PARIT KEMENANGAN UMAT ISLAM - Minda Siswa Siri 15
PARIT KEMENANGAN UMAT ISLAM
Firman Allah SWT : “ Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan hilir (tempat pertahanan) kamu, dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah serta hati kamu resah gelisah, dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat”.
(Surah al-Ahzab : ayat 10 -11)
Perang Ahzab menggambarkan kepada kita situasi genting yang dihadapi Rasulullah SAW dan umat Islam dalam mepertahankan kedaulatan Islam. Kelompok Ahzab disertai oleh golongan yahudi yang merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan mengkhianati perjanjian dengan Rasulullah SAW, mereka turut mendapat sokongan oleh orang munafik yang benci dengan perjuangan Islam.
Situasi ini mengingatkan kita bahawa Islam kini juga ditekan oleh pelbagai situasi sebagai contoh peperangan yang berlaku di Palestin, Syria dan sekitarnya malah kita juga diserang oleh serangan ideologi seperti sekularisme, liberalisme, pluralisme dan lain–lain.
Peperangan ini menunjukkan kebijaksanaan ketua dan sokongan ahli dalam menyelesaikan masalah. Kita dapat menyaksikan Rasulullah SAW dan para sahabat berusaha untuk mempertahankan Islam dengan membuat kubu disekeliling Madinah hasil daripada cadangan Salman al-Farisi yang telah disepakati bersama melalui syura.
Seterusnya, ketokohan seorang ketua Islam dalam membantu ahli dalam susah dan senang digambarkan oleh Rasulullah SAW ketika bersama-sama dengan para sahabat dalam menggali parit. Ini membezakan Rasulullah SAW dengan tokoh biasa yang hanya melihat daripada jauh atau hanya berada di bilik–bilik gerakan. Oleh yang demikian, ukhuwah umat Islam menjadi lebih erat dan mereka menjadi lebih semangat untuk memberi sumbangan kepada Islam walau diuji dengan pelbagai ancaman.
Umat Islam kini perlu mengambil iktibar daripada kisah–kisah sejarah yang pernah melanda umat Islam pada suatu ketika dahulu. Watak kisah akan berubah kerana telah bertukar zaman tetapi perwatakan akan kembali berulang. Moga kita menjadi anak panah Islam yang setia mempertahankan Islam dikala Islam di bawah atau di atas.
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”
Disediakan oleh :
Nurul Hafizah binti Haron
Timbalan Ketua Lajnah Kebajikan BKASM sesi 2018/2019
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM
Ulasan
Catat Ulasan