SAIEDHA '20 : MEMAKNAI ERTI PENGORBANAN


[ SAEIDHA '20 : MEMAKNAI ERTI PENGORBANAN ]

26 JULAI 2020
- 3 OGOS 2020, KAHERAH : Telah berlangsung Program Sambutan Eidul Adha 2020 (SAEIDHA '20) yang telah dianjurkan oleh Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2019/2020. Program Aidiladha yang telah dijalankan pada kali ini bertemakan "Sirah Dihayati Pengorbanan Diteladani" dan membawakan tiga dasar objektif utama iaitu tentang thaqafah, ukhuwah dan tadhiyyah yang diterapkan melalui aktiviti yang diadakan. 

Pada 26 Julai 2020 telah bermula SAEIDHA '20 dengan aktiviti Tazkirah subuh Khas Aidiladha bertajuk "Dua Saudara : Apakah Ibrah Disebaliknya?" yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Danial Affiq bin Mohamad Zuraidi, Ketua Lajnah Kebajikan BKASM sesi 2019/2020 merangkap Pengarah Sambutan Eidul Adha 2020. Tazkirah secara 'Live Streaming' ini telah bermula pada jam 5.00 pagi waktu Mesir. 

Pada 31 Julai 2020, iaitu hari raya pertama, program diteruskan dengan aktiviti 'Penyampaian Khas : Khutbah Raya' yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Syukri bin Rosli, Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2019/2020 setelah selesai menunaikan Solat Sunat Aidiladha berjemaah di rumah masing-masing. Selepas itu, diadakan aktiviti Ziarah Online melalui aplikasi Zoom Cloud Meeting yang dikendalikan oleh Unit Pengisian dan Aktiviti Saeidha '20 yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli BKASM samada yang berada di Mesir mahupun di Malaysia. Pada sebelah petang pula, diadakan aktiviti merewang untuk jamuan yang melibatkan beberapa orang ahli BKASM di Komuniti Rumah Sewa (KORUS). 

Program diteruskan pada hari raya kedua bersamaan 1 Ogos 2020 dengan aktiviti Gotong-Royong Sembelihan dan Melapah Haiwan Korban pada sebelah pagi. Anggaran seramai 40 orang ahli BKASM telah terlibat secara langsung pada aktiviti ini. Gotong-royong persiapan tempat melapah dan menimbang serta taklimat pembahagian tugas telah diadakan pada jam 5.30 pagi. Seramai 13 orang ahli termasuk Yang Dipertua BKASM dan beberapa wakil AJKT BKASM telah hadir ke tempat penyembelihan sebagai wakil menyembelih dan menguruskan haiwan korban disana. Tambahan, turut hadir Ustaz Mohd. Yasser bin Abdul Ghani, Pegawai Atase Pendidikan Selangor dalam membantu di tempat penyembelihan. Pada program kali ini, peringkat program telah menetapkan kuota haiwan korban sebanyak 10 ekor kambing dan seekor lembu sahaja berikutan situasi sekarang (COVID-19) demi menjaga kebajikan ahli yang terlibat. Kemudian haiwan korban yang telah disembelih dihantar ke asrama Selangor untuk urusan melapah, menimbang dan memasak untuk jamuan. Aktiviti agihan daging korban dan jamuan telah bermula pada jam 6.00 petang dan telah diagihkan kepada wakil rumah yang masih berada di Mesir. Aktiviti agihan ini melibatkan beberapa Komuniti Rumah Sewa (KORUS) daripada 22 rumah akhawat dan 27 rumah ikhwah di sekitar kawasan Hayyu Asyir, Hayyu Sabiek, Darasah, Abasiah dan Rabaah.

Program SAEIDHA '20 telah diakhiri dengan Tazkirah Khas Aidiladha bertajuk "Hakikat Pengorbanan" yang disampaikan oleh Ustazah Nur Naeem binti Mohd Bakir, Timbalan Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKASM sesi 2019/2020 yang menghuraikan dan menceritakan beberapa kisah pengorbanan para nabi dan rasul. 

Semoga dengan penganjuran Program Sambutan Eidul Adha 2020 (SAEIDHA '20) pada tahun ini, ia menjadi salah satu wasilah untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT dan memupuk ukhuwah Islamiah sesama ahli dengan lebih erat di samping dapat sama-sama menambah thaqafah dengan lebih mendalam. Jutaan terima kasih diucapkan kepada Pejabat Atase Pendidikan Selangor yang sudi bekerjasama dan menyumbang seekor lembu serta membantu kewangan program SAEIDHA '20 serta kepada semua barisan Adhoc Sambutan Eidul Adha 2020 juga seluruh ahli BKASM yang menjayakan program pada kali ini samada secara langsung atau tidak langsung. Semoga segala amalan kita diterima dan diberkati Allah dan dibalas dengan sebaik-baik ganjaran.


"Sirah Dihayati Pengorbanan Diteladani"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Setiausaha
SAEIDHA '20
BKASM sesi 2019/2020


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM
#SetiaBersamaUkhuwah
#JubliZamrud55TahunBKASM

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG