[ MINDA SISWA | SIRI 6 ]

📍KITA ADALAH DAIE

Firman Allah SWT :

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ.

Maksudnya : "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah SWT, mengerjakan amal yang soleh dan berkata : Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri."
(Surah Fussilat : ayat 33)

Ayat al-Quran ini seharusnya menjadi motivasi kepada setiap yang membaca agar sentiasa mengerjakan amal soleh. Allah SWT memberitahu bahawa berdakwah dengan menyeru manusia kepada-Nya dan Islam itu merupakan sebaik-baik urusan bahkan menjadi kewajipan kepada setiap muslim untuk dilaksanakan. Apa yang dikatakan dengan dakwah itu adalah :

• Memimpin manusia mengenali Allah SWT.
• Menunjukkan manusia kepada jalan kebenaran dan kebaikan.
• Mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliyah kepada cahaya keimanan.

Tidak cukup bagi seseorang itu beramal untuk dirinya sahaja tanpa mempedulikan orang lain, maka menjadi tanggungjawab kepada kita untuk mengajak ahli keluarga, sahabat-sahabat dan manusia sekeliling memahami dan beramal dengan ajaran Islam yang sebenar agar syariat Allah SWT dapat ditegakkan di atas muka bumi ini.

Setiap muslim perlu sedar bahawa tugasan dakwah ini adalah tugas yang mulia sebagaimana pernah dilakukan oleh para Rasul dan umat terdahulu. Oleh itu, kita perlu menjadi mata rantai yang menyambung tugas dakwah ini, mengajak manusia  kepada kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran. Allah SWT berfirman :

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ...

Maksudnya : "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)..."
(Surah Al-Imran : ayat 110)

📍CABARAN MASA KINI

Mutakhir ini, kita dapat lihat antara masalah yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita adalah ingin mengurangkan atau mengambil sebahagian sahaja daripada kewajipan-kewajipan Islam dengan mengatakan “Kami inginkan Islam, tetapi Islam tanpa jihad, tanpa hudud dan sebagainya. Perkara ini menyedarkan kita bahawa kita hidup di zaman yang mana Islam diserang dari segenap aspek. Serangan yang semakin giat dilakukan oleh musuh Islam pada masa kini adalah serangan pemikiran. Terlalu banyak ideologi-ideologi yang cuba diterapkan dalam diri umat Islam seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, feminisme dan sebagainya. Semua ini adalah percubaan untuk mengikis kefahaman Islam yang sebenar daripada pemikiran masyarakat Islam.

Perlu diingatkan, agama Islam ini tertegak bukan atas dasar persepsi atau logik akal semata, akan tetapi tertegakknya Islam atas dasar hujah dan nas yang utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Kita perlu faham Islam seperti apa yang Allah SWT kehendaki, bukan mengikut apa yang kita kehendaki. Perjuangan Islam ini adalah bermatlamat untuk menegakkan ubudiyah kepada Allah SWT dan menolak taghut sepenuhnya. Oleh itu, kita hendaklah berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah, kerana hanya dengan dua perkara ini sahaja yang dapat menyelamatkan fikrah kita daripada menyeleweng. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda :

تَركْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ، لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابَ اللَّهِ، وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ.

Maksudnya : "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengan keduanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya".
[HR Imam Malik]

📍BEKALAN PARA DAIE

Menyedari akan beratnya amanah dan tanggungjawab yang dipikul ini, maka para pendakwah perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai bekalan agar dakwah yang dilakukan mampu memberi kesan kepada hati bagi setiap orang yang mendengar, sekaligus ianya menjadi sumber kekuatan dalam diri saat berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ujian. Sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab Thaqafah Ad-da'iyah karangan Dr. Syeikh Yusuf Al-Qardhawi, antara senjata penting yang perlu ada oleh sesorang pendakwah itu adalah :

1) Bekalan iman
2) Bekalan akhlak
3) Bekalan ilmu

Ketiga-tiga bekalan ini mestilah dimantapkan dalam diri pendakwah bagi menatijahkan kekuatan jiwa, keberkesanan dan konsistennya pendakwah di atas jalan dakwah.

Konklusinya, tiada dakwah kecuali dengan perjuangan, dan tiada perjuangan kecuali dengan pengorbanan. Setiap perjuangan itu memerlukan keteguhan hati tanpa mengenal erti lemah, mengimani dan berpegang teguh terhadap prinsip sebuah perjuangan agar dapat memelihara diri daripada tipu daya dan permainan musuh-musuh Islam. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan kepada kita dalam menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran, serta diberi ilmu dan kefahaman dalam menjalankan setiap apa yang diperintahkan oleh-Nya. Akhir kalam, "Tegakkan Islam dalam dirimu, maka Islam akan tertegak di bumi kamu."
- Imam Hassan al-Banna.


"Mahasiswa Berkualiti Penerus Legasi"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Ustazah Noorhayatie binti Misran
Timbalan Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah
BKASM sesi 2019/2020


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM
#SetiaBersamaUkhuwah
#JubliZamrud55TahunBKASM

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG