[ MATEEN '22 | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-47 DAN MAJLIS KONVOKESYEN & ANUGERAH KECEMERLANGAN BKASM 2022 ]
25 OKTOBER 2022, SELASA dan 29 OKTOBER 2022, SABTU - KAHERAH: Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) telah mengadakan satu program mega gabungan antara Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-47 dan Majlis Konvokesyen & Anugerah Kecemerlangan BKASM 2022 di bawah satu nama iaitu MATEEN '22.
Program ini telah bermula pada 25 Oktober 2022 dengan Majlis Konvokesyen & Anugerah Kecemerlangan BKASM 2022 bertempat di Nasr City Company Club, Hayyu Tasi'. Program ini bertujuan untuk meraikan kejayaan para graduan serta pelajar cemerlang pengajian Islam BKASM dengan pangkat jayyid dan ke atas di samping dapat menaikkan semangat agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu sehingga menatijahkan kejayaan yang cemerlang untuk Islam khususnya.
Program dimulakan dengan pengisian Kalam Tausiyah oleh Syeikh Dr Abdul Aziz Farj, Ketua Qism Fiqh Muqoron, Kuliah Syariah Wa Qonun, Kaherah yang bertajuk "Kejayaan dan Tanggungjawab Kita Terhadap Masyarakat". Kemudian, diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada seluruh graduan, pelajar cemerlang dan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada wakil ketua syukbah.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan wakil graduan BKASM. Antara intipati ucapannya adalah pesanan agar sentiasa bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu di samping melaksanakan gerak kerja persatuan agar seimbang antara ilmu dan amal selari dengan tuntutan Islam.
Pada 29 Oktober 2022, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2021/2022 telah menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-47 yang bertempat di Alam Riadah 3, An Nadi Al Ahli, Nasr Citu, Cairo. Program ini hanya melibatkan ahli BKASM yang berada di Republik Arab Mesir.
Antara objektif program ini dilaksanakan adalah untuk menjadikan mesyuarat sebagai medium kepada ahli untuk mengutarakan pandangan, cadangan dan muhasabah sepanjang sesi demi kelangsungan BKASM di samping mengeratkan ukhuwah Islamiah sesama ahli serta menambah thaqafah ahli melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Sebelum berlangsungnya MAT kali ke-47, turut diadakan beberapa aktiviti ambang MAT iaitu Hari KORUS dan Forum: "Rasulullah SAW: The Prophet's Way of Communication".
Program dimulakan dengan persembahan qasidah daripada wakil ahli BKASM dan diselangi dengan pengisian ringkas berkaitan sirah Nabi Muhammad SAW yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Naqib bin Azhar.
Agenda besar mesyuarat seperti pengesahan Minit Mesyuarat Tahunan kali ke-46 oleh Jabatan Setiausaha Agung, pembentangan laporan Tahunan Lajnah dan Jabatan BKASM, pembentang Laporan Kewangan BKASM oleh Jabatan Bendahari Kehormat.
Agenda yang dinantikan iaitu pengumuman AJKT baharu bagi sesi 2022/2023 yang disampaikan oleh Pengarah SPR, iaitu Ustaz Tholhah bin Agung Biyadi. Seramai 9 orang calon AJKT ikhwah dan 8 orang calon AJKT akhawat serta Yang Dipertua BKASM menang tanpa bertanding.
Mesyuarat diteruskan dengan agenda pembentangan dan perbahasan usul, serta muhasabah dan cadangan daripada ahli BKASM. Semuanya telah mendapat respons dan sambutan yang baik daripada ahli Mesyuarat.
Program diteruskan dengan slot penyampaian Anugerah Khas kepada penerima Anugerah Zubair Al-Awwam dan Anugerah Saidatina Fatimah Az-Zahrah (Tunas Harapan), Anugerah Imam Bukhari dan Saidatina 'Aisyah RA (Ilmuwan) serta Anugerah Mus'ab bin Umair dan Saidatina Khadijah RA (Aktivis).
Mesyuarat telah diakhiri dengan ucapan sulung daripada Ustaz Muhammad Zul Haziq bin Abu Bakar, Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2022/2023 beserta tayangan video program sepanjang sesi 2021/2022 dan nyanyian lagu Bersama Bersatu.
Semoga pelaksanaan mesyuarat ini dapat mengukuhkan kesatuan ahli BKASM bagi meneruskan survival bahtera kepimpinan dan ahlinya di samping memperkasa wadah kesatuan anak-anak Selangor di Mesir pada masa akan datang.
"Apreasisi Dirai Syura Diaplikasi"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
Setiausaha (Eksekutif Promosi)
Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-47 dan Majlis Konvokesyen & Anugerah Kecemerlangan BKASM 2022 (MATEEN '22)
BKASM sesi 2021/2022
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM
#SetiaBersamaUkhuwah
Ulasan
Catat Ulasan