingga akhirnya hati mereka menjadi keras dan mula melakukan perkara-perkara yang fasik (orang yang keluar dari batas-batas agama) kepada Allah SWT. Kesannya, lahirlah sebuah masyarakat dan pemerintahan yang fasik.

Umat al-Quran perlu mengambil pengajaran daripada kisah tersebut. Dunia hari ini telah memperlihatkan ramainya ahli agama yang fasik, ahli politik yang fasik, pemimpin yang fasik akibat jauh dari kebenaran al-Quran. Sesungguhnya, sifat khusyuk (takut dan tunduk) pada perintah dan hukum-hakam Allah merupakan sifat orang beriman. Semoga ia menjadi manifestasi kecintaan kita kepada Baginda Rasulullah SAW.

“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

Disediakan oleh :
A’isyah binti Wahidan
Timbalan Setiausaha Agung II
BKASM sesi 2018/2019

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG