[ IHTIRAM '19 & FITRI '19 | INJEKSI TARBIAH DAN UKHUWAH SIMULASI WEHDAH ]
4 MEI - 5 JUN 2019, KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2018/2019 telah berjaya mengadakan dua program mega iaitu Ihya' Tarbawi Ramadan 2019 (IHTIRAM '19) dan Indahnya di Aidilfitri 2019 (FITRI '19).
IHTIRAM '19 yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan lalu, telah menyusun beberapa aktiviti berfokuskan peningkatan tarbiah dan thaqafah ahli. Kelainan Ramadan pada tahun ini disambut bersama musim peperiksaan bagi fasa ke-2. IHTIRAM '19 menyusun program sebaiknya supaya ahli-ahli BKASM terus menumpukan pencapaian akademik tanpa mengabaikan kelebihan Ramadan sebagai madrasah tarbiah melalui penyertaan program-program yang telah disusun.
Antara program-program IHTIRAM '19 yang berjaya dilaksanakan ialah Muhadarah Ammah, Sahur dan Iftar Jamaie, Solat Tarawih di masjid berdekatan, bacaan ilmiah berkaitan puasa, aktiviti Juadah Mahabbah, Kempen Ruhban Fillail, tadarus dan Majlis Khatam Al-Quran.
Terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan dengan kerjasama unit dan lajnah dalam BKASM antaranya Bicara Ramadan dan aktiviti Syantoh dan Hibbah Ramadan. Kedua-dua aktiviti ini dijayakan dengan kerjasama Lajnah Kebajikan. Manakala Tayangan Ilmiah telah berjaya dijalankan dengan kerjasama Unit Biah Solehah dan Unit Nadi Ukkaz. Kesemua aktiviti ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada ahli sekalipun dalam fasa peperiksaan.
Pada 5 Jun 2019, Majlis Penangguhan IHTIRAM '19 dan Perasmian FITRI '19 telah berjaya diadakan. Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berhormat, Tuan Mohd Zawawi bin Ahmad Mughni, Pembantu Exco Hal Ehwal Agama Islam & Pendidikan.
Program FITRI '19 dimulakan dengan program ambang raya iaitu "Kembara Musa : Panduan dari Al-Kahfi" yang disampaikan oleh saudara Muhammad Afham bin Sahrom, mahasiswa kuliah Bahasa Arab.
Antara program yang menarik yang diadakan dalam program FITRI '19 ini ialah Ziarah Mahabbah dan rewang raya. Turut diadakan Majlis Rumah Terbuka BKASM dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir.
Majlis Penutupan FITRI '19 telah disempurnakan oleh saudara Muhammad Nazim bin Mohd Sahaimi, Penasihat BKASM sesi 2018/2019 yang diadakan di Musolla Darul Ehsan. Majlis diakhiri dengan persembahan nasyid daripada beberapa ahli BKASM dalam kalangan USMB.
Semoga dengan penganjuran program seperti ini dapat meningkatkan ukhuwah dan kebersamaan ahli BKASM. Di samping itu ahli juga dapat meningkatkan tarbiah dan thaqafah di dalam diri dengan menghadiri program-program yang dianjurkan.
"Madrasah Ramadan Ditelusuri Meraih Ketakwaan Hakiki"
"Sinar Lebaran Nikmat Perjuangan"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
Disediakan oleh :
Setiausaha,
IHTIRAM '19 dan FITRI '19,
BKASM sesi 2018/2019
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM
Ulasan
Catat Ulasan