[ WACANA KEMERDEKAAN : ADAKAH KITA SUDAH MERDEKA? ]
[ WACANA KEMERDEKAAN : ADAKAH KITA SUDAH MERDEKA? ]
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah, tahun ini Malaysia telah mencapai usia 63 tahun kemerdekaan. Dalam memaknai erti kemerdekaan sebenar kita perlu menelusuri latar belakang sejarah yang pernah dilalui oleh generasi terdahulu sebagai gambaran identiti yang ada dalam diri kita.
Langit sejarah menyaksikan bahawa Islam telah sekian lama bertapak di Tanah Melayu. Dalam beberapa siri versi sejarah, mendakwa bahawasanya Islam telahpun singgah seawal di zaman Saidina Uthman RA. Ketika zaman Saidina Uthman RA, ekspedisi dakwah dihantar sehingga ke China. Tidak ada laluan laut lain melainkan perlu merentasi Selat Melaka. Begitu juga di dalam catatan sejarah yang lain, Islam telah berdiri secara berkerajaan seawal tahun 1300 masihi.
Dalam sejarah kejatuhan Islam, kita juga perlu menyedari bahawasanya bangsa melayu pernah memegang obor, jati diri dan pemerintahan Islam yang menggantikan kejatuhan Abbasiyah buat sementara waktu akibat daripada pelanggaran Monggol dan Tatar menyerang kerajaan-kerajaan Islam. Dan akhirnya, Abbasiyah jatuh pada pengakhiran tahun 1200 masihi.
Pada awal tahun 1300 masihi, telah dijumpai batu bersurat Terengganu yang mendakwa bahawasanya undang-undang muamalat telah dilaksanakan di Tanah Melayu dan dari situlah barat menyedari potensi Islam yang ada pada bangsa Melayu.
Setelah Barat berjaya keluar dari zaman gelap, mereka mensasarkan beberapa lokasi yang strategik untuk meranapkan sendi kekuatan umat Islam di seluruh dunia. Maka barat memulakan ekspedisi penjajahan ke atas Andalus. Jatuhnya Andalus pada tahun 1489. Andalus merupakan bumi pertama umat Islam yang berjaya dijatuhkan oleh barat. Kira-kira 20 tahun selepas itu, barat mensasarkan Melaka sebagai mangsa seterusnya. Dalam perkiraan masa antara tahun 1489 sehingga tahun 1511 adalah merupakan tempoh yang cukup singkat bagi kejatuhan kerajaan Melaka. Agenda yang tersusun ini akhirnya berjaya menjatuhkan kuasa besar Islam di timur mahupun di barat.
Dalam tempoh hampir 500 tahun, pelbagai usaha menghancurkan akidah umat Islam di Tanah Melayu telah dilaksanakan oleh penjajah. Siri penjajahan ini telah dimulakan oleh Portugis yang mewakili kuasa barat kemudian digantikan oleh Belanda dan akhir sekali British. Walaupun kita telah dijajah dalam tempoh masa yang lama, barat tetap tidak berjaya memurtadkan umat Islam di Tanah Melayu. Buktinya, umat Islam masih lagi berpegang dengan ajaran Islam walaupun terdapat segelintir penganut Islam yang memahami Islam dalam keadaan lemah dan jahil. Hal ini berbeza dengan umat Islam di Andalus, mereka telah berjaya dimurtadkan dalam siri-siri penjajahan barat. Justeru itu, dari bacaan sejarah telah kita dapati bahawa agenda utama setiap penjajahan adalah untuk menghancurkan Islam.
Kajian barat mengatakan bahawa orang melayu Islam merupakan bangsa yang suka berhibur dan jahil; tidak faham bahasa arab, tidak faham al-Quran, tidak faham bacaan-bacaan doa dan tidak faham bacaan-bacaan ibadah di dalam bahasa arab tetapi mereka masih lagi berpegang dan menganut Islam. Perkara ini sangat menghairankan para pengkaji Barat terhadap umat Islam di Tanah Melayu. Bukan sekadar itu, mereka turut mengatakan bahawasanya orang melayu Islam ini telah menggabungkan identiti antara agama dan bangsa mereka. Dengan penggabungan antara identiti Islam dan Melayu inilah yang menjadi benteng kepada akidah umat Islam di Tanah Melayu. Ini merupakan beberapa gambaran betapa kita orang Melayu Islam menjadi sasaran penjajahan barat dalam tempoh ratusan tahun kerana menganggap kita menganut agama Islam dalam keadaan tidak berapa faham dan tidak berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar tetapi masih lagi sayang dengan ajaran-ajaran Islam.
Setelah kita mencapai kemerdekaan yang terakhir melalui British, penjajahan tidak lagi berlangsung secara fizikal tetapi diteruskan dengan penjajahan pemikiran terhadap umat Islam sehingga hari ini. Barat berusaha menjalankan perancangan Ghazwatul Fikri (Perang Pemikiran) yang merupakan bentuk penjajahan moden. Justeru itu, mereka mendoktrin umat Islam dalam konteks umat Islam berbangsa Melayu supaya menganut ideologi-ideologi yang diwariskan oleh mereka. Maka, lahirlah golongan Melayu Islam tetapi berpegang dengan ideologi sekularisme dan liberalisme seakan-akan mengulangi hasil yang telah dicapai oleh barat apabila mereka berjaya memunculkan golongan Kristian Protestan yang melakukan protes terhadap beberapa ajaran kristian itu sendiri.
Di dalam konteks penjajahan pemikiran, tidak dinafikan dampak daripada penjajahan tersebut akan melahirkan umat Islam yang tidak bersetuju terhadap beberapa perkara dalam ajaran Islam sedangkan mereka itu beragama Islam. Ini merupakan petanda bahawasanya minda kita masih lagi terjajah. Golongan ini membawa pemikiran, budaya dan segala doktrin bagi memastikan umat Islam meninggalkan ajaran Islam sebagai jalan penyelesaian kehidupan. Oleh yang demikian, pada hari ini kita tidak boleh merasa selesa kononnya kita telah bebas daripada penjajahan bersenjata sedangkan penjajahan pemikiran terus giat dilaksanakan bagi melahirkan umat Islam yang berpegang dengan ideologi-ideologi yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Lantas lahirlah senario yang digambarkan oleh Nabi Muhammad SAW :
" سيأتي على الناس زمان لا يبقى فيه من الإسلام إلا اسمه ولا من القرآن إلا رسمه " (رواه البيهقي)
Maksudnya : Daripada Saidina Ali bin Abi Talib berkata, telah bersabda Rasulullah SAW : "Akan datang kepada manusia satu zaman Islam hanya tinggal pada nama. Al-Quran hanya tinggal pada tulisan".
Justeru itu, marilah kita menyelusuri kembali definisi kemerdekaan yang diungkapkan oleh seorang sahabat besar yang terlibat dalam pembebasan Kota Parsi ketika zaman Saidina Umar al-Khattab RA. Definisi kemerdekaan yang disebutkan oleh Rabi ibn 'Amir :
" نحن قوم ابتعثنا اللّه لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة اللّه، ومن ضيق الدنيا إلى سعتها، ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام "
Maksudnya : "Kami adalah kaum yang diutuskan oleh Allah SWT untuk menyelamatkan sesiapa sahaja. Membebaskan manusia dari mengabdikan diri selain kepada Allah supaya insaf kembali mengabdikan diri kepada Allah sebagai satu-satunya Tuhan. Dari menjadikan wawasan dunia yang sempit sebagai misi utama kembali kepada menjadikan wawasan akhirat sebagai misi yang kekal. Dari berpegang dengan ajaran yang dicipta oleh manusia yang pasti mendatangkan penyelewengan dan kezaliman kembali kepada agama Islam yang cukup adil ".
Inilah roh kemerdekaan yang dibawa oleh para sahabat radiallahu 'anhum ajma'in apabila mereka memerdekakan masyarakat Rom dan Parsi. Mereka mahu mengembalikan manusia supaya kembali kepada ajaran fitrah iaitu ajaran Islam.
Dalam keadaan kita menyambut kemerdekaan, semestinya kuasa yang ada perlu kita pertahankan sebaiknya sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj, ayat 41 :
ٱلَّذِینَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡا۟ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ
Maksudnya : "Golongan yang diberikan kekuasaan oleh Allah di muka bumi (setelah mereka dijajah dan ditindas). (Ciri orang berkuasa yang direstui oleh Allah) hendaklah mendirikan solat (menjaga hubungan dengan Allah), menunaikan zakat (menjaga hubungan sesama manusia). (Negara yang merdeka) bebas untuk menyeru kebaikan seterusnya mencegah kemungkaran (tanpa apa-apa sekatan)".
(Surah Al-Hajj : 41)
Maka, itu merupakan ukuran kemerdekaan yang telah digariskan oleh al-Quran dan budaya Islam yang telah digambarkan oleh para sahabat. Justeru itu, marilah sama-sama kita bersyukur dengan nikmat kemerdekaan. Sesungguhnya kita merupakan golongan yang pernah dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam. Menjadi salah sebuah kuasa Islam yang menggantikan Kerajaan Abbasiyah buat sementara waktu. Kitalah golongan utama yang menjadi sasaran kedua barat selepas Andalus. Dan kita jugalah golongan yang paling lama dijajah oleh barat tetapi mereka gagal memurtadkan kita secara total. Namun, perang dan ancaman pemikiran masih lagi berbaki bagi mengancam akidah kita sehingga ke hari ini.
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita memerdekakan diri daripada pemikiran-pemikiran barat dan budaya-budaya songsang serta bebas daripada jati diri yang diacu oleh penjajah dan golongan yang memusuhi Islam.
Disediakan oleh :
Ustaz Muhammad Syukri bin Rosli
(Yang Dipertua BKASM sesi 2019/2020)
"Mahasiswa Berkualiti Penerus Legasi"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
Unit Penerbitan dan Publisiti
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2019/2020
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM
#SetiaBersamaUkhuwah
#JubliZamrud55TahunBKASM
Ulasan
Catat Ulasan