[ MINDA SISWA | SIRI 7 : MENELADANI TARBIAH RASULULLAH SAW KEPADA PARA SAHABAT ]


 

[ MINDA SISWA | SIRI 7 ]


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


MENELADANI TARBIAH RASULULLAH SAW KEPADA PARA SAHABAT 


Firman Allah SWT :


الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ 


Maksudnya : "Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan."

(Surah At-Taubah : ayat 20)


Di dalam Kitab Tafsir Jalalain menerangkan bahawa orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah SWT dengan harta dan diri mereka adalah lebih tinggi darjatnya iaitu kududukannya di sisi Allah SWT daripada orang yang selain mereka dan itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan.


Sirah Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menyebarkan Islam menjadi tauladan yang dapat kita jadikan tamsilan, bahawa tarbiah dan keimanan yang kukuh mampu meninggalkan harta benda semata-mata untuk menyebarkan Islam ke serata pelusuk dunia.


Dengan pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh para sahabat adalah sebuah kejayaan hasil tarbiah daripada Rasulullah SAW. Mereka memanifestasikan keimanan dengan membelanjakan harta dan menyerahkan jiwa mereka semata-mata untuk menyebarkan Islam. Maka, melalui tarbiah inilah lahirnya para sahabat seperti Abu Bakar RA, Umar Al-Khattab RA, Uthman bin Affan RA, Ali bin Abi Talib RA dan ramai lagi para sahabat yang kita ketahui akan pengorbanan mereka dalam menginfakkan harta dan jiwa mereka untuk Islam.


Pentingnya tarbiah dalam diri kita adalah supaya dapat membentuk diri kita dalam memberi peranan dan melaksanakan tanggunggjawab sebagai seorang muslim yang baik. Jika kita mengabaikan tarbiah yang telah dianjurkan oleh Islam, maka dengan mudah kita akan hanyut oleh perkara-perkara yang tidak baik bahkan mungkin perkara yang tiada beza sama sekali dengan perbuatan orang kafir.


Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud :


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah." (Surah Al-Anfal : 2)


Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menerangkan tentang ciri-ciri orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT. Ganjaran untuk orang yang benar-benar beriman amatlah besar di sisi Maha Pencipta. Maka, kita sebagai hamba yang bercita-cita tinggi mestilah sentiasa berusaha untuk mencapai tahap iman yang sempurna agar Allah SWT memberi nikmat yang serba indah itu kepada kita. Ketahuilah bahawa untuk mencapai suatu tahap apabila disebut nama Allah SWT akan bergetar hati itu adalah sesuatu yang sukar tetapi ia hanya sekadar sukar dan  bukannya mustahil. Hal ini menjadi sukar kerana ianya memerlukan usaha yang gigih dan berterusan, ia juga bukanlah perkara yang boleh dibuat sambil lewa. Bukti betapa sayangnya Allah SWT pada hamba-Nya, Allah SWT telah mendatangkan beberapa panduan untuk kita ikut agar terus berjaya menempuh onak duri ujian-Nya. Namun, kita sahaja yang sering alpa dengan nikmat dunia. Tarbiahlah diri mengikut telunjuk agama agar terus berjaya di dunia dan di akhirat.


Seorang mujahid agama, Syeikh Mustafa Masyhur pernah menyebut yang bermaksud : "Tarbiah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya hanya dapat diraih dengan Tarbiah."


Oleh itu, kita perlulah bersyukur kerana telah dipilih oleh Allah SWT untuk berada di medan tarbiah. Suatu medan yang kita harapkan untuk membina kefahaman dan keyakinan terhadap Islam yang merupakan anugerah Allah SWT yang terbesar di dalam diri kita sejak azali lagi.



"Mahasiswa Berkualiti Penerus Legasi"

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"



Disediakan oleh : 

Ustaz Mohamad Syamil Akmal bin Zakaria

Ketua Lajnah Penempatan dan Perumahan 

BKASM sesi 2019/2020



#BersamaBersatu

#BersatuBerbakti

#KitaKeluargaBKASM

#SetiaBersamaUkhuwah

#JubliZamrud55TahunBKASM

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RISALAH DAKWAH TERBITAN FEBRUARI - ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK

Kalam Yang Dipertua : Isu Pertahankan Diri ; Ikuti Apa Yang Diajar Oleh Islam

ISU ANTARABANGSA: PARIS ATTACKS ; KONTROVERSI ISLAMOFOBIA YANG BERULANG